Skip to main content

Iklan

Iklan

Gaya Hidup

Kanak-kanak bebas guna aplikasi TikTok boleh jadi ketagih, sasaran pedofil: Pakar

Aplikasi video TikTok adalah antara platform media sosial yang popular masa kini, bukan sahaja dalam kalangan generasi muda dan orang dewasa, malah juga kanak-kanak. 

Anggaran Waktu Membaca:
Kanak-kanak bebas guna aplikasi TikTok boleh jadi ketagih, sasaran pedofil: Pakar

Aplikasi TikTok. (Gambar: REUTERS)

Diterbitkan : 01 Jun 2021 12:26PM Dikemas Kini : 01 Jun 2021 12:28PM

KUALA LUMPUR: Aplikasi video TikTok adalah antara platform media sosial yang popular masa kini, bukan sahaja dalam kalangan generasi muda dan orang dewasa, malah juga kanak-kanak. 

Yang menjadi persoalan, sejauh mana aplikasi itu selamat untuk kanak-kanak memandangkan ia tidak mempunyai batas sempadan dan sesiapa sahaja bebas untuk melihat apa yang dimuatnaikkan dalam aplikasi tersebut tanpa sebarang sekatan.

Aplikasi berkenaan pada mulanya dikenali sebagai ‘Douyin’ yang bermaksud video pendek dan apabila ia semakin popular, ia diberi nama baru iaitu TikTok.

Memandangkan ia semakin menjadi pilihan kanak-kanak di Malaysia seawal usia empat tahun, Bernama mendapatkan penjelasan daripada Pensyarah Perubatan & Pakar Psikiatri, Fakulti Perubatan & Sains Kesihatan, Hospital Pengajar Universiti Putra Malaysia (HPUPM), Universiti Putra Malaysia iaitu Dr Ruziana Masiran untuk mengupas perkara ini.

“Pengguna yang berusia di bawah 13 tahun boleh menggunakan versi TikTok yang ditapis tetapi ada yang bimbang kanak-kanak mungkin berbohong tentang umur mereka mereka untuk melihat kandungan yang tidak ditapis. Tambahan pula, pandemik COVID-19 menjadi penyebab berlakunya peningkatan jumlah pengguna TikTok kerana mereka berada di rumah sepanjang masa,” katanya.

Menurut Dr Ruziana menerusi sumber dari Global Web Index, sehingga Februari 2020, TikTok memiliki anggaran 800 juta pengguna aktif di seluruh dunia dan di Amerika Syarikat sahaja pada tahun 2020.

Penggunaan TikTok meningkat dua kali ganda kepada 82 minit sehari pada bulan Februari berbanding 38 minit pada bulan Mei 2019. 

"Data tersebut juga menunjukkan 90 peratus pengguna TikTok mengunjungi aplikasi itu lebih dari sekali dalam sehari. Rata-rata masa yang dihabiskan dalam aplikasi, menurut TikTok, hampir 5 minit, iaitu lebih lama daripada Snapchat dan Instagram.

“Walaupun 41 peratus pengguna TikTok di seluruh dunia berumur 16 hingga 24 tahun, sepertiga daripada pengguna TikTok di Amerika Syarikat berumur 14 tahun ke bawah," jelasnya. 

GADAI PRIVASI KANAK-KANAK

Kanak-kanak berumur empat hingga 15 tahun yang menggunakan TikTok menghabiskan purata 80 minit sehari di aplikasi itu, berbanding dengan 85 minit sehari menonton video di YouTube.

Menurut Dr Ruziana, maklumat berkenaan berdasarkan data dalam laporan tahunan oleh Qustodio (aplikasi kawalan keibubapaan berpangkalan di Barcelona, Sepanyol) melibatkan 60,000 keluarga dengan anak-anak berusia 4-14 tahun di Amerika Syarikat, United Kingdom dan Sepanyol.

Beliau menegaskan, walaupun TikTok memberi peluang kepada kanak-kanak dan remaja untuk menzahirkan ekspresi kreatif menggunakan kerangka yang mudah dengan pengguna mempunyai akses percuma kepada penyuntingan video, audio dan gambar yang serupa dengan sofwe profesional, namun wadah sosial itu perlu dilihat lebih meluas lagi dengan kesan berpanjangan dari sudut negatif.

Mengulas lanjut, beliau berkata penggunaan TikTok mengundang bahaya kepada kanak-kanak kerana kelompok itu berpotensi terkena Pemangsa Seksual atau Pengantunan Seksual.

"Walaupun platform ini berusaha keras untuk mengurangkan risiko pemangsa seksual dalam kalangan anak-anak di bawah umur, masalah ini masih berleluasa di TikTok. Contohnya, individu dewasa boleh menghantar mesej dan gambar berbentuk seksual kepada kanak-kanak. Terdapat banyak kejadian di mana ibu bapa harus melaporkan tingkah laku pemangsa kepada polis," katanya.

Menurut beliau lagi, lebih membahayakan pengunaan TikTok boleh memudaratkan privasi di mana aplikasi tersebut boleh menggadai privasi kanak-kanak, remaja serta keluarga mereka. 

"Contohnya, apabila anak-anak membuat video di rumah mereka, mereka mendedahkan ruang privasi di dalam rumah, berkongsi lokasi, mempamerkan kereta ibu bapa mereka dan mempamerkan nombor plat kenderaan”.

Akibatnya, pihak tidak bertanggungjawab boleh mengambil peluang atas maklumat-maklumat peribadi sebegini dan pelbagai ugutan, jenayah siber mahupun jenayah secara fizikal boleh berlaku.

BOLEH MENYEBABKAN KETAGIHAN

Memandangkan aplikasi TikTok mempunyai bahan "aliran tanpa henti" , pelajar (kanak-kanak dan remaja) cenderung menghabiskan masa yang lama, bahkan mungkin berupaya menjadi ketagih menonton video selama berjam-jam pada satu-satu masa.

Justeru bagi mengawal keadaan sebelum menjadi lebih parah, Dr Ruziana berkata ibu bapa perlu tahu nama akaun TikTok anak mereka, mengikuti akaun anak, dan memastikan akaun mereka diletakkan sebagai privet.

Beliau menyarankan penggunaan ciri “Family Pairing Feature” di dalam TikTok  (alat kawalan ibu bapa yang membolehkan ibu bapa menghubungkan akaun TikTok anak mereka dengan mereka sendiri, memberikan mereka kawalan langsung terhadap tetapan privasi anak).

Selain itu, ibu bapa digalakkan membuat dialog terbuka dengan anak mengenai jenis video yang mereka suka tonton dan hantar.

“Jadikan perbualan tentang TikTok mereka ini perbualan yang santai agar mereka suka berkongsi dengan ibu bapa. Nasihatkan anak bahawa 'posting' yang negatif boleh kembali merosakkan reputasi mereka di masa hadapan terutama ketika mereka di kolej atau semasa bekerja kelak," katanya. 

Sumber : Bernama/HA/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan