Skip to main content

Iklan

Iklan

Gaya Hidup

Jurulatih F17 Habil Hakim nasihatkan jurulatih muda belajar rendah diri, asah bakat dan sanggup berkorban

Nana korobi ya oki. Secara harfiah, ungkapan ini bermaksud – tersungkur tujuh kali tapi bangkit kali kelapan. Inilah antara nilai-nilai yang dipegang teguh oleh Habil Hakim semasa menimba pengalaman di sebuah akademi bola sepak di Jepun.

Anggaran Waktu Membaca:
Jurulatih F17 Habil Hakim nasihatkan jurulatih muda belajar rendah diri, asah bakat dan sanggup berkorban

Habil Hakim kini Pengurus Akademi F17. (Gambar: Said Mahadi Said Iziddin)

BERITAmediacorp: Nana korobi ya oki.

Secara harfiah, ungkapan ini bermaksud – tersungkur tujuh kali tapi bangkit kali kelapan.

Inilah antara nilai-nilai yang dipegang teguh oleh Habil Hakim semasa menimba pengalaman di sebuah akademi bola sepak di Jepun.

“Bagi mereka, kegagalan adalah salah satu aspek penting dalam pembangunan seseorang. Untuk berjaya, anda harus gagal dahulu. Anda tidak boleh rasa takut-takut,” kongsi jurulatih bola sepak berusia 29 tahun ini.

Sepanjang lebih 10 tahun berkecimpung dalam industri bola sepak, beliau sudah 'berguru' dengan sebuah akademi bola sepak selama hampir lima tahun di sana dan pengalaman yang ditimba memberi peluang kepadanya untuk terus mengasah bakat sebagai jurulatih muda di negara Blue Samurai itu.

Habil Hakim bergambar dengan pembimbingnya, Frank Kobayashi. (Gambar ihsan: Habil Hakim)

Habil Hakim bergambar bersama jurulatih Shinji Okazaki, Yuko Arakawa. (Gambar ihsan: Habil Hakim)

Pada mulanya, Habil hanya seorang penolong jurulatih di Akademi Bola Sepak Shoot, yang ditubuhkan oleh pemain legenda Jepun, Kazushi Kimura.

Habil kini menggalas tanggungjawab yang lebih besar sebagai pengurus akademi bola sepak tempatan, Akademi F17.

RENDAH DIRI, PUPUK SIKAP INGIN TAHU

Tidak lokek ilmu, bekas lulusan Institut Pendidikan Teknikal (ITE) ini gigih membimbing bahkan menjadi inspirasi kepada jurulatih muda yang lain.

“Bila baru bermula, memang mencabar. Meskipun gaji tidak seberapa, jika sekitarannya membina, rebut peluang itu,” gesa Habil.

Habil Hakim bergambar dengan pembimbingnya, Frank Kobayashi. (Gambar ihsan: Habil Hakim)

Habil berazam menyumbang kepada dunia bola sepak tempatan dengan bekerja di Akademi F17. (Gambar: F17 Academy)

Beliau yang pernah menyarung jersi skuad belia Tampines Rovers FC turut mengesyorkan mereka yang mahu menceburi bidang berkenaan supaya mengamalkan sikap ingin tahu.

“Salah satu nasihat jurulatih nasional kita, Fandi Ahmad adalah ‘biar pandai tapi jangan memandai’. Ini penting. Kalau anda mahu jadi jurulatih, anda harus berdisiplin dan terbuka untuk belajar. Jangan putus menuntut ilmu,” katanya yang dipilih mewakili Bintang-Bintang Liga Bola Sepak Nasional menentang Johor FA pada 2012.

Mengimbas pengalaman semasa pertama kali mengorak langkah dalam dunia akademi bola sepak, Habil berkata beliau pernah menyingsing lengan memotong rumput, mengepam bola, membasuh jersi dan mencuci peralatan kotor dan sebagainya.

“Apabila kita melakukan kerja-kerja sedemikian, kita akan rendah diri dan sedar bahawa pangkat bukan segala-galanya. Inilah yang membantu pembangunan saya di akademi Jepun itu,” luahnya.

Kesemua sesi latihan di Akademi Bola Sepak Shoot dirancang awal. (Gambar ihsan: Habil Hakim)

Kesemua sesi latihan di Akademi FC Toreros dirancang awal. (Gambar ihsan: Habil Hakim)

Selain itu, Habil juga terpaksa belajar bertutur dalam bahasa Jepun untuk memudahkannya berkomunikasi. Lebih menarik lagi, berkat usaha gigihnya, beliau berjaya menguasainya melalui YouTube!

“Kita harus berkorban. Kadang kala, lagi besar pengorbanannya, lagi banyak yang kita raih. Saya pernah juga tidak dapat menyambut Hari Raya dengan keluarga tetapi inilah pengorbanan yang harus diambil.”

KELUAR MENYERANTAU

Antara pengajaran yang diraih adalah budaya kerja para jurulatih Jepun yang tekun melakar pelan latihan yang sungguh terperinci sebelum setiap sesi latihan dimulakan.

Malah, ia dirancang sehingga sebulan lebih awal sebelum latihan dijalankan.

“Mereka bukan sekadar ‘Oh hari ini ada sesi latihan. Kita hadirkan diri dan mungkin berlatih mengumpan bola.’ Tidak! Mereka merancang. Ada Pelan Mingguan. Pelan Bulanan. Semuanya ada pelan,” kata Habil.

Para pemain Moka FC didikan Habil. (Gambar ihsan: Habil Hakim)

Para pemain FC Toreros didikan Habil. (Gambar ihsan: Habil Hakim)

Di bawah bimbingan jurulatih Frank Kobayashi, Habil bertungkus lumus menyediakan pelan yang menyeluruh dan berkesan bagi anak-anak didiknya dari FC Moka di Machida, Jepun.

“Beliau tidak terima kerja yang dibuat separuh hati atau yang tidak berkualiti. Segalanya yang dilakukan harus dibuat dengan yang terbaik. Kadang-kadang pelan latihan saya jika tidak memuaskan, beliau akan tolak. Ada kalanya saya buat tiga atau empat kali baru diterima,” kongsi beliau.

Selain itu, Habil yang juga pernah menuntut ilmu menjadi jurulatih hingga ke Valencia, Sepanyol turut mempelajari cara-cara menguruskan sebuah akademi.

Beliau kemudian diberi kepercayaan untuk menyumbang semula kepada Singapura dengan mengongsi dan mempraktikkan kemahiran dan pengalaman yang ditimba semasa mula berkhidmat di Akademi F17 pada 2015.

F17 Academy Juniors beraksi. (Gambar: F17 Academy)

F17 Academy Juniors beraksi. (Gambar: F17 Academy)

Sememangnya, Habil mengalu-alukan jurulatih dan juga para pemain Singapura untuk menebarkan sayap ke luar negara.

“Kini, ramai pemain dan jurulatih yang terlibat di negara-negara lain. Saya sangat gembira dapat tahu bahawa mereka cemerlang di sana. Antaranya Baihakki di Thailand, Hariss Harun di Johor, Safuwan di Pahang, Aidil Sharin di Kelantan.

“Namun, ini masih di rantau kita. Ayuh, menembusi negara lain di mana ia lebih mencabar!” ajak Habil.

JURULATIH S’PURA TIDAK SETANDING?

Bagaimanapun, beliau akur bukan semua bernasib baik sepertinya, hingga berpeluang ke luar negara untuk mengasah bakat dan menimba pengalaman sebagai jurulatih.

Para jurulatih Akademi F17 bergambar bersama jurulatih dari Wolves. (Gambar: F17 Academy)

Para jurulatih Akademi F17 bergambar bersama jurulatih dari Wolves. (Gambar: F17 Academy)

Oleh itu, Habil menyambut baik peluang untuk belajar daripada jurulatih asing yang diundang ke Singapura.

“Kita harus melihat mereka sebagai manusia biasa, bukan ‘Oh mereka dari Malaysia, musuh sengit kita. Atau dari Thailand, atau India atau Jepun. Kita boleh mempelajari sesuatu daripada setiap manusia. Cara pemikiran penting. Harus ingin mengambil yang baik daripada mereka,” ujarnya.

Ekonomi Singapura sendiri bergantung kepada tenaga dan kemahiran individu-individu dari luar negara. Justeru, industri bola sepak juga boleh mencontohi model yang serupa.

Apabila ditanya sama ada ini bermakna jurulatih Singapura tidak setanding dengan jurulatih-jurulatih dari luar negara, Habil berkata bahawa terdapat beberapa sumber dan wadah yang jika digabung, boleh membawa prestasi negara ini ke peringkat yang lebih tinggi.

“Sekiranya masyarakat bola sepak bekerjasama dengan badan-badan lain di Singapura kita boleh memutuskan sesuatu. Namun, sebelum kita menghantar jurulatih atau pemain ke luar negara, kita harus juga muhasabah dan memastikan agar yang dihantar itu sudahpun menunjukkan prestasi terbaik agar dapat menyumbang kepada negara,” saran Habil.

Memandang ke hadapan, bapa kepada dua orang anak kecil ini mungkin mahu mengembangkan lagi bakat dan menguji kebolehannya jika diberi peluang menjadi jurulatih di luar negara seperti di Jepun.

Sumber : BERITA Mediacorp/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan