Images
  • festival kelantan
    Muhammad Bakhtiar Wan Chik (kanan) menandatangani plak pada Majlis Penghargaan dan Penyampaian Hadiah Festival Makanan dan Warisan ASEAN 2019. (Gambar: BERNAMA)

Kelantan tampilkan keunikan sajian 10 negara ASEAN termasuk S'pura

KOTA BHARU: Festival Makanan dan Warisan ASEAN 2019 yang dikelola Pejabat Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia (MOTAC), Kelantan, menampilkan pelbagai keunikan sajian dari 10 negara ASEAN. 

Timbalan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Muhammad Bakhtiar Wan Chik berkata festival berkenaan melibatkan penyertaan antaranya daripada Thailand, Indonesia, Laos, Brunei, Vietnam, Singapura dan Filipina. Pihak penganjur juga memberi tumpuan kepada makanan yang terdapat di Kelantan. 

“Festival sebegini mampu melonjakkan pembangunan negara demi mempertingkatkan industri pelancongan Malaysia khususnya Kelantan,” kata Encik Muhammad Bakhtiar kepada wartawan selepas merasmikan Malam Penghargaan Festival Makanan dan Warisan ASEAN 2019 di pekarangan Stadium Sultan Muhammad Ke IV di Kota Bharu pada Rabu malam (28 Ogos).

Encik Muhammad Bakhtiar berkata pihaknya menyasarkan kehadiran lebih 100,000 pengunjung dan jumlah penjualan pula sebanyak RM1 juta sepanjang festival 10 hari itu bermula 22 Ogos lalu. 

“Selain menampilkan keunikan makanan daripada pelbagai negara ASEAN, festival ini juga adalah satu usaha mempromosikan kempen tahun melawat Malaysia 2020 sekali gus menyahut seruan Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad untuk menyasarkan 30 juta pelancong pada tahun hadapan,” ujarnya lanjut.  

- BERNAMA/FZ/fz

Top