Images
  • Chips
    (Gambar: Pexels)

Keropok sayur boleh mudaratkan kesihatan; seganda lebih tinggi boleh sebabkan barah berbanding kerepek kentang

HONG KONG: Sayur-sayuran sememangnya berkhasiat. Namun apabila ia digoreng menjadi keropok atau kerepek, ia sebaliknya boleh memudaratkan kesihatan. Berbanding kerepek kentang, keropok sayur mengandungi karsinogen (bahan yang menyebabkan barah) seganda lebih tinggi berbanding karsinogen yang dikesan dalam makanan yang dimasak terlalu lama.

Ini menurut Majlis Pengguna Hong Kong yang menukil dapatan daripada 27 sampel yang dikaji oleh kumpulan-kumpulan hak pengguna di 10 Negara Eropah, sambil menarik perhatian bahawa sesetengah produk itu dijual di pasaran tempatan dan mungkin mempunyai resipi berbeza dan hasil kajian itu "berguna" bagi memahami kimia akrilamid yang dikesan pada keropok atau kerepek sayur.

“Sayur-sayuran kerap dianggap sebagai makanan yang sihat tetapi hasil tinjauan ini menunjukkan apabila ia digoreng, dipanggang dan dibakar, ia boleh menghasilkan karsinogen pada paras yang lebih tinggi berbanding kerepek kentang. Para pengguna harus lebih berhati-hati,” demikian menurut Majlis Pengguna itu.

Akrilamid adalah bahan pepejal organik yang berbentuk kristal putih dan tidak mengeluarkan bau. Sebagai bahan kimia, ia digunakan secara meluas dalam industri penghasilan kertas, tekstil dan plastik, khususnya untuk menghasilkan gel.

Pada 1994, Agensi Antarabangsa bagi Kajian Barah menyifatkan bahan akrilamid sebagai “mungkin karsinogik terhadap manusia.”

Pada 2003, kajian yang dijalankan oleh Jabatan Kebersihan Makanan dan Alam Sekitar Hong Kong mendapati paras tinggi bahan akrilamid dikesan dalam kudapan seperti keropok dan biskut. Malah, memasak untuk tempoh yang lama pada suhu tinggi juga boleh menghasilkan bahan akrilamid.

Pada 2017, Kesatuan Eropah menetapkan tanda aras bagi jumlah akrilamid yang dibenarkan dalam makanan bagi peraturan keselamatan yang dikuatkuasakan pada April. Namun, tanda aras bagi keropok sayur belum lagi ditentukan.

Merujuk kepada hasil dapatan yang dipetik oleh Majlis Pengguna Hong Kong, badan-badan hak pengguna di 10 negara Eropah meninjau jumlah bahan akrilamid dalam produk-produk makanan seperti kerepek kentang, keropok sayur, biskut, roti, produk bayi, bijiran sarapan dan kopi.

Jumlah sampel bagi setiap makanan adalah antara enam sampel bagi kopi segera hingga 107 bagi biskut dan wafel.

104 sampel kerepek kentang didapati mengandungi purata 457 mcg/kg bahan akrilamid, sementara 27 sampel keropok sayur adalah setinggi 1,121 mcg/kg atau hampir 2.5 kali ganda lebih tinggi berbanding kerepek kentang.

Bagi dua sampel keropok sayur, ia mengandungi sebanyak 3,000 dan 4,900 mcg/kg bahan akrilamid.

Menurut piawai Kesatuan Eropah, tanda aras bagi jumlah bahan akrilamid dalam kerepek kentang adalah 750 mcg/kg manakala bagi makanan bayi pula ia hanya 40mcg/kg. 

- TODAY/HA/ha

Top