Images
  • Hikers main
    Pengunjung Hutan Simpanan Bukit Timah pada pagi 1 Nov. (Gambar: Wong Pei Ting/TODAY)

Kegiatan lasak, jejak kembara kian popular di S'pura dek sekatan perjalanan COVID-19

SINGAPURA: Sejak kebelakangan ini, Singapura mula menyaksikan peningkatan yang sangat ketara pada jumlah pengembara dan pencinta alam semula jadi yang kini mengalihkan tumpuan mereka kepada tempat-tempat dengan pemandangan yang indah di dalam negeri.

Ini sedang sekatan-sekatan perjalanan terus dikuatkuasakan bagi membendung penularan COVID-19, menyebabkan mereka yang menggemari kegiatan-kegiatan sedemikian untuk meneroka alam semula jadi di tanah air mereka sendiri.

Tanpa mendedahkan perangkaannya, Lembaga Taman Negara (NParks) memberitahu Mediacorp bahawa ia menyaksikan "peningkatan yang ketara" pada jumlah pengunjung ke kebun, taman dan hutan simpanan di merata negara sejak pandemik COVID-19 mula menular.

Mengesahkan trend itu adalah para pengguna Facebook yang menyertai kumpulan Singapore Hikers sejak 'circuit breaker' atau tempoh pemutus rantaian jangkitan COVID-19 ditarik balik pada 1 Jun lalu. Setakat sehingga Khamis (29 Okt), kumpulan tersebut, yang ditubuhkan sekitar 2018, mempunyai kira-kira 2,000 anggota ketika itu dan ia kini menyaksikan keahliannya melonjak melepasi 20,000 anggota sejak Ogos.

Pengasas dan moderator kumpulan Facebook itu, Joven Chiew berkata kumpulan berkenaan menerima sekitar 500 permohonan baru daripada pengguna Facebook yang mahu menyertai kumpulan tersebut.

Perbincangan dalam kumpulan Facebook itu menunjukkan bahawa ramai penduduk sudah mula berjinak-jinak dengan kegiatan mendaki.

Sebilangan daripada mereka juga berminat untuk mendapatkan tip-tip bagi meneroka laluan kembara yang lebih mencabar dan kurang diketahui ramai, menjangkaui jejak kembara yang sudah disediakan di Pulau Serangoon (Coney Island), Southern Ridges di Mount Faber dan sebagainya.


Pengunjung di Taman Alam Semula Jadi Rifle Range. (Gambar fail: Low Youjin/TODAY)

Salah seorang ahli baru ialah penolong guru Cik Ng Li Chan, 38 tahun, yang sejak sekian lama tidak berminat untuk mendaki atau mengembara di Singapura. Beliau pernah menawan gunung-gunung di rantau ini termasuk Gunung Kinabalu dan bertanggapan bahawa gunung-gunung di negara lain menawarkan pemandangan yang lebih menakjubkan.

Tanggapan itu bagaimanapun berubah selepas beliau menyusur jejak kembara Kolam Air MacRitchie buat pertama kalinya pada Julai dan sejak itu, beliau sudah melakukan lapan lagi kegiatan sedemikian. Keunikan jejak kembara itu membuatnya semakin berminat dan teruja untuk mengenali alam semula jadi Singapura, katanya lagi.

MASALAH YANG TIMBUL DENGAN PENINGKATAN JUMLAH PESERTA

Dengan semakin ramai peserta, timbul pula ketidakselesaan dan ia dapat dilihat oleh sesetengah peserta yang sudah menyertai kegiatan-kegiatan seumpama itu sejak sebelum COVID-19 mula dikesan

Peserta seperti Ben Ho, yang kerap meneroka Hutan Simpanan Tadahan Air Bahagian Tengah mendapati jejak kembara di dalam negeri kadangkala dicemari dengan sampah dan jumlah sampah yang dibuang di sana meningkat dengan ketara semasa tempoh pemutus rantaian jangkitan COVID-19 antara April hingga Jun. Beliau mula menjadikannya sebagai satu tabiat untuk mengutip sampah semasa melakukan jejak kembara sedemikian sekitar dua kali seminggu.


Sampah sarap kelihatan di Hutan Simpanan Tadahan Air Bahagian Tengah. (Gambar: Ben Ho)

Pekerja sosial berusia 34 tahun itu akan membawa sebuah beg untuk mengutip sampah yang biasanya dipenuhi dengan barangan seperti bungkusan makanan dan minuman, beg plastik, tapak kasut, kertas tisu dan tisu basah, pelitup pakai buang dan puntung rokok.

Sampah-sampah tersebut kadangkala dijumpai sekitar tiga meter dalam kawasan belukar atau di laluan jejak kembara yang tidak bertanda, dedah beliau lagi.

Beliau turut menarik perhatian bahawa ia mungkin berpunca daripada para pengunjung atau pengembara yang tidak mematuhi papan tanda yang menasihati mereka supaya jangan membawa makanan atau minuman semasa melakukan kegiatan sedemikian kerana ia akan menarik perhatian haiwan seperti monyet yang akan meragut barangan seperti itu.

Dr Adrian Loo, Pengarah Kumpulan Jabatan Pemuliharaan NParks berkata beliau tidak menyaksikan peningkatan pada jumlah insiden atau pelanggaran peraturan yang ada kaitan dengan kegiatan mengembara, sambil menarik perhatian bahawa setiap tahun sepanjang lima tahun lalu, NParks mengambil tindakan terhadap sekitar 140 orang kerana meneroka kawasan di luar laluan jejak kembara yang disediakan.

"Walaupun terdapat lebih ramai pengunjung di taman, kebun dan hutan simpanan pada Fasa 2 pembukaan semula Singapura (menyusuli penguatkuasaan 'circuit breaker'), kami berbesar hati melihat sebahagian besar pengunjung terus mengamalkan etika yang baik semasa mengembara, termasuk berjalan hanya di laluan jejak kembara yang diperuntukkan," kata beliau lagi.

Sungguhpun demikian, beliau memberi amaran bahawa sesiapa yang ditangkap kerana menyusur atau mengembara di luar kawasan yang ditetapkan boleh didenda sehingga S$2,000. Selain itu, papan tanda dan pagar sudah dipasang di hutan simpanan dan taman-taman negara untuk mengingatkan para pengunjung supaya jangan keluar daripada laluan jejak kembara yang ditetapkan.

Dr Loo mengingatkan para pengunjung dan pengembara bahawa hutan simpanan menjadi habitat semula jadi kepada pelbagai flora dan fauna.

"Meneroka kawasan di luar laluan jejak kembara boleh menyebabkan kerosakan pada hutan selain lorong dan jejak kembara. Kegiatan manusia di kawasan-kawasan seumpama itu juga boleh menjejas pergerakan haiwan atau menyebabkan anak pokok mati terpijak. Ada daripadanya adalah anak pokok yang tergolong dalam spesies terancam," kata beliau. 

- TODAY/AY/aq

Top