Images
  • dainty dianty1
    Pemilik Dainty Dianty Cik Raihan Suryanti Ahmad (kanan) dengan rekaan tudungnya. (Gambar: Dainty Dianty/FB)

Jenama tudung Dainty Dianty akan kolaborasi dengan selebriti Malaysia

SINGAPURA: Meskipun berada di Australia dan beribu-ribu batu dari Singapura, jarak negara jelas tidak menghambat wanita ini daripada membina jenama dan memasarkannya di Kota Singa ini.

Biarpun sudah 13 tahun bermastautin di Brisbane, Cik Raihan Suryanti Ahmad bertekad mahu menubuhkan perniagaan tudung dan selendang dengan jenama Dainty Dianty, bagi para pelanggan di Singapura.

Jelas, hati rakyat Singapura ini masih dekat dengan negara kelahirannya selain melihat potensi di negara ini.


"Pada peringkat ini, pasaran Dainty Dianty adalah di Singapura, bukan di Australia.

"Saya yakin terhadap perniagaan ini dan saya cuba cipta kelainan daripada peniaga lain, jadi saya terus mengeluarkan reka bentuk baru atau setiap kali mencuba sesuatu yang baru untuk menampakkan hasil. Cetakan tudung juga unik kerana ia diinspirasikan gaya hidup Australia," kata usahawan yang mempunyai seorang anak ini kepada BERITAmediacorp.

Sebanyak S$20,000 hingga S$30,000 dilaburkan ke dalam perniagaan ini sejak jenama tersebut dibangunkan.

Cukup menggalakkan, syarikatnya berjaya menjual tudung dan selendang Dainty Dianty ke pasaran seperti Singapura, Malaysia, Australia dan Britain.

KENDALI JENAMA SENDIRI MESKI SUKAR

Portal e-niaga Dainty Dianty sebenarnya 'dilahirkan' di Singapura bermula Januari 2017, menurut tulisan blog Cik Raihan di laman portal berkenaan.

Jenama Dainty Dianty dibina dengan seorang rakan baiknya. Namun Cik Raihan, 30 tahun, kini menguruskan sebahagian besar perniagaan itu sendiri.


"Saya mereka lukisan tudung panjang, mengendalikan laman dan media sosial, melakukan pemasaran serta berhubungan dengan pembekal dan pasukan saya. Saya hanya tidak melakukan pengeluaran produk.

"Rakan baik saya terpaksa menarik diri dan memberi tumpuan kepada kehidupannya kerana banyak yang berlaku bagi dirinya pada masa itu. Saya menghormati keputusannya," kongsi Cik Raihan kepada pihak kami.

Yang pasti, beliau sanggup mengerah setiap tenaga demi perniagaan ini kerana yakin akan potensinya yang dapat berkembang. Ini meskipun beliau sebenarnya memiliki sebuah perniagaan berasaskan perkhidmatan, yang cukup selesa di Brisbane.


"Saya tidak mempunyai minat mendalam dalam perniagaan itu walaupun ia stabil dan memberi hasil yang cukup selesa.

"Dainty Dianty perniagaan berlandaskan produk yang lebih dekat dengan saya, dan membuat saya gembira. Memang banyak yang perlu saya belajar tetapi inilah kerja yang mana saya sanggup memerahkan setiap keringat."

PENUH PASANG SURUT NAMUN TETAP CEKAL

Namun bagi setiap usahawan yang bermula dari bawah, pasti banyak onak duri yang harus ditempuhi.

Yang pasti, bukan sahaja masa, namun tenaga dan wang juga terpaksa banyak dikorbankan. Ini termasuk mencuba pelbagai eksperimentasi bagi dua tahun pertama sebelum memulakan jualan produk Dainty Dianty pada Mac tahun lalu.


"Cabaran utama tentu sekali pemasaran dan modal. Respons di Singapura juga banyak pasang surutnya. Bagaimanapun, saya rasa ia boleh menjadi lebih baik.

"Kepuasan terbesar saya adalah apabila saya meramalkan sesuatu dan naluri saya tepat. Bermakna, saya berjaya mencapainya.

"Saya merancang memberi nafas segar kepada Dainty Dianty menjelang hujung tahun ini," tambah Cik Raihan, yang turut menerima pesanan daripada Malaysia, Australia dan Britain.

HASRAT TEMBUSI PASARAN M'SIA, DUNIA

Akur dirinya lebih cekal dan dapat memberi tumpuan penuh di Australia, Cik Raihan bagaimanapun terbang ke Singapura bagi dua acara besar-besaran di Singapura, yang ternyata membuahkan hasil.

"Saya cuba lebih sering datang ke Singapura sejak kebelakangan ini dan menyertai acara 'pop-up'. Saya harus mengikut rentak supaya menjadi relevan kepada pasaran di Singapura," ujarnya.


(Gambar-gambar: Dainty Dianty/Facebook)

Bukan sekadar itu, beliau juga berhasrat menembusi pasaran Malaysia, selain menjadi jenama terkenal di Singapura. Cik Raihan memberitahu BERITAmediacorp beliau akan berkolaborasi dengan seorang selebriti dari Malaysia yang juga menjadi pelabur dalam perniagaannya itu.

Ditanya siapa selebriti tersebut, Cik Raihan masih enggan mendedahkannya.

"Saya juga mahu jenama ini menjadi jenama global. Pada akhirnya, tidak kira di mana saya berada sekali pun, tiada yang mustahil," kata Cik Raihan. 

- BERITAmediacorp/im

Top