Images
  • kedai kopi main
    Lakaran artis 'Kedai Kopi'. (Gambar: Kedai Kopi/Facebook)

'Kedai Kopi' buka cawangan kedua di Haig Road tampilkan konsep Mala

SINGAPURA: Disember lalu, sebuah kedai kopitiam halal bernama 'Kedai Kopi' membuka cawangan pertamanya di Clementi. Kedai kopi itu hasil kerjasama antara rangkaian F&B tempatan, Tenderfresh, dengan pengendali kopitiam, Kimly.

Menjelang pertengahan Jun nanti, ia akan membuka cawangan keduanya kali ini di bahagian timur, lebih tepat lagi di Haig Road. Terletak bersebelahan Darul Arqam Singapura, ia akan menempatkan sembilan gerai halal milik orang Islam di bawah satu bumbung.

Ini termasuk konsep baru seperti Mala Mama, sebuah gerai menjual sup mala oleh pakar roti udang galah Pince & Pints, yang akan membuka gerai penjajanya yang pertama. Menurut catatan Facebook Kedai Kopi, gerai tersebut akan menyediakan "pelbagai bahan segar yang dicelur dalam kuah khas dengan bahan utamanya lada hitam dan dihidangkan dengan sos istimewa mereka".


Satu lagi penyewa baru di Kedai Kopi itu nanti ialah Nenda's Fritter, sebelum ini dikenali sebagai gerai makanan pasar malam '100% milik Muslim' yang menjual goreng pisang, keropok lekor dan keledek goreng selama lebih 20 tahun.

Memandangkan pasar malam buat masa ini tidak dapat meneruskan perniagaan akibat pandemik COVID-19, perniagaan keluarga itu memutuskan untuk menjenama semula sebagai Nenda's Fritter dan membuka gerai tetap di Kedai Kopi.

Kopitiam tersebut juga akan mempunyai sebuah gerai zi char yang dipanggil Rasa Sedap Seafood, dikendalikan oleh seorang "bekas cef eksekutif bagi sebuah kumpulan F&B yang mengendalikan lebih 30 gerai zi char di seluruh negara". Beliau akan menyediakan hidangan halal zi char seperti Ketam Mentega Telur Asin dan Siakap Tiga Rasa.

Turut menyertai barisan penyewa itu adalah jenama-jenama terkenal seperti Crave Nasi Lemak dan Teh Tarik, gerai makanan barat Tenderbest; konsep mi bak chor halal Bagus; gerai penjaja makanan fusion oleh Tenderfresh, Hawkerman; dan konsep Tenderfresh baru dipanggil Pasta Pizza.


Pasta Pizza adalah lanjutan kepada menu makanan barat sedia ada oleh Tenderfresh tetapi ditawarkan pada harga lebih rendah dan ia menyajikan piza serta pasta fusion Asia yang disajikan mengikut pesanan.

Terdapat juga gerai minuman Toko Ngopi yang menawarkan menu kopi dan teh biasa di samping minuman ala 'bubble tea' seperti "siri teh oolong berwarna-warni" dan 'Bandung Grenade', yang juga disediakan di cawangan Kedai Kopi di Clementi.

Dalam satu laporan oleh The Business Times pada 11 Mei, ia juga mengumumkan bahawa Kimly memperolehi 75 peratus saham dalam Tenderfresh dengan harga S$54 juta, yang akan dibayar tunai dan pengeluaran saham baru di Kimly.

Kedai Kopi Haig Road akan dibuka pada pertengahan Jun di alamat #01-01, 12 Haig Road, S430012. www.facebook.com/kedaikopihaigroad

- TODAY/FZ/fz

Top