Skip to main content

Iklan

Iklan

Gaya Hidup

Kaum lelaki yang hidap barah payudara alami komplikasi lebih teruk

Barah payudara sinonim dengan golongan wanita, namun penyakit yang boleh membawa maut itu juga sebenarnya menyerang kaum lelaki, malah komplikasi yang dialami pesakit lelaki lebih teruk kerana sel barah yang menyerang mereka lebih agresif.

Anggaran Waktu Membaca:
Kaum lelaki yang hidap barah payudara alami komplikasi lebih teruk

Gambar fail seorang doktor. (Gambar: AFP/Joe Raedle)

Diterbitkan : 18 Feb 2019 07:08PM Dikemas Kini : 18 Feb 2019 07:10PM

ALOR SETAR: Barah payudara sinonim dengan golongan wanita, namun penyakit yang boleh membawa maut itu juga sebenarnya menyerang kaum lelaki, malah komplikasi yang dialami pesakit lelaki lebih teruk kerana sel barah yang menyerang mereka lebih agresif.

Pakar Bedah Am Kedah Medical Centre (KMC), Dr Khairun Nizam Mobin berkata sekurang-kurangnya terdapat lima jenis barah payudara dan kajian mendapati, misalnya seorang lelaki mendapat barah jenis ‘A’ dan wanita menghidap barah yang sama, peluang untuk pesakit wanita pulih lebih tinggi.

“Punca sel barah payudara lebih agresif bagi kaum lelaki tidak dapat dipastikan, cuma kita dapati selepas menjalani rawatan, ubat-ubat yang diberikan kepada pesakit lelaki kurang memberi tindak balas.

“Kaum lelaki tidak banyak hormon estrogen pun untuk kita nak sekat, mungkin barah ini jadi agresif sebab tidak ada benda nak ditahan,” katanya.

Menurutnya, walaupun nisbah risiko bagi seseorang lelaki menghidap barah payudara hanya satu dalam 100,000 (1:100,000), perkara itu tidak boleh dipandang remeh, sebaliknya ujian saringan awal perlu dilakukan jika mereka mempunyai simptom barah payudara.

"Jika terdapat ketulan, bengkak, perubahan pada kulit, payudara besar tiba-tiba atau keluar seperti nanah atau darah dari puting, cepat jumpa doktor untuk pemeriksaan lanjut. Seperti wanita, lelaki juga boleh menjalani pemeriksaan mamogram untuk mengesan barah di peringkat awal," katanya.

Ditanya tentang bagaimana barah payudara boleh menyerang lelaki, Dr Khairun Nizam berkata kebiasaannya ia bersifat 'sporadik' atau berlaku dengan sendirinya tanpa sebarang punca khusus.
"Tapi kita tidak menolak kemungkinan puncanya lebih kurang sama seperti pesakit wanita iaitu mempunyai sejarah keluarga yang menghidap barah payudara atau faktor genetik," katanya.

Beliau berkata kesedaran yang kurang atau stigma golongan lelaki yang beranggapan mereka tidak berisiko hidap barah payudara kadang kala menyebabkan pesakit mengesannya ketika sudah berada di tahap akhir dan penularan sel barah sudah tidak dapat dikawal lagi.

"Sangat penting untuk mengesan penyakit ini di peringkat awal kerana jika barah payudara dikesan lebih awal, rawatan akan lebih berkesan dan peluang untuk sembuh lebih tinggi.

"Antara rawatan yang dijalankan adalah seperti pembedahan membuang sebahagian kawasan yang ada sel barah, rawatan radioterapi dan akan ada rawatan sokongan susulan untuk membolehkan pesakit meneruskan kehidupan seperti biasa," katanya.

Dr Khairun Nizam berkata pesakit yang selesai menjalani rawatan dan disahkan bebas barah, disarankan menyertai kumpulan sokongan, mendapatkan kaunseling secara konsisten serta mengamalkan gaya hidup dan pemakanan sihat kerana penyakit itu boleh berulang.

Dalam pada itu beliau juga mengingatkan pesakit yang baru disahkan menghidap barah payudara supaya tidak mudah terpengaruh dengan testimoni pelbagai produk kesihatan atau suplemen di pasaran, sebaliknya perlu mengikut nasihat doktor.

Sumber : Bernama/NA/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan