Skip to main content

Iklan

Iklan

Gaya Hidup

Kepulauan Cocos mahu jadi 'destinasi pelancongan mesra Muslim' pertama di Australia

Apakah yang ada di pulau orang Melayu Cocos itu sehingga mungkin menjadikannya destinasi pilihan terbaru bagi pelancong ke Australia?

Anggaran Waktu Membaca:

BERITAmediacorp: Tahukah anda bahawa Kepulauan Cocos (Keeling) adalah satu-satunya 'pulau Melayu' milik Australia?

Pulau yang sudah sekitar 200 tahun dihuni orang Melayu itu - tetapi tercampak jauh dari dunia Melayu - kini mahu dimajukan dan dijadikan sebuah 'destinasi pelancongan mesra Muslim' yang pertama di Australia.

Apakah yang ada di pulau orang Melayu Cocos itu sehingga mungkin menjadikannya destinasi pilihan terbaru bagi pelancong ke Australia?

BERITAmediacorp terbang berkunjung ke Pulau Cocos baru-baru ini untuk melihat sendiri potensinya.

(Gambar: BERITAMediacorp/Nurulkhasanah Agost)

Kanak-kanak Melayu Cocos. (Gambar: BERITAmediacorp/Nurulkhasanah Agost)

INISIATIF 'GATEWAY TO ASIA' UNTUK TARIK PELANCONG MUSLIM

Hampir 1,700 kilometer dari Singapura, Kepulauan Cocos (Keeling) ibarat sebutir permata yang menanti untuk digilap.

Mungkin tidak ramai yang sedar - khususnya golongan lebih muda - akan wujudnya sebuah 'pulau Melayu' di Lautan Hindi itu.

Dengan sekitar 450 orang Melayu menetap di sana, ia adalah satu-satunya 'pulau Melayu' dalam wilayah Australia.

(Gambar: Cocos Keeling Islands/YouTube)

(Gambar: Cocos Keeling Islands/YouTube)

Kini, Persatuan Koperatif Kepulauan Cocos sedang giat berusaha untuk mengubah kepulauan yang seluas hampir 14 kilometer persegi itu, menjadi sebuah destinasi eksklusif yang 'mesra Muslim'.

Caranya, termasuklah 'menyalurkan' para pelancong Muslim yang ke Malaysia, untuk juga ke Pulau Cocos. Ia buat masa ini sedang bekerjasama dengan pihak-pihak di Malaysia untuk menjadikan gagasan tersebut satu kenyataan.

"Dari segi pelancongan, pihak koperatif mempunyai rancangan sendiri yang dipanggil Gateway to Asia. Ini untuk membangunkan pasaran tukikan Muslim antara Malaysia dengan Cocos. Tujuannya untuk menjadikan Cocos destinasi pelancongan mesra Muslim yang pertama di Australia," CEO Persatuan Koperatif Kepulauan Cocos, Encik Romzi Faizal, memberitahu BERITAmediacorp.

Ini antara lain bermakna, dalam tempoh dua tahun lagi selepas projek Gateway to Asia dilaksanakan, para pelancong mungkin boleh 'terbang' langsung ke Kepulauan Cocos (Keeling) dari Malaysia.

(Gambar: BERITAMediacorp/Nurulkhasanah Agost)

Masjid di Pulau Salma, Kepulauan Cocos (Keeling). (Gambar: BERITAmediacorp/Nurulkhasanah Agost)

APA TARIKAN YANG ADA DI PULAU COCOS?

Jadi, apakah yang boleh ditawarkan Pulau Cocos untuk pelancong?

Laut hijau kebiru-biruan, pepohon kelapa yang menari-nari ditiup angin sepoi-sepoi bahasa hanyalah sebahagian kecil daripada apa yang boleh ditawarkan oleh pulau kecil itu, yang majoriti daripada sekitar 600 penduduknya adalah Melayu.

Yang pasti, aktiviti alam semula jadi menjadi tarikan utamanya termasuk pelbagai sukan laut seperti snorkeling, menikmati tapak menyelam kelas dunia dan 'safari laut'.

(Gambar: Cocos Keeling Islands/YouTube)

(Gambar: Cocos Keeling Islands/YouTube)

Antara kegiatan lain yang menjadi kemestian di sini termasuklah lawatan berpandu ke Rumah Oceania yang pernah dihuni peneroka pulau itu (keluarga John Clunies-Ross), dan Muzium Pulau Cocos untuk mengenali lebih dekat sejarah permulaan, serta adat dan budaya orang-orang Melayu Cocos.

Para pelancong juga berpeluang untuk mendekati dan beramah mesra dengan sebahagian penduduk Melayu dan Muslim di sana dan boleh membawa pulang beraneka oleh-oleh yang diperbuat dari tempurung kelapa hasil kraf tangan mereka.

Yang jelas, ada tiga jenis pelancong Muslim yang mahu dilamar dan 'ditawan' Pulau Cocos.

"Pertama, bagi mereka yang mahu menikmati alam semula jadi yang amat unik. Kedua, mereka yang mahu meninjau-ninjau aspek kebudayaan di sini. Ketiga, mungkin bagi yang lebih muda, pelancongan dengan kegiatan lasak, yang kebanyakannya aktiviti laut," kongsi Encik Romzi.

(Gambar: BERITAMediacorp/Nurulkhasanah Agost)

Rumah Oceania milik John Clunies-Ross yang dahulu berkuasa di Kepulauan Cocos (Keeling). (Gambar: BERITAmediacorp/Nurulkhasanah Agost)

DARI 50 PELANCONG KEPADA 5,000 PELANCONG

Buat masa ini, jumlah pelancong Muslim yang ke pulau kecil itu memang tidak banyak - kurang daripada 50 orang sahaja setahun.

Bilangan yang kecil itu antara lain disebabkan keterbatasan penerbangan buat masa ini. Hanya pesawat dari syarikat penerbangan Australia, Virgin Airline mendarat di Lapangan Terbang Pulau Cocos (Keeling). Itupun cuma setiap dua kali seminggu. Para pelancong dari Singapura atau Malaysia misalnya perlu menukar pesawat satu atau dua kali untuk menjejakkan kaki ke Pulau Cocos.

Bagaimanapun menerusi projek Gateway to Asia yang bernilai AU$200,000 (S$194,060), landasan pesawat di pulau akan dipertingkat, sekaligus membolehkan pendaratan secara langsung oleh pesawat-pesawat lain dari Asia Tenggara. Ini diharap memudahkan perjalanan keluar-masuk Pulau Cocos.

(Gambar: Cocos Keeling Islands/YouTube)

(Gambar: Cocos Keeling Islands/YouTube)

Dengan prasarana lebih baik dan pelbagai kempen menarik pelancong, Persatuan Koperatif Kepulauan Cocos berasa yakin untuk menyasarkan kedatangan antara 5,000 dengan 6,000 pelancong Muslim setahun ke pulau itu.

Atau dalam erti kata lain, menyambut antara 100 hingga 120 orang pelancong Muslim seminggu.

Jumlah itu, sebagai satu pusat pelancongan, memang tidak banyak. Namun menurut Encik Romzi, angka itu sengaja ditetapkan sedemikian supaya keunikan dan keindahan semula jadi flora dan fauna Kepulauan Cocos terus terpelihara.

LAPORAN BERKAITAN:

Sumber : BERITA Mediacorp/nk
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan