Skip to main content

Iklan

Iklan

Gaya Hidup

Kedai roti Beijing anjur cabaran hasilkan manisan bertema 'Squid Game'

Sebuah kedai roti di Beijing menganjurkan cabaran menghasilkan manisan bertemakan 'Squid Game' di kedainya di tengah-tengah demam 'Squid Game' di negara itu.

Anggaran Waktu Membaca:
Kedai roti Beijing anjur cabaran hasilkan manisan bertema 'Squid Game'

(Gambar: Reuters)

Diterbitkan : 18 Oct 2021 08:48AM Dikemas Kini : 18 Oct 2021 08:51AM

BEIJING: Sebuah kedai roti di Beijing menganjurkan cabaran menghasilkan manisan bertemakan 'Squid Game' di kedainya di tengah-tengah demam 'Squid Game' di negara itu.

Dengan bayaran hanya 58 yuan (S$12.15), para pelanggan boleh mengambil bahagian dalam cabaran tersebut untuk menghasilkan gula-gula dalgona menggunakan campuran gula dan serbuk penaik, sama seperti watak-watak dalam siri Netflix itu.

Tiada hadiah diberikan kepada para pelanggan yang berjaya dan mereka yang kalah juga tidak akan dikenakan hukuman, tidak seperti dalam rancangan Netflix itu di mana para pemenang akan diberikan hadiah wang tunai yang lumayan manakala mereka yang kalah akan dibunuh.

"Kebanyakan daripada pelanggan kami merupakan anak-anak muda yang juga membentuk sebahagian besar daripada peminat rancangan itu," kata pemilik kedai DIY Bakery & More, Hao Jing. Beliau sendiri adalah peminat siri Netflix itu.

Dalam cabaran selama sekitar 10 minit itu, para peserta perlu memilih bentuk templat gula-gula mereka, cairkan gula, tambah serbuk penaik lalu kacau bahan-bahan sehingga ia larut sebelum ia dibakar menjadi gula-gula dalgona. Langkah terakhir itu agak mencabar kerana campuran bahan-bahan itu masak dengan cepat justeru ia mudah pecah.

"Tadi apabila saya sedang siapkan bentuk yang pertama saya fikir saya dapat melakukannya dengan baik," kata salah seorang pelanggan berusia 27 tahun yang bernama Li Zi.

"Namun apabila saya melakukannya, ia pecah," katanya sambil menunjukkan dua bahagian daripada biskut berbentuk bintang itu.

"Saya tidak secara langsung mula berasa takut apabila saya terkenang nasib para pemain Squid Game yang gagal dalam cabaran ini."

Sekitar 20 pelanggan mengambil bahagian dalam cabaran Squid Game di kedai roti ini sejak ia diperkenalkan pada minggu lalu.

Sumber : Reuters/HA/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan