Skip to main content

Iklan

Iklan

Gaya Hidup

Kambing 'handsome' lagi pemalu tawan pengguna media sosial

Di sebuah ladang di Enggor, Kuala Kangsar, terdapat seekor kambing yang dilabel sebagai kambing 'handsome' atau kacak dek remos atau jambulnya yang berbelah tengah serta janggut panjang berwarna putih kekuningan.

Anggaran Waktu Membaca:
Kambing 'handsome' lagi pemalu tawan pengguna media sosial

(Gambar: BERNAMA)

Diterbitkan : 14 Jul 2019 09:50PM Dikemas Kini : 14 Jul 2019 11:15PM

KUALA KANGSAR: Di sebuah ladang di Enggor, Kuala Kangsar, terdapat seekor kambing yang dilabel sebagai kambing 'handsome' atau kacak dek remos atau jambulnya yang berbelah tengah serta janggut panjang berwarna putih kekuningan.

Kambing berbulu putih bersih itu merupakan satu daripada 17 ekor baka Saanen yang ada di ladang ternakan Muhammad Livestock Farm dan ia kini tular di media sosial sehingga ke negara jiran.

(Gambar: Muhammad Livestock Farm/Facebook)

Seorang daripada pengendali ladang tersebut iaitu Ahmad M. Fadzir - seorang lulusan diploma perakaunan dari Universiti Sultan Azlan Shah dan berusia 21 tahun -menerangkan, bahawa sajak dengan rupanya, kambing berumur 11 bulan itu diberi nama Remos.

Ketika diambil daripada pembekal di Terengganu pada Mac lalu, tiada sebarang keunikan atau keistimewaan yang dikesan pada diri Remos. 

"Hanya bulan lepas saya ambil gambar kambing ini menggunakan kamera (sebelum ini guna telefon), barulah saya perasan yang ia lain daripada yang lain. Kemudian saya muat naik dalam Facebook," katanya ketika ditemui di ladang itu.

Ahmad menambah bahawa satu lagi perkara menarik pada haiwan itu adalah sifat pemalunya lebih-lebih lagi apabila ia berdepan dengan orang yang baru ia ketemu.  

"Kadang-kadang kalau saya sendiri hendak pegang pun, ia lari dan menjauhkan diri," kongsi Ahmad.

Ternyata, Remos bukan sahaja kambing yang kacak tetapi juga pemalu kerana usaha Bernama untuk merakam gambarnya tidak semudah dijangka.

Perkongsian beberapa keping gambar Remos oleh Ahmad di laman Facebook Muhammad Livestock Farm baru-baru ini mendapat perhatian ramai warga netizan sehingga menjadi tular. 

(Gambar: BERNAMA)

Ahmad yang menguruskan ladang itu bersama kembarnya, Muhammad, berkata pihaknya tidak bercadang untuk menjual Remos walaupun banyak pihak menawarkan harga menarik.

"Saya tidak fikir hendak jual kerana mahu jadikan ia bapa (baka jantan). Selain itu kambing ini juga telah menjadi ikon kepada ladang kami," jelasnya. 

Ahmad dan kembarnya mengambil alih ladang itu daripada ayah mereka sekitar tahun 2016. 

Sumber : Bernama/FZ/fz
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan