Images
  • depression
    (Gambar fail: AP)

Kemurungan, kegelisahan meningkat akibat COVID-19 terutama dalam golongan wanita: Kajian

PARIS: Kes kemurungan dan kegelisahan dilaporkan meningkat sebanyak lebih 25 peratus dalam kalangan penduduk dunia pada tahun pertama pademik COVID-19 menular, terutama dalam golongan wanita dan dewasa muda.

Demikian menurut satu kajian besar-besaran pada Sabtu (9 Okt) yang meneliti kesan pandemik ke atas kesihatan mental penduduk.

Kajian diterbitkan jurnal perubatan The Lancet, melaporkan 52 juta penduduk dunia menderita kemurungan dan 76 juta mengalami kegelisahan pada tahun 2020 akibat COVID-19.

Data kajian itu menunjukkan, kedua-dua kes tersebut masing-masing meningkat sebanyak 28 dan 26 peratus sepanjang tempoh pandemik menular.

Penularan COVID-19 di seluruh dunia telah meragut hampir 5 juta nyawa sejak ia muncul pada lewat 2019 namun para pakar berkata jumlah sebenar lebih tinggi lagi.

Kajian itu menunjukkan negara yang paling teruk dilanda pandemik juga mencatat masalah kesihatan mental yang tinggi, dengan kaitan kuat antara jumlah kes COVID-19 yang tinggi, kesan sekatan pergerakan dan meningkatnya kes kemurungan dan kegelisahan.

"Dapatan kami menunjukkan adanya keperluan mendesak untuk memperkukuhkan sistem kesihatan mental bagi menangani gangguan kemurungan dan kegelisahan sejagat yang meningkat," kata ketua penyelidikan jurnal itu, Damian Santomauro dari Sekolah Kesihatan Awam, Universiti Quensland.

"Usaha untuk memenuhi permintaan bagi perkhidmatan kesihatan mental yang meningkat akibat COVID-19 sangat mencabar tetapi kita tiada pilihan lain," katanya.

Data yang dianalisa itu dikumpul dari seluruh Amerika Utara, Eropah dan Asia Timur dengan penyelidik melakarkan model jangkaan tahap kemurungan dan kegelisahan.

Seandainya pandemik itu tidak berlaku, 193 juta kes kemurungan dianggarkan berlaku berbanding 246 juta kes yang dilaporkan pada 2020.

Begitu juga dengan model kegelisahan yang meramalkan 298 juta kes tanpa COVID-19 berbanding jumlah sebenar 374 juta pada tahun lalu.

Analisis itu turut menunjukkan wanita mengalami kemurungan dan kegelisahan secara tidak seimbang kerana langkah-langkah pandemik menjejas dengan teruk tahap kesihatan dan sosial secara tidak setara di kebanyakan negara.

Ia berikutan wanita dibeban dengan tugas mengasuh anak serta mengurus keluarga selain sering menjadi mangsa keganasan rumah tangga ketika tempoh pandemik.

Sementara itu, penutupan sekolah dan maktab menyekat kemampuan remaja belajar, berinteraksi dengan rakan sebaya dan mendapatkan pekerjaan, yang membawa kepada kesan kesihatan mental yang luar biasa dalam golongankalangan generasi berusia 20-24 tahun.

"Pandemik COVID-19 memburukkan lagi ketidaksamaan yang berlaku, mempengaruhi gangguan kesihatan mental dan mekanisme menanganinya," kata seorang lagi pakar dari Universiti Queensland, Azile Ferrari.
"Maka itu, penting bagi penggubal dasar mempertimbangkan faktor penting ini sebagai sebahagian daripada langkah untuk mempertingkat perkhidmatan kesihatan mental."  

- AFP/TQ/tq

Top