Skip to main content

Iklan

Iklan

Gaya Hidup

Kegemukan, berat badan berlebihan masih 'membelenggu' rakyat meski S'pura catat kemajuan perangi kencing manis

Meskipun sedikit kemajuan sudahpun dicapai dalam usaha Singapura memerangi penyakit kencing manis sejak lima tahun lalu, masalah berat badan berlebihan dan kekurangan kegiatan fizikal kekal sebagai satu masalah besar dalam kalangan rakyat Singapura.

Anggaran Waktu Membaca:
Kegemukan, berat badan berlebihan masih 'membelenggu' rakyat meski S'pura catat kemajuan perangi kencing manis

Gambar: TODAYonline

Diterbitkan : 14 Nov 2021 05:18PM Dikemas Kini : 14 Nov 2021 11:14PM

SINGAPURA: Meskipun sedikit kemajuan sudahpun dicapai dalam usaha Singapura memerangi penyakit kencing manis sejak lima tahun lalu, masalah berat badan berlebihan dan kekurangan kegiatan fizikal kekal sebagai satu masalah besar dalam kalangan rakyat Singapura.

Demikian menurut Menteri Kesihatan Ong Ye Kung pada Ahad (14 Nov) sambil menambah kadar kegemukan semakin meningkat bagi semua kumpulan usia di Singapura dari 8.6 peratus pada 2017 kepada 10.5 peratus tahun lalu.

"Kita sudah kembali ke paras yang disaksikan pada 2010, selepas mencatat penurunan sepanjang sedekad yang lalu," kata Encik Ong.

Beliau berkata demikian di acara anjuran Diabetes Singapore sempena Hari Kencing Manis Sedunia.

Pertubuhan amal itu yang ditubuhkan khusus untuk memerangi penyakit tersebut, sudah berhasil mendampingi 7,752 pesakit tahun ini, lebih seganda berbanding 3,107 pesakit pada 2019.

COVID-19 bagaimanapun menjejas kemajuan Singapura.

"Bagi sesetengah rakyat Singapura yang tidak dapat melakukan kegiatan sosial, gaya hidup mereka mungkin menjadi kurang aktif, lantas memundurkan kemajuan kita dalam perang melawan kencing manis dan menjejas pencapaian kita sebelum ini," kata beliau.

Pada Ahad, Encik Ong berkata sekiranya tiada apa-apa yang dilakukan, sekitar sejuta rakyat Singapura akan hidup dengan kencing manis menjelang 2050.

PERANG MELAWAN KENCING MANIS

Sungguhpun berdepan beberapa cabaran dalam usaha menangani kegemukan dan masalah berat badan berlebihan, beliau berkata Singapura mencatat kemajuan dalam pengurusan penyakit itu dengan kadar komplikasi angkara kencing manis merosot dari 2015 hingga 2019.

Memetik beberapa contoh, beliau berkata kadar kes baru yang didiagnosis dengan kegagalan buah pinggang merosot dari 4.2 peratus kepada 3.6 peratus dalam kalangan setiap 1,000 pesakit kencing manis.

Sementara itu, kadar amputasi anggota bawah utama telah merosot dengan ketara dari 115.9 kepada 66.3 dalam kalangan setiap 100,000 pesakit.

Sungguhpun demikian, Encik Ong menegaskan bahawa perang melawan kencing manis akan mengambil masa yang panjang dan "sebarang hasil besar hanya akan dapat disaksikan beberapa tahun kemudian".

Meskipun begitu, sejak inisiatif-inisiatif untuk membendung kencing manis dilancarkan, Singapura berhasil "menyaksikan beberapa kemajuan" dari segi semakin ramai rakyat Singapura yang mengamalkan gaya hidup sihat, kata beliau.

Sebagai contoh, peratusan rakyat Singapura bagi semua kumpulan usia yang kerap bersenam sebagai kegiatan riadah tahun lalu adalah 33.4 peratus berbanding 29.4 peratus pada 2017.

Dalam kalangan orang dewasa yang berusia antara 50 dengan 74 tahun pula, lonjakan itu adalah dari 23.5 peratus pada 2017 kepada 31.4 peratus pada 2020.

Encik Ong juga menggesa rakyat muda Singapura yang berusia antara 18 dengan 39 tahun supaya menjalani penilaian risiko kencing manis di HealthHub untuk mengetahui sama ada mereka berisiko menghidap penyakit itu.

Menangani kencing manis menjadi lebih penting dan genting di tengah-tengah pandemik COVID-19, tegas beliau.

"Mereka yang menghidap kencing manis lebih berisiko mengalami komplikasi jangkitan COVID-19 yang lebih teruk dan kesan kesihatan yang lebih buruk," dedah Encik Ong.

Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan