Images
  • gli hagia sophia
    (Gambar: Agensi berita)

Kematian Gli, kucing ikonik Hagia Sophia di Istanbul diratapi

ANKARA: Seekor kucing yang menjadikan Hagia Sophia di Istanbul sebagai tempat tinggalnya, kini merupakan sebahagian daripada sejarah masjid ikonik itu, lapor Agensi Anadolu.

"Kucing Hagia Sophia bernama Gli, yang dirawat di sebuah klinik haiwan swasta sejak 24 September, malangnya mati kerana usia tua," kata datuk bandar Istanbul Ali Yerlikaya dalam catatan Twitter.

"Kami tidak akan melupakan anda, Gli," kata Encik Yerlikaya sambil memuat naik gambar kucing itu dan mengatakan bahawa beliau "amat sedih."

Pada awal tahun ini, sedang Hagia Sophia menjalani kerja-kerja mengubah bangunan itu dari sebuah muzium kepada masjid, Gli tidak langsung terjejas oleh segala kekecohan itu. Seni bina bersejarah itu sentiasa dianggap sebagai rumah baginya.

Solat Jumaat berjemaah pada 24 Julai di Hagia Sophia menandakan kali pertama ibadah dilakukan di sana sejak 86 tahun.

Hagia Sophia dijadikan sebuah gereja selama 916 tahun sehingga Istanbul ditawan dan menjadi sebuah masjid dari 1453 hingga 1934, iaitu hampir 500 tahun - dan baru-baru ini menjadi sebuah muzium selama 86 tahun.

Sepanjang beberapa tahun lalu, Hagia Sophia menjadi rumah kepada Gli, yang akan terus dikenang pengunjung ke masjid itu.

- BERNAMA/HA/ha

Top