Skip to main content

Iklan

Iklan

Gaya Hidup

Jenama barang kemas S'pura pertama dijual di laman e-dagang mewah Net-A-Porter

Jenama barang kemas State Property, diasaskan oleh pasangan suami isteri Afzal Imran dan Lin Ruiyin, diminati personaliti ternama seperti Michelle Obama, Nicole Kidman dan Lady Gaga.

Anggaran Waktu Membaca:
Jenama barang kemas S'pura pertama dijual di laman e-dagang mewah Net-A-Porter

Pengasas jenama barang kemas State Property, Lin Ruiyin and Afzal Imran (Gambar: State Property)

Diterbitkan : 13 Feb 2021 01:58PM Dikemas Kini : 14 Feb 2021 04:47PM

SINGAPURA: Sebut saja tentang barang kemas tempatan, nama-nama seperti Caratell, Flower Diamond atau Yuli Inc. Fine Jewellery terlintas di fikiran. Kini, State Property juga perlu disertakan dalam senarai jenama barang kemas ikonik dari Singapura. Label itu, yang sudah pun mempunyai peminat seperti Michelle Obama, Nicole Kidman dan Lady Gaga, kini dikenali sebaris dengan jenama-jenama besar.

Minggu ini, jenama tersebut mengumumkan pencapaian terbesarnya - barang kemasnya boleh dibeli di laman edagang barangan mewah Net-A-Porter, yang memberikannya pendedahan kepada pembeli dari seluruh dunia. Ditubuhkan oleh Afzal Imran dan Lin Ruiyin pada 2015, State Property adalah label barang kemas pertama dari Singapura yang terdapat di laman berpengaruh itu.

Lin, yang memiliki sarjana muda kepujian kelas pertama dalam reka bentuk barang kemas dari Central Saint Martins College of Art and Design, London, berkata, “Kami bangga menjadi label barang kemas Singapura pertama di Net-A-Porter, dan kami melihatnya sebagai satu cara yang baik untuk bukan sahaja terus mengembangkan jenama kami, tetapi juga untuk menarik perhatian kepada industri barang kemas yang kurang mendapat sorotan di Singapura."

Lin dan Afzal, pasangan suami isteri, mula menceburi bidang barangan kemas sebagai perkhidmatan tempahan. Apabila hasil kerja tangan mereka mula tersebar dari mulut ke mulut, mereka memutuskan untuk melancarkan State Property untuk menampilkan reka bentuk mereka sendiri.

Sejak itu, jumlah pencinta barang kemas yang menghargai ciri ukiran reka bentuk mereka yang unik dan minimalis semakin bertambah.

"Kehadiran kami di Net-A-Porter adalah satu pengesahan jenama, bahawa State Property menawarkan produk yang diterima oleh cita rasa mewah global. Ini adalah tanda bahawa kami berada pada landasan yang betul, dan memberi kami motivasi untuk meneruskan usaha," tambah Lin. Jenama tersebut juga boleh didapati di peruncit barang kemas eksklusif di Amerika Syarikat dan Jepun.

Jenama tersebut dilancarkan di Net-A-Porter dengan pilihan klasik dan terkini mereka yang diminati ramai.

LEBIH RAMAI BELI BARANG KEMAS KETIKA PANDEMIK

"Kami ingin berfikir bahawa ini disebabkan kami mereka barang perhiasan diri untuk wanita kontemporari yang menggemari fesyen, dan perhiasan kami mencapai keseimbangan sempurna antara keberanian dan kehalusan, kemodenan dan tradisi," kata Afzal, apabila ditanya apakah yang beliau percaya adalah faktor yang menarik perhatian peruncit.

Tahun lalu telah merubah corak pembelian ramai orang, katanya, dengan beberapa pelanggan berbelanja untuk barang kemas sebagai ganti perbelanjaan biasa sebelum COVID-19, seperti percutian mewah.

"Kami perhatikan bahawa orang membeli barangan yang lebih mewah sedikit daripada sebelumnya, seperti cincin, gelang dan anting-anting yang lebih besar. Mungkin mereka lebih sanggup berbelanja lebih banyak untuk diri mereka sendiri, memandangkan kurangnya peluang melakukan perbelanjaan seperti untuk melancong dan membeli-belah di luar negara,” kata Afzal, yang terlatih dalam bidang reka bentuk industri di Universiti Nasional Singapura.

Terdapat juga permintaan yang semakin meningkat untuk reka bentuk yang kurang konvensional. "Mungkin keadaan terkurung di rumah telah mendorong kita untuk lebih bereksperimen dengan gaya kita sendiri dan membuat pilihan yang lebih berani," renungnya.

Jenama tersebut baru-baru ini berpindah ke butik seluas 2,000 kaki persegi di Armenian Street, tidak jauh dari Muzium Peranakan dan Muzium Nasional Singapura.

Dan jika anda memerlukan satu lagi alasan (atau sebab) untuk berkunjung, State Property bakal melancarkan koleksi baru pada pertengahan tahun ini.

LAPORAN BERKAITAN:

Sumber : CNA/TQ/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan