Images
  • karnival beli barangan malaysia
    (Gambar: BERNAMA)

Karnival Beli Barangan M'sia sasar pembeli dari Johor, S'pura

JOHOR BAHRU: Karnival Beli Barangan Malaysia 2019 (KBBM 2019) Peringkat Kebangsaan anjuran Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) yang bermula pada 30 Okt hingga 3 Nov ini dijangka menarik lebih 350,000 pengunjung dari dalam dan luar negara termasuk warga Singapura.

Pengarah Bahagian Pembangunan Perniagaan KPDNHEP Putrajaya, Ismainur Hadi Amat Bakeron berkata sasaran itu meliputi pengunjung dari Johor khususnya daerah Johor Bahru, seluruh Malaysia dan juga Singapura.

Pelbagai program menarik kata beliau disediakan termasuk pameran jualan yang merangkumi semua barangan dan keperluan dari pelbagai industri.

"Program ini merangkumi semua sektor industri yang ada di negara ini dan KBBM 2019 kali ini kita bawa ke Johor Bahru dalam skala mega dengan lebih 350 gerai pameran dan jualan disediakan melibatkan 500 usahawan kesemuanya.

"Program selama lima hari ini menyaksikan penyertaan dari pelbagai syarikat dan jenama terutama syarikat berasaskan minyak dan gas ternama, peruncit utama tempatan termasuk syarikat automotif tempatan terlibat untuk mempromosikan barangan keluaran mereka," katanya kepada pemberita di Plaza Angsana di sini Johor Bahru pada Jumaat (1 Nov).

Beliau berkata, KPDNHEP berharap semua rakyat di negara ini hadir ke KBBM 2019 untuk memberi sokongan terhadap barangan buatan Malaysia serta merebut peluang mendapatkan barangan dengan harga yang lebih berpatutan.

"Jadi saya rasa warga Johor khususnya warga Johor Bahru seharusnya mengambil peluang ini untuk mengunjungi karnival ini kerana pelbagai tawaran menarik termasuk terdapat syarikat menawarkan jualan sehingga 70 peratus potongan dan karnival ini seharusnya dilihat sebagai satu peluang yang baik kepada pengunjung untuk mendapatkan barangan yang memberi nilai kepada wang yang dibelanjakan,” katanya lagi.

Penganjuran Hari Penjaja dan Peniaga Kecil (HPPK) 2019 peringkat Zon Selatan di Plaza Angsana yang berlangsung selama lima hari bermula Rabu lalu dari 8.00 pagi sehingga 10.00 malam itu menyediakan pelbagai aktiviti menarik seperti pameran dan jualan selain demonstrasi produk, program kepenggunaan, persembahan serta aktiviti bersama keluarga.

KBBM 2019 dirasmikan Timbalan Perdana Menteri Dr Wan Azizah Wan Ismail pada 2 November dan Menteri KPDNHEP, Saifuddin Nasution Ismail. Menteri Besar Johor Datuk Dr Sahruddin Jamal turut dijadual hadir.

- BERNAMA/TQ/tq

Top