Kenapa kucing begitu suka sekali dengan kotak? Ini jawapannya...
Salah satu fenomena unik yang sering disaksikan oleh para pemilik kucing adalah kecenderungan haiwan peliharaan itu untuk masuk ke dalam kotak.
INDONESIA: Salah satu fenomena unik yang sering disaksikan oleh para pemilik kucing adalah kecenderungan haiwan peliharaan itu untuk masuk ke dalam kotak.
Jika pemiliknya memberikan satu kotak penuh diisi mainan untuk kucing kesayangan, sudah pasti mereka boleh menjangkakan apa yang akan berlaku sejurus kemudian.
Si kucing akan segera masuk ke dalam kotak dan bermain dengan mainannya, menurut laporan Merdeka.com.
Apa agaknya yang istimewa mengenai kotak?
Berikut ini antara sebabnya yang dipetik oleh Merdeka.com menerusi pelbagai sumber.
KOTAK BUAT KUCING RASA SELAMAT
Kucing merupakan spesis haiwan pemburu. Naluri memburu yang dimiliki kucing diimbangi dengan naluri ingin berasa selamat.
Kotak pula mempunyai ruang tertutup yang dianggap mampu membuat si kucing berasa selamat.
KOTAK TEMPAT TIDUR 'GEREK'
Kucing mampu tidur sehingga 18 jam sehari, lapor Merdeka.com.
Untuk memenuhi rasa ngantuknya, kucing perlu mencari tempat tidur yang terbaik.
Dengan adanya kotak bertekstur empuk dan hangat, pasti kucing akan tidur dengan nyenyak dan mungkin tidak mahu bangun!
KOTAK KURANGKAN TEKANAN
Sama seperti manusia, kucing juga mengalami pelbagai peringkat tekanan.
Banyak faktor yang menjadi punca tekanan pada kucing.
Namun tidak seperti manusia, kucing tidak berupaya menangani tekanan dan konflik. Disebabkan itu, reaksi pertama kucing apabila berasa tertekan adalah berlari menyembunyikan diri.
Maka, kotak boleh menjadi tempat yang tepat untuk kucing-kucing berlindung apabila berasa tertekan.
KOTAK BANTU KUCING SESUAIKAN DIRI
Pada tahun 2014, sebuah pasukan pengkaji dari Universiti Ultrecht membandingkan antara kucing yang hidup dalam persekitaran baru di mana disediakan kotak dengan kucing yang hidup dalam suasana baru tetapi tiada kotak.
Mereka mendapati kucing yang hidup dalam persekitaran baru yang menyediakan kotak dapat menyesuaikan diri dengan lebih mudah berbanding persekitaran baru tanpa kotak, menurut laporan Merdeka.com.
KUCING SUKA TEKSTUR KOTAK
Mungkin para pemilik kucing pernah menyaksikan bagaimana kucing mereka mencakar-cakar atau menggigit permukaan kotak.
Sebagai haiwan pemburu, penting bagi kucing untuk mengasah kuku dan giginya.
Dengan adanya kotak, kucing akan mempunyai wadah untuk menajamkan kuku dan taringnya.
Langkah memberikan kotak kepada kucing mungkin nampak remeh tetapi besar manfaatnya bagi tumbesaran (pertumbuhan) kucing kesayangan.
Ia membuatkan kucing berasa nyaman dan senang ketika di rumah.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.