Skip to main content

Iklan

Iklan

Gaya Hidup

Kenali FoodBot, robot beroda 4 ini tawar khidmat hantar makanan

Sekarang mudah sahaja untuk mendapatkan makanan yang anda idamkan tanpa perlu keluar dari rumah. Hubungi sahaja restoran yang anda sukai dan makanan sampai di depan pintu dengan adanya perkhidmatan penghantaran ke rumah.

Anggaran Waktu Membaca:
Kenali FoodBot, robot beroda 4 ini tawar khidmat hantar makanan

FoodBot merupakan robot pertama di Singapura yang menyediakan khidmat penghantaran di luar bangunan. (Gambar: Ili Nadhirah Mansor/TODAY)

Diterbitkan : 18 Feb 2021 06:35PM Dikemas Kini : 18 Feb 2021 07:02PM

SINGAPURA: Sekarang mudah sahaja untuk mendapatkan makanan yang anda idamkan tanpa perlu keluar dari rumah. Hubungi sahaja restoran yang anda sukai dan makanan sampai di depan pintu dengan adanya perkhidmatan penghantaran ke rumah.

Bagi para pelajar dan kakitangan di Universiti Teknologi Nanyang (NTU), mereka juga boleh mendapatkan makanan yang dipesan, dari sebuah robot.

Berbentuk seperti kotak beroda empat, pelanggan disajikan makanan dengan senyuman lebar terukir di satu bahagian robot itu berserta kata-kata "Your food is here!" (Makanan sudah tiba!).

Robot pandu sendiri itu akan sampai di tempat-tempat pengambilan tertentu sebaik pesanan makanan siap untuk dihantar kepada pelanggan.

Penutup robot itu kemudian terbuka secara automatik diiringi arahan, "Please pick up the food" atau sila ambil makanan anda.

Bernama FoodBot, penghantar makanan ini merupakan robot pertama di Singapura yang menyediakan khidmat penghantaran di luar bangunan.

Sejauh ini, ia sudah menghantar lebih daripada 6,000 hidangan dan membawa barangan termasuk makanan dan barang dapur bernilai sekitar S$60,000.

(Gambar: Ili Nadhirah Mansor/TODAY)

Para pelajar yang membina FoodBot. (Gambar: Ili Nadhirah Mansor/TODAY)

FoodBot pertama kali dilancarkan Jun tahun lalu untuk menghantar makanan di merata kampus NTU oleh syarikat pemula, Whizz Mobility, yang terdiri daripada tujuh pelajar NTU dan seorang dari Universiti Teknologi dan Rekabentuk Singapura (SUTD).

Para pelanggan boleh membuat pesanan makanan melalui aplikasi mudah alih Cates, pilih lokasi untuk mengambil makanan mereka dan tunggu di sana.

Mereka akan dimaklumkan apabila FoodBot sudah hampir tiba di lokasi.

FoodBot mula membuat penghantaran ke Taman CleanTech, pada Disember, yang terletak bersebelahan NTU. Kini, terdapat lima FoodBot yang dikerahkan semasa waktu makan tengah hari dan makan malam, bergantung kepada permintaan.

Ia bergerak mengikut laluan yang sudah ditentukan pada kelajuan lima kilometer sejam. Robot itu lebih kerap bergerak di laluan pejalan kaki walaupun ia juga boleh bergerak di atas rumput dan lumpur. Menggunakan kecerdasan buatan (AI) ia dapat mengenal pasti sebarang halangan seperti manusia atau tiang.

Atas sebab keselamatan, FoodBot dikawal dari jarak jauh oleh seorang penyelia, yang akan bertindak jika perlu, jika robot tersebut tersangkut di cerun atau tempat jalan sudah berubah.

(Gambar: Ili Nadhirah Mansor/TODAY)

FoodBot sudah pun menghantar lebih daripada 6,000 hidangan sejak dilancarkan. (Gambar: Ili Nadhirah Mansor/TODAY)

Menurut pengasas dan ketua pegawai eksekutif Whizz Mobility, Encik Melvin Foo, 23, beliau menyifatkan FoodBot sebagai "impian seorang jurutera".

"Hampir semua bahagian robot kami yang buat, dari bahagian-bahagian yang dicetak 3D kepada litar papan yang direka sendiri," katanya lagi.

Menurut Encik Victor Gwee, 23 tahun, ketua jurutera elektrik di Whizz Mobility dan pelajar di bawah Program Kejuruteraan Renaissance, menggunakan robot adalah satu cara untuk meningkatkan daya penghasilan, terutama sekali dengan penduduk yang semakin menua dan masalah kekurangan tenaga manusia di Singapura.

Akur dengan pandangan itu, Encik Foo berkata dengan robot melakukan kerja-kerja penghantaran, rakyat Singapura boleh mengalihkan tenaga mereka untuk membuat kerja-kerja tahap lebih tinggi seperti penyelia.

Syarikat pemula itu bekerjasama dengan Cates, yang mempunyai sekitar 60 penjual dalam aplikasi khidmat penghantarannya.   

Sumber : Today/NJ/nj
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan