Skip to main content

Iklan

Iklan

Gaya Hidup

Kapal 105 tahun 'berlabuh' di darat; disuntik nafas baru sebagai hotel serba unik di Bintan

Pertama kali belayar pada tahun 1914 – selang dua tahun selepas kapal ikonik Titanic – kapal MV Doulos yang pernah memegang rekod sebagai kapal pesiaran aktif yang tertua di dunia kini diberi nafas baru sebagai sebuah hotel kapal atas darat yang pertama di pulau Bintan, Indonesia.

Anggaran Waktu Membaca:

BERITAmediacorp: Pertama kali belayar pada tahun 1914 – selang dua tahun selepas kapal ikonik Titanic – kapal MV Doulos yang pernah memegang rekod sebagai kapal pesiaran aktif yang tertua di dunia kini diberi nafas baru sebagai sebuah hotel kapal atas darat yang pertama di pulau Bintan, Indonesia.

Diberi nama Doulos Phos The Ship Hotel, ia terletak berhampiran Terminal Bandar Bentan Telani yang boleh dikunjungi dengan menaiki feri hanya sejam dari Singapura.

Para pengunjung dan mungkin juga tetamu hotel pasti kagum melihat kapal sepanjang 130 meter dan setinggi 5.5 meter itu ibarat ‘berlabuh’ di darat. Sekitar 90,000 tan metrik pasir ditambak bagi membentuk sebuah kawasan yang direka sedemikian rupa agar ia benar-benar dapat menampung kapal Doulos Phos yang kelihatan begitu tersergam megah. Menariknya, ia diberi nama ‘Anchor Isle’ kerana bentuknya yang mirip seperti sauh jika dilihat dari udara.

(‘Anchor Isle’ yang berbentuk seperti sauh jika dilihat dari udara. Gambar: Facebook/Doulos Phos)

Ruang dalaman Doulos Phos pula dinaik taraf hampir sepenuhnya untuk memuatkan 104 bilik tetamu atau ‘kabin’ menurut istilah perkapalan. Setiap kabin diserikan dengan pelbagai perabot dan perhiasan yang menyerlahkan lagi ciri-ciri samudera seperti tingkap-tingkap magun (porthole) dan ruang duduk yang menggunakan kerusi ‘booth seat’.

Ruang dek Nakhoda (kapten kapal) lama pula dijadikan suite kabin mewah yang diberi nama ‘Master Mariner’. Dengan ukuran seluas 100 kaki persegi, tetamu-tetamu istimewa yang menginap di situ berpeluang berendam dalam jacuzzi privet selain menikmati hidangan barbeku di bawah cahaya yang menerangi langit malam.

Sebagai hotel, Doulos Phos tidak kurang dari segi prasarana-prasarana yang disediakan. Di samping dua restoran yang menghidangkan jamuan fusion Indo-Belanda, hotel kapal itu turut menyediakan ruang acara yang sesuai bagi acara-acara korporat atau majlis perkahwinan, sebuah amfiteater, khidmat spa, sauna serta sebuah gimnasium. Bahkan terdapat juga kolam renang infiniti yang memberi para pengunjung peluang menyaksikan matahari terbenam di ufuk tanpa sebarang halangan dan berlatarkan Laut China Selatan.

Bagi menghayati dan menghargai nilai sejarah kapal itu pula, bilik enjinnya akan dipulihara dan dilestarikan sebagai sebuah muzium maritim. Kesan khas seperti bunyi enjin berdentam-dentum dan penghembus wap akan dipasang untuk menghidupkan semula suasana seperti ketika enjin tersebut masih berfungsi seperti dahulu kala.

IMPIAN 30 TAHUN, S$23 JUTA JADI KENYATAAN

Doulos Phos adalah hasil cetusan idea seorang usahawan Singapura, Encik Eric Saw, yang sejak lebih 30 tahun dahulu menanamkan niat untuk memulakan sebuah syarikat yang menyalurkan 100 peratus keuntungannya kepada kerja-kerja amal.

Encik Saw, yang juga merupakan pengarah sebuah syarikat makanan dan minuman (F&B) tempatan, Source Ed-ventures Pte Ltd, mula mengumpul dana sedikit demi sedikit ke arah memenuhi cita-cita itu.

Pada tahun 2010, beliau menyelamatkan MV Doulos daripada dijadikan besi sekerap setelah mendapat khabar bahawa pemiliknya pada ketika itu merancang untuk menjualnya. Encik Saw berjaya mengalahkan lima pembida lain dan mendapatkan kapal bersejarah itu pada harga S$2 juta dolar.

Pada mulanya, Encik Saw cuba mendapatkan kebenaran untuk melabuhkan MV Doulos sebagai sebuah hotel terapung di perairan Singapura. Malangnya, lebih 10 kertas cadangan beliau ditolak oleh pihak berkuasa.

“Di Singapura, selama lebih tiga tahun kami meminta tempat tetapi tidak dapat. Anda tahulah, Singapura kecil dan (pihak berkuasa) mungkin tidak tahu saya ini benar-benar atau temberang. Tiga tahun lebih tanpa sukses, seorang kawan cakap kepada saya mengapa tidak cuba Bintan? Barangkali Bintan pun bagus, dekat dengan Singapura,” kongsi Encik Saw yang mesra disapa sebagai Eric.

Mujur, pada 2013, Bintan Resorts International yang menguruskan beberapa daya tarikan pelancong di bahagian utara pulau itu bersetuju untuk membantu Eric menjadikan MV Doulos sebuah hotel kapal di atas darat.

Di situlah datang cabaran seterusnya: Bagaimana untuk membawa kapal seberat 7,000 tan ke darat?

DARI MV DOULOUS MENJADI DOULOS PHOS: SENI KEJURUTERAAN YANG MENGAGUMKAN

Untuk merungkai masalah itu, Eric membentuk sebuah pasukan yang terdiri daripada kontraktor pakar, jurutera awam, jurutera struktur, arkitek perkapalan serta arkitek darat. Salah seorang daripada mereka ialah Encik Vijayakumar R.K., pengurus besar bahagian projek di syarikat Gallant Venture Ltd Singapore. Beliau menceritakan cabaran-cabaran yang diharungi pasukannya.

“Pertama sekali, kami harus pertimbangkan lokasi di mana platform untuk Doulos Phos akan dibina. Di bahagian kiri ada sungai, di kanan pula ada laluan perkapalan. Jadi, kami harus meletakkannya di tengah-tengah.

"Tambahan pula, sepanjang proses projek ini, kami tidak dibenarkan mengganggu sistem sungai atau laluan perkapalan dan membuat apa-apa pun, kami harus memastikan agar tidak mencemari kawasan sekeliling. Kami menjaga kehidupan marin agar mata pencarian nelayan-nelayan di sini juga terpelihara,” kongsi beliau.

Mentelah lagi, masa tidak menyebelahi mereka. Pasukan Eric diberi hanya setahun untuk menyelesaikan projek tersebut.

Bagi menampung berat kapal, tanah Anchor Isle yang baru ditambak perlu diperkukuhkan terlebih dahulu dengan 99 cerucuk (pile) yang dipacak 40 meter ke dalam dasar laut. Kemudian, lapisan konkrit setebal setengah meter dituang di atasnya.

Dengan bantuan kabel-kabel win (winch cables) setebal lengan manusia dan 15 beg udara gergasi, Eric dan pasukannya berjaya menarik kapal MV Doulos sejauh 170 meter untuk sampai ke kedudukan muktamadnya di darat.

Setelah itu, barulah 180 pekerja binaan mula bekerja bertungkus lumus untuk memberi Doulos Phos wajah baru. Memandangkan usia kapal itu sudah mencecah 100 tahun, kesemua kabel elektrik dan paip air mesti digantikan dengan yang baru untuk memastikan ia selamat untuk digunakan.

“Pening tetapi amat memuaskan. Perlahan-lahan kami lihat kapal yang kotor dibersihkan, setelah itu dicat, dihiaskan dengan perabot dan lampu. Hati rasa syiok!” kata Eric sambil tersenyum bangga.

Pasukan beliau berjaya menepati tarikh akhir yang ditetapkan. Memakan masa setahun dan menelan belanja sebanyak S$23 juta dolar, Doulos Phos The Ship Hotel akhirnya dibuka secara tidak rasmi pada 20 Ogos tahun lalu.

BEKAS ANAK KAPAL MV DOULOS MENGENANGNYA

Sejak itu, Doulos Phos sudah menerima kunjungan daripada para pelancong dari setiap pelosok dunia, termasuk bekas anak kapal yang pernah bertugas di atas kapal yang diberi nama jolokan ‘grand old lady’ itu.

BERITAmediacorp berpeluang bertemu dengan bekas ketua pegawai MV Doulos, Encik Andrew Lerh Eng Hua, dan seorang anak kapal, Cik Jia Min Choo, yang begitu teruja melihat transformasi kapal itu.

“Mendapat peluang melihat kapal ini lagi, dalam keadaannya sekarang walaupun di atas darat, jauh lebih baik daripada ia musnah sebagai besi sekerap. Kehadiran saya di sini membangkitkan banyak memori. Saya pasti apabila anak-anak saya datang nanti, mereka juga akan berseronok mengingat kembali masa-masa lalu,” kata Encik Andrew Lerh yang berkhidmat di MV Doulos selama dua tahun bersama isteri dan dua orang anaknya.

Bagi Cik Jia Min pula, beliau mengenang suasana kapal MV Doulos yang dahulu sentiasa riuh-rendah dengan kehadiran ratusan rakan krunya. Menurut beliau, kapal itu berubah fungsi pada 1977 daripada sebuah kapal pesiaran yang hanya membawa penumpang kelas pertama, kepada sebuah kapal yang membawa para pendakwah Kristian seperti menziarah pelbagai negara di merata dunia.

“Kini, kapal ini tidak dapat mengunjungi negara-negara itu, tetapi rakyat mereka akan datang dan mengunjungi kapal ini sebagai hotel. Saya amat teruja dengan lembaran baru Doulos Phos ini dan saya berharap kapal ini akan diceriakan lagi dengan perbualan orang ramai yang ingin mengenali antara satu sama lain,” kongsi beliau.

Doulos Phos akan dibuka secara rasmi pada bulan Jun tahun ini. Ketika ditanya apa yang akan dilakukan dengan keuntungan pertama hotel itu, Eric berkata beliau merancang untuk mendermakannya kepada usaha membina telaga-telaga air bersih di sebuah kampung di India.

Sumber : BERITA Mediacorp/ih
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan