Skip to main content

Iklan

Iklan

Gaya Hidup

Kafe Ailuromania di Dubai bantu carikan tuan, kediaman baru bagi kucing terbiar

Ibarat syurga bagi para pencinta kucing, 'cat cafe' atau kafe kucing di Dubai ini juga merupakan sebuah pusat jagaan dan perlindungan kucing di Amiriah Arab Bersatu (UAE) bagi kucing-kucing terbiar.

Anggaran Waktu Membaca:
Kafe Ailuromania di Dubai bantu carikan tuan, kediaman baru bagi kucing terbiar

Seorang pekerja memberi kucing makan di Ailuromania Cat Cafe di Dubai, 24 feb 2021. (Gambar: Reuters/Rula Rouhana)

Diterbitkan : 02 Mar 2021 12:44AM Dikemas Kini : 02 Mar 2021 12:48AM

DUBAI: Ibarat syurga bagi para pencinta kucing, 'cat cafe' atau kafe kucing di Dubai ini juga merupakan sebuah pusat jagaan dan perlindungan kucing di Amiriah Arab Bersatu (UAE) bagi kucing-kucing terbiar.

Ailuromania Cat Cafe, yang menjadi kafe kucing pertama di Timur Tengah setelah ia dibuka pada 2015, berharap 25 ekor kucing yang diselamatkannya itu akan dapat 'menenangkan' tuannya yang baru, di samping menyediakan tempat berteduh kepada haiwan-haiwan tersebut.

"Sesiapa saja yang mengalami tekanan hanya perlu mencari seekor kucing. Semua tekanan anda akan hilang," kata Cik Omnia Fareed, yang kedua-dua adiknya, Allaa dan Iman membuka kafe tersebut selepas menamatkan pengajian mereka di universiti.

Mereka mendapat ilham untuk berbuat demikian daripada kafe-kafe serupa di Korea dan London.

'Para penghuni asal' kafe itu adalah kucing-kucing terbiar yang dipelihara oleh keluarga Cik Omnia sejak beberapa tahun kebelakangan ini.

Ailuromania kini menjadi tempat berteduh bagi kucing-kucing dari wilayah Ras al Khaimah dan langkah ini diharap akan menggalak lebih ramai pencinta haiwan itu untuk mengambil dan memelihara haiwan tersebut.

(Gambar: Reuters/Rula Rouhana)

Nama kafe tersebut, Ailuromania, datang daripada perkataan 'ailurophile' yang bermakna pencinta kucing.

Kafe itu dilanggani para pelanggan tetap yang datang untuk menenangkan fikiran atau mungkin kerana mereka tidak dapat memelihara kucing di rumah masing-masing.

"Kucing-kucing ini comel dan gemar bermain," kata salah seorang pelanggan, Cik Shaasthra. Beliau menghargai usaha kafe tersebut menjaga kebajikan kucing dengan menasihati orang ramai supaya jangan mengangkat atau mengejutkan kucing-kucing itu.

Kafe ini juga mempunyai satu lagi 'tetamu istimewa'; seekor kucing terbiar yang akhirnya dipelihara oleh kafe tersebut.

(Gambar: Reuters/Rula Rouhana)

Sejak Dubai mula melonggarkan perintah berkurung pada musim panas yang lalu, kafe itu dibuka semula dengan jumlah pelanggannya dihadkan.

Dubai mempunyai jumlah kucing terbiar yang tinggi; dengan kebanyakan ditinggalkan di tepi jalan oleh tuannya.

Pada 2018, pihak berkuasa UAE pihak berkuasa menjadikannya sebagai satu kesalahan di sisi undang-undang untuk meninggalkan haiwan begitu saja.

Sejak beberapa tahun yang lalu, para aktivis kebajikan haiwan di Dubai sebaliknya menyarankan skim yang membolehkan jumlah kucing terbiar dikurangkan secara berperikemanusiaan. 

Sumber : Reuters/NJ/na
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan