Skip to main content

Iklan

Iklan

Gaya Hidup

Kadar amputasi anggota tubuh angkara kencing manis tinggi dalam kalangan rakyat S'pura

Apabila berkaitan dengan kencing manis, ramai orang mengetahui bahawa cara mengawal penyakit itu melibatkan sekatan diet dan suntikan insulin.

Anggaran Waktu Membaca:
Kadar amputasi anggota tubuh angkara kencing manis tinggi dalam kalangan rakyat S'pura

Seorang pesakit dengan kaki kudung. (Gambar: shieldhealthcare.com)

Diterbitkan : 08 Sep 2021 08:47PM Dikemas Kini : 09 Sep 2021 08:19AM

SINGAPURA: Sebahagian besar daripada kita mungkin tahu bahawa cara menguruskan penyakit kencing manis melibatkan pengawalan diet dan suntikan insulin. Tetapi tidak ramai akan terfikir tentang sesuatu yang drastik seperti amputasi anggota tubuh.

Hakikatnya, kes pembedahan sedemikian untuk merawat komplikasi bahagian bawah badan yang disebabkan oleh penyakit kencing manis atau DRLEC didapati tinggi dalam kalangan rakyat Singapura, menurut kajian oleh Sekolah Kesihatan Awam Saw Swee Hock Universiti Nasional Singapura (SSHSPH).

Ramai yang hanya mengaitkan penyakit kencing manis dengan sekatan diet dan suntikan insulin. (Gambar hiasan: istock)

Kajian itu, berdasarkan data lebih 156,600 pesakit kencing manis Jenis 2 antara 2007 dengan 2017 yang mendapati bahawa 20,744 pesakit menghidap DRLEC.

Dalam kalangan mereka 1,208 kemudian menjalani pembedahan untuk memotong anggota tubuh mereka.

Malah, 13 peratus daripada mereka berusia bawah 50 tahun, dedah Profesor Madya SSHSPH Kavita Venkataraman.

Selain itu, bagi pesakit bawah 50 tahun, tempoh untuk penyakit kencing manis bertambah buruk sehingga bertukar menjadi DRLEC adalah sekitar 27 bulan. Ini lebih singkat berbanding purata 31 bulan dalam kalangan pesakit lebih berumur.

APA MASALAHNYA?

Kajian itu menekankan kurangnya kesedaran dan kawalan kencing manis. Statistik pada 2016 menunjukkan bahawa 400,000 individu di Singapura menghidap penyakit tersebut.

Seorang daripada tiga pesakit tidak tahu sama sekali bahawa mereka menghidap penyakit itu. Dalam kalangan mereka yang tahu pula, seorang daripada tiga pesakit tidak mengawalnya dengan baik.

Jika dibiarkan, hampir sejuta penduduk di Singapura akan menghidap penyakit kencing manis menjelang 2050 dan oleh sebab itu, DRLEC juga berisiko meningkat.

Lebih teruk lagi, DRLEC boleh membebankan kedudukan kewangan seseorang pesakit.

Kos awal dimasukkan ke hospital untuk menjalani pembedahan kaki boleh menelan belanja antara AS$30,000 (S$40,670) dengan ASS$60,000 (S$80,740), kata Profesor Madya Andrew Choong dari Pusat Jantung Universiti Nasional Singapura.

Selepas itu, ia sebanyak AS$43,000 (S$57,865) hingga AS$60,000 (S$80,740) untuk rawatan lanjut sepanjang tiga tahun seterusnya.

Para pesakit kencing manis dinasihati agar kerap menjalani pemeriksaan kaki untuk mengesan DRLEC. (Gambar: istock)

BAGAIMANA UNTUK TAHU ANDA MENGHIDAP DRLEC?

Menurut Prof Madya Venkataraman, tanda-tanda awal mungkin termasuk:

  • Kurang deria rasa pada bahagian jari dan tapak kaki
  • Kekebasan atau terasa kesemut-semutan
  • Rasa sakit di kaki
  • Rasa sakit di betis, paha atau punggung semasa sedang berjalan tetapi hilang apabila mereka berhenti

APA BOLEH MENYUMBANG KEPADA DRLEC?

Antara faktor berisiko DRLEC termasuk keadaan teruk lain sewaktu didiagnosis dengan kencing manis, tidak mengawal kencing manis dengan baik, indeks jisim tubuh tinggi, merokok dan lanjut usia, terang Profesor Madya Venkataraman.

Oleh itu, Profesor Madya Choong menambah bahawa adalah penting untuk para pesakit kencing manis "menjalani pemeriksaan dan pengawalan kaki sebagai sebahagian daripada rawatan mereka".

Sumber : CNA/SM/sm
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan