Skip to main content

Iklan

Iklan

Gaya Hidup

Kelate perkenalkan hidangan nasi kerabu tumis di S'pura sempena Ramadan

Nasi kerabu tumis hasil air tangan pelakon Malaysia Sasqia Dahuri bukan sahaja mendapat sambutan warga senegara yang terkandas di Singapura malah turut digemari penduduk tempatan.

Anggaran Waktu Membaca:
Kelate perkenalkan hidangan nasi kerabu tumis di S'pura sempena Ramadan

(Gambar: Bernama)

Diterbitkan : 20 Apr 2021 01:56PM Dikemas Kini : 20 Apr 2021 01:59PM

SINGAPURA: Nasi kerabu tumis hasil air tangan pelakon Malaysia Sasqia Dahuri bukan sahaja mendapat sambutan warga senegara yang terkandas di Singapura malah turut digemari penduduk tempatan.

Diperkenalkan sebagai menu baharu sejak enam Ramadan lalu, anak kelahiran Pasir Mas, Kelantan itu tidak menyangka hidangan itu turut memikat selera rakyat Singapura. 

"Pada hari pertama sahaja, kami telah menerima tempahan lebih 100 bungkus," katanya yang turut menyediakan prapesanan melalui akaun Instagramnya. 

Mengusahakan gerai makanan dikenali 'Kelate' di Toa Payoh sejak 8 Februari lalu bersama suaminya, pelakon tinggi lampai ini memperkenalkan sedikit kelainan, nasi kerabunya diwarnakan kuning berbanding kebiasaan iaitu biru atau hitam.

"Ia dipanggil nasi kerabu kuning atau tumis. Bukan nasi kerabu tanpa ditumis lebih dikenali sebagai nasi kerabu darat atau nasi kerabu Golok yang biasanya diwarnakan biru atau hitam.

"Keluarga ayah saya berasal dari Kampong Salor, Kelantan dan kami lebih terdedah dengan nasi kerabu tumis ini.

"Saya tidak boleh sewenang-wenang memperkenalkan resipi makanan tradisi Kelantan ini di sini. Secara tidak langsung saya juga membawa nama negara.. saya perlu buat dengan cara yang betul," katanya kepada Bernama.

Sepanjang Ramadan ini, gerai Kelate akan menawarkan tiga menu asalnya iaitu - laksam, mi celup dan colek – dengan waktu operasinya ditukar kepada pukul 3.00 petang hingga pukul 9.30 malam.

Selepas Ramadan ia akan beroperasi pukul 8.00 pagi hingga pukul 9.30 malam namun, menu nasi kerabu akan terus dijual. 

Dengan hanya tiga menu itu gerai makanan ini yang terletak di 93, Lorong 4, Toa Payoh di sini mampu menarik ratusan pelanggan walaupun pada hari biasa. 

Dalam tempoh dua bulan, gerai Kelate sudah melakukan penambahbaikan bagi memenuhi permintaan pelanggan yang mahu menikmati masakan tradisi negeri Che Siti Wan Kembang itu.

Menurut siswazah Universiti Multimedia Malaysia itu, selain pelanggan membuat prapesanan, Kelate juga menyediakan jualan secara dalam talian tetapi memandangkan baru berjinak-jinak menggunakan paltform itu, buat masa ini edaran masih terbatas dalam lingkungan 10 kilometer. 

"Kami perlu membina reputasi yang baik terlebih dahulu bagi membolehkan penghantaran dapat dibuat ke seluruh Singapura.

"Kami juga sudah mempunyai “central kitchen”  atau dapur berpusat bagi memenuhi permintaan yang meningkat," kata pemilik nama asal Nurlisasqia Ahmad Dahuri ini.

Sasqia, 35, yang berkahwin dengan rakyat tempatan Encik Muhammad Asyraff Khan Baharudin Khan pada 2018 telah berada di Singapura sejak penutupan sempadan pada Mac tahun lalu.

Sumber : Bernama/NA/na
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan