Skip to main content

Iklan

Iklan

Gaya Hidup

Kafe Jakarta dikendali orang tuli mahu atasi diskriminasi

Ilham menubuhkan sebuah perniagaan kafe timbul setelah mengalami kebuntuan apabila gagal mendapatkan pekerjaan.

Anggaran Waktu Membaca:
Kafe Jakarta dikendali orang tuli mahu atasi diskriminasi

(Gambar: Mediacorp)

Diterbitkan : 02 Nov 2019 01:18PM Dikemas Kini : 02 Nov 2019 01:39PM

JAKARTA: Ilham menubuhkan sebuah perniagaan kafe timbul setelah mengalami kebuntuan apabila gagal mendapatkan pekerjaan.

Encik Adhika Prakoso menghantar lebih 200 permohonan pekerjaan, namun ditolak kesemuanya.

Ternyata, bukan beliau sahaja yang menghadapi nasib sebegitu. Dua orang rakannya juga mengalami nasib yang sama.

Ketiga-tiga rakan ini - yang hilang daya pendengaran ketika mereka kecil mengenali satu sama lain sejak mereka di tadika.

Enggan berpeluk tubuh, mereka bertiga sepakat menubuhkan sebuah perniagaan.

Undang-undang tentang Kurang Keupayaan di Indonesia yang diluluskan pada 2016 melarang amalan diskriminasi dalam proses pengambilan pekerja dan mewajibkan setiap perniagaan memperuntukkan 1 peratus daripada jumlah tenaga kerja kepada golongan kurang upaya.

Namun, setelah beberapa kali diberitahu oleh syarikat-syarikat bahawa beliau tidak sesuai bekerja bersama mereka kerana ketidakupayaannya untuk berkomunikasi secara “baik dan pantas”, Encik Prakoso tertanya-tanya beberapa banyak daripada kuota itu sebenarnya diberikan kepada golongan tuli.

“Nampaknya golongan tuli adalah orang terakhir yang ingin digajikan oleh syarikat-syarikat,” ujarnya.

Berdasarkan pengalaman silam dan perit jerih yang dihadapi Encik Prakoso dan teman-temannya, ‘Kopi Tuli’ ibarat jambatan yang menghubungkan golongan tuli dengan mereka yang sempurna pendengaran.

Ia akan dijadikan wadah untuk menggalakkan penggunaan bahasa isyarat dan memperkasakan golongan tuli supaya mereka dapat menyara hidup sendiri.

Mereka bertiga juga bernasib baik kerana mendapat sokongan keluarga yang suka akan idea tersebut dan bersetuju untuk membiayai perniagaan mereka.

Malah, bapa saudara Encik Prakoso turut menawarkan restoran bertema skuter miliknya di selatan Jakarta untuk ditukar kepada sebuah kafe.

Namun hanya ada satu masalah, mereka bertiga tidak tahu bagaimana untuk membuat kopi yang enak.

Mereka menghabiskan beberapa minggu untuk menimba kemahiran sebagai seorang barista dan mengikuti kelas di pelbagai kafe dan kedai pemanggang biji kopi di sekitar Jakarta dan Bandung.

Meskipun kelihatan mudah, ia sesuatu yang mencabar bagi mereka.

“Golongan tuli mengambil masa lebih lama untuk mempelajari kemahiran baru,” jelas salah seorang pengasas kafe itu, Encik Putra.

Oleh kerana mereka hanya boleh membaca daripada bibir pengajar, ia menjadi satu masalah apabila tenaga pengajar itu bertutur terlalu pantas atau berdiri pada jarak jauh atau tidak memandang ke arah pelajar ketika mengajar.

“Kami perlu menerangkan kepada mereka bahawa kami tuli dan meminta agar mereka mengulangi apa yang dikatakan dengan lebih perlahan,” kata Encik Putra lagi.

Namun begitu, masalah komunikasi masih berlaku.

“Sebagai contoh, perkataan ‘mama’ dan ‘papa’ kelihatan sama bagi golongan tuli yang membaca bibir si penutur. Oleh itu, jangan terkejut jika kami sering mengulangi soalan yang sama,” kata Encik Putra.

JAMBATAN ANTARA GOLONGAN TULI DAN SEMPURNA PENDENGARAN

Kopi Tuli dibuka kepada orang awam pada 12 Mei tahun lalu, sambil mengekalkan tema skuter vintaj sama seperti restoran milik bapa saudara Encik Prakoso.

Logo kafe itu juga adalah bahasa isyarat Indonesia bagi perkataan ‘kopi’.

Dengan harga minuman antara 19,000 dengan 21,000 rupiah (S$1.85 - $2.04), kafe itu popular dalam kalangan belia.

Menariknya, muzik dan khidmat Wi-Fi tidak disediakan di kafe itu.

“Kami ingin menggalakkan orang ramai supaya berinteraksi dan tidak menggunakan telefon. Kami menyediakan permainan papan bagi para pengunjung bermain bersama,” kata Encik Prakoso.

Pesanan minuman di kafe itu pula dibuat menerusi bahasa isyarat.

Encik Putra yang mengikuti kursus reka grafik, mencipta menu yang memberi panduan kepada golongan tuli dan sempurna pendengaran untuk membuat pesanan.

Setelah kejayaan di cawangan yang pertama, para pengasas Kopi Tuli menubuhkan cawangan kedua pada Oktober tahun lalu di Duren Tiga, Jakarta Selatan.

Kelas-kelas Bahasa Isyarat juga dikendalikan di kafe itu setiap selang sehari.

Kopi Tuli kini menggajikan enam pekerja golongan tuli.

“Ramai daripada rakan-rakan tuli kita yang menghantar permohonan pekerjaan, meminta agar kami menggajikan mereka. Saya berharap dapat menggajikan mereka semua tetapi kami tidak boleh berbuat demikian.

“Saya harap menerusi perniagaan kami ia akan meningkatkan kesedaran ramai dan menggalakkan syarikat-syarikat untuk menggajikan golongan kurang upaya. Saya juga berharap ia akan memberi inspirasi kepada golongan kurang upaya lain untuk memulakan perniagaan mereka dan memperkasakan orang lain,” kata Encik Putra. 

Sumber : CNA/HA/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan