Skip to main content

Iklan

Iklan

Gaya Hidup

Kandungan gula dalam jus buah mungkin sama dengan minuman gas

Tidak kira yang segar, dalam paket atau 'cold-pressed' iaitu tanpa sebarang bahan tambahan, kandungan gula dalam jus buah-buahan pada hakikatnya mungkin sama atau lebih tinggi berbanding satu tin minuman bergas.

Anggaran Waktu Membaca:
Kandungan gula dalam jus buah mungkin sama dengan minuman gas
Diterbitkan : 21 Jul 2019 09:11PM Dikemas Kini : 21 Jul 2019 09:16PM

SINGAPURA: Semasa cuaca panas, mungkin ramai yang akan memilih jus buah-buahan sejuk dan menyegarkan sebagai pilihan kerana menganggap ia lebih sihat berbanding minuman bergas.

Namun, ujian yang dijalankan Mediacorp dengan bantuan para pakar di Politeknik Temasek menunjukkan jus tidak semestinya pilihan lebih sihat.

Tidak kira yang segar, dalam paket atau 'cold-pressed' iaitu tanpa sebarang bahan tambahan, kandungan gula dalam minuman ini mungkin sama atau lebih tinggi berbanding satu tin minuman bergas.

Berikut perbandingan kandungan gula dalam pelbagai jus buah-buahan berbanding minuman bergas:

(Grafik maklumat: CNA)

BEZA MAKAN BUAH DAN MINUM JUS

Ketua Pusat Khidmat Nutrisi Gunaan Dr Kalpana Bhaskaran berkata, memakan buah membawa lebih manfaat zat berbanding minum jus, meskipun jus itu dibuat daripada buah-buahan segar.

Menurutnya, proses membuat jus menyebabkan kehilangan serat serta zat vitamin dan galian yang terdapat pada buah.

Memandangkan lebih daripada sebiji buah biasanya diperlukan untuk menghasilkan segelas jus, jumlah gula dalam jus secara semulajadi lebih tinggi berbanding memakan sebiji buah.

Malah, kekurangan serat akibat proses menghasilkan jus bukan hanya kurang baik untuk kelancaran usus.

Lembaga Penggalak Kesihatan (HPB) menyatakan tanpa serat, gula dari jus buah-buahan akan menyerap ke dalam aliran darah dengan cepat. Ini "sama seperti apa yang berlaku semasa kita mengambil minuman manis seperti soda," menurut seorang jurucakap.

Lama-kelamaan ini melemahkan pankreas yang menghasilkan insulin dan boleh menyebabkan penambahan berat badan dan kencing manis, tambahnya.

"Ramai menyangka gula semula jadi adalah lebih sihat daripada gula tambahan, namun dari segi kimia tiada perbezaan antara kedua-duanya, dan kedua-duanya mempunyai kesan sama terhadap paras gula dalam darah," tambah jurucakap itu.

Atas dasar ini, HPB menyatakan meminum jus buah-buahan segar tiada bezanya dengan meminum jus yang siap dibungkus.

CARA 'COLD PRESSED' LEBIH BAIK?

Jus yang disiapkan secara 'cold-pressed' semakin popular kerana ia dianggap lebih baik. Sebuah alat khas digunakan untuk mengeluarkan jus secara perlahan bagi mengekalkan sebanyak mungkin kandungan zat.

Namun menurut HPB, dari segi kandungan gula, tiada bezanya jus 'cold pressed' dengan jus yang disiapkan menggunakan alat pembuat jus biasa.

Seorang jurucakap menerangkan, jus 'cold pressed' mempunyai kesan sama terhadap "kandungan gula dalam darah, penambahan berat badan dan kencing manis".

Lantaran itu, HPB mengesyorkan orang awam memilih buah-buahan segar berbanding jus, dan hadkan pengambilan jus buah-buahan kepada hanya segelas sehari.

Sumber : CNA/TQ/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan