Skip to main content

Iklan

Iklan

Gaya Hidup

Kaedah pertanian moden: Huraian jangka panjang masalah banjir Kelantan?

Kaedah bercucuk tanam moden seperti hidroponik mungkin boleh mengurangkan kerugian akibat banjir bagi para petani di Kelantan, memandangkan golongan tersebut adalah antara yang paling terjejas oleh air bah yang melanda negeri itu setiap tahun.

Anggaran Waktu Membaca:

BERITAmediacorp: Kaedah bercucuk tanam moden seperti hidroponik mungkin boleh mengurangkan kerugian akibat banjir bagi para petani di Kelantan, memandangkan golongan tersebut adalah antara yang paling terjejas oleh air bah yang melanda negeri itu setiap tahun.

Malah potensi kaedah agrikultur cara moden itu, menurut seorang pakar akademik yang ditemui BERITAmediacorp, adalah dua serampang.

Selain pertama sekali membantu tingkatkan pendapatan para petani, ia juga boleh menyumbang kepada usaha mengurangkan impak negatif pertanian ke atas alam sekitar, yang dikaitkan dengan fenomena banjir.

KESAN PADA 80% PENDUDUK KELANTAN

"Apabila musim banjir semua orang tidak boleh potong getah sebab pertamanya air penuh. Yang keduanya air hujan selalu turun. Itu menyebabkan ramai penduduk yang pemotong getah itu bermasalah."

Begitulah luahan hati seorang petani di Kelantan, Roslan Ahmad, ketika BERITAmediacorp berkunjung ke negeri utara Malaysia itu baru-baru ini untuk meninjau kesan banjir yang baru berlaku ke atas para penduduk.

Dengan pendapatan RM7.50 hingga RM10 sehari bergantung pada jumlah susu getah yang ditoreh, amat jelas kesan banjir ke atas sumber rezeki penduduk Kampung Gual Batu kawasan Rantau Panjang itu.

Encik Roslan adalah dalam kalangan 80 peratus penduduk Kelantan yang bergantung kepada hasil tuaian sebagai sumber pendapatan utama yang terjejas oleh banjir di negeri itu.

Malah tanpa perlu melihat pada perangkaan rasmi, amat ketara kesan banjir ke atas sektor pertanian di negeri Cik Siti Wan Kembang itu.

Meskipun BERITA berkunjung ke wilayah itu setelah selang beberapa hari pusat pemindahan sementara diisytihar tutup, terdapat beberapa kawasan pertanian yang masih dinaiki air.

(Gambar: Taufiq Hussein Zalizan)

Menurut para penduduk, di beberapa kawasan, air yang dipanggil 'banjir termenung' itu mengambil masa lebih seminggu sebelum susut sepenuhnya.

TINGKATKAN HASIL TUAI DENGAN TEKNIK MODEN, PRODUK PROSES

Melihat keadaan yang menjejas para petani setiap kali tiba musim tengkujuh, para kakitangan dan mahasiswa di Universiti Malaysia Kelantan (Kampus Jeli) cuba memperkenalkan satu kaedah bercucuk tanam moden kepada para petani.

"Untuk teknik penanaman teknik moden ini, kita boleh ambil pelajaran dari negeri-negeri yang dah berjaya seperti Jepun amnya. Jepun telah membuat hidroponik secara meluas iaitu mereka tidak perlukan tanah yang luas. Bahkan mereka buat di atas rumah mereka sendiri atau di belakang sekeliling rumahnya," kongsi pensyarah kanan Dr Zul Ariff Abdul Latiff.

Aktiviti penebangan pokok dijalankan dekat Kuala Krai, Kelantan (Gambar: Taufiq Hussein Zalizan/BERITAmediacorp)

Beliau menambah, teknik seperti hidroponik dan pertanian vertikal berpotensi membuahkan hasil yang lebih dengan memerlukan bidang tanah yang kurang atau bebas tanah. Ini lantas mengurangkan kesan banjir ke atas aktiviti pertanian.

Selain perubahan pada kaedah pertanian, Dr Zul berkongsi satu lagi cara untuk para petani melindungi diri daripada terjejas akibat fenomena alam. Beliau menyarankan petani mempelbagaikantanaman yang berimpak tinggi atau hasil keluaran yang pelbagai dan mempunyai permintaan tinggi serta pasaran yang baik.

Memberi contoh petani pisang, Dr Zul menerangkan lanjut: "Maksudnya bila musim banjir ini, petani pisang ini mereka cuba hasilkan produk seperti kerepek pisang jadi beliau tak risau bila ladangnya banjir. Secara tak langsung beliau akan fokus pada produk hasilan pisang.

"Kami di pihak universiti membuat bengkel dan kursus tentang produk-produk ini agar beliau boleh dapat pencarian yang lebih sewaktu ladang banjir ataupun tidak boleh menghasilkan pisang.

SELAMATKAN PETANI, SELAMATKAN SEKITARAN

Memandangkan isu penebangan hutan dan amalan pertanian mampan adalah antara isu yang kerap dibincangkan secara global dalam wacana berhubung alam sekitar, BERITA mencungkil pendapat Dr Zul sama ada isu ini juga relevan di Kelantan.

Dr Zul Ariff Abdul Latiff (Gambar: Taufiq Hussein Zalizan/BERITAmediacorp)

"Apabila kita tengok berlaku penebangan secara meluas, secara tak langsung muka bumi akan berubah, topografi bumi," jelas beliau. "Maksudnya bila pokok kurang, maka cuaca akan lebih panas. Maka secara tak langsung ia memberi kesan juga kepada alam sekeliling juga."

Antara huraiannya, kata beliau, adalah mengawal kawasan pertanian dan tanah ladang dibuka secara bergilir dan bertahap.

"Jadi kawasan pertanian juga perlu kita buat pusingan kitar. Kalau pusingan kitar ini lebih baik. Maksudnya kalau diusahakan kawasan ini, kawasan lain tidak diganggu," beliau menerangkan. "Tapi kalau diratakan semua secara serentak, maka ia akan beri kesan yang hebat kepada iklim segalanya. Dan oleh kerana itu proses pendidikan atau tunjuk ajar kepada petani atau golongan yang ingin dapat pendapatan yang lebih ini, perlu diteruskan."

PERMINTAAN, KOS JADI PERTIMBANGAN

Meskipun kaedah moden yang boleh meningkatkan daya hasil menunjukkan potensi yang besar, jalan menuju huraian ini tidak selurus atau semudah ungkapan.

Dr Zul berkongsi kepada BERITA, permintaan bagi hasil pertaian tempatan perlu meningkat sejajar dengan penghasilannya untuk pendapatan para petani benar-benar boleh meningkat.

Suasana di Pasar Siti Khadijah, Kota Bahru, Kelantan (Gambar: Taufiq Hussein Zalizan)

Dengan sokongan syarikat setempat untuk membeli hasil asas tani atau diproses yang bertambah, barulah dapat terbentuk rangkaian bekalan yang utuh yang dapat membangkitkan ekonomi industri itu, kata beliau.

Di pihak para petani pula, selain tidak terbiasa dengan cara-cara pertanian yang bukan tradisional, Dr Zul berkongsi secara jujur, satu perkara yang menjadi pokok pangkal keprihatinan dalam mendakapi teknik moden adalah kedudukan kewangan mereka.

"Saya nampak kerana masalah petani ini, mereka akan balik kepada masalah ringgit. Mereka akan kata ini kos yang tinggi. Jadi saya lihat teknik moden ini kedua-dua pihak perlu bekerjasama, sama ada pihak yang membantu atau yang dibantu perlu agak proaktif dalam teknik moden yang kita tidak boleh dipisahkan zaman ini." 

Sumber : BERITA Mediacorp/aq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan