Skip to main content

Iklan

Iklan

Gaya Hidup

Jejaka ini 'kaya' dengan kasut Adidas

Demi minat, seseorang sanggup melakukan apa saja. Itu yang berlaku pada Dulkifli Djuaeri, 37, yang begitu taksub terhadap kasut klasik terpakai berjenama Adidas hingga pernah menghabiskan wang bonusnya untuk membeli lima pasang kasut dari koleksi kawannya.

Anggaran Waktu Membaca:
Jejaka ini 'kaya' dengan kasut Adidas

Ide Adol mempunyai kira-kira 220 pasang kasut klasik jenama popular terutama Adidas, yang dianggarkan bernilai RM180,000. (Gambar-Gambar: Ide Adol/Instagram)

Diterbitkan : 06 Feb 2019 02:06PM Dikemas Kini : 06 Feb 2019 02:20PM

KUALA LUMPUR: Demi minat, seseorang sanggup melakukan apa saja. Itu yang berlaku pada Dulkifli Djuaeri, 37, yang begitu taksub terhadap kasut klasik terpakai berjenama Adidas hingga pernah menghabiskan wang bonusnya untuk membeli lima pasang kasut dari koleksi kawannya.

Encik Dulkifli, yang lebih dikenali sebagai Ide Adol dalam kalangan pengumpul kasut, kini mempunyai kira-kira 220 pasang kasut klasik jenama popular terutama Adidas, yang dianggarkan bernilai RM180,000 (S$59,700).

"Koleksi kasut itu, yang kebanyakannya terdiri daripada edisi 'City Series' dan 'Island Series', dan saya menjadi pengumpul kasut klasik berjenama terpakai itu sejak tahun 2011", katanya dalam temu bual dengan agensi berita Bernama baru-baru ini.

"Kebanyakan kasut yang saya miliki ketika ini diperolehi menerusi pembelian di bundle, dalam talian dan rakan-rakan pengumpul kasut klasik.

"Kasut-kasut yang saya simpan sekarang kebanyakannya dari era 1950an hingga 1980an dan berasal dari negara antaranya Jerman, Slovenia, Jepun, Australia, Perancis dan Hungary," kata Dulkifli.

Encik Dulkifli, yang berjawatan ketua penyelidikan dan pembangunan sebuah syarikat di Malaysia, berkata pengaruh rakan-rakannya sewaktu mengikuti mereka ke pameran dan penjualan kasut klasik suatu ketika dahulu mempengaruhi minatnya untuk menjadi pengumpul kasut.

Ditanya mengapa beliau amat meminati jenama Adidas, beliau berkata tiga jalur yang amat sinonim dengan jenama dari Jerman itu adalah antara faktor tarikan, selain warna dan reka bentuk kasut itu yang lebih menarik daripada jenama lain.

Bagi Encik Dulkifli, kasut yang amat disayanginya ialah kasut 'high cut' edisi Oasis berwarna coklat dari Perancis, yang juga mempunyai nilai sentimental yang tinggi buat dirinya.

Encik Dulkifli juga mendakwa hanya beliau sahaja memiliki kasut itu di Malaysia.

“Jika terdapat orang yang berminat untuk membeli kasut edisi Oasis ini, saya enggan menjualnya,” katanya dan menambah bahawa kasut Adidas Riviera adalah kasut termahal yang dibelinya dengan harga RM2,000 (S$660).

Bapa kepada tiga anak lelaki itu, tidak menafikan pada mulanya isteri agak terkilan melihat beliau sanggup membelanjakan kesemua wang bonusnya untuk membeli kasut terpakai yang diminatinya.

Encik Dulkifli juga berkata berikutan koleksi kasutnya yang semakin banyak, sebahagian dari ruang tamu rumahnya terpaksa diubah menjadi rak simpanan kasut setinggi 10 tingkat, dan menjadikan ruang tamunya bagaikan sebuah butik kasut.

Malah, obsesinya terhadap kasut Adidas turut mendapat perhatian pengumpul kasut dari luar negara sehingga koleksi kasutnya terpilih untuk dipaparkan di dalam sebuah majalah khas buat pengumpul kasut klasik Adidas iaitu majalah 'Adidas Only Addiction' yang diterbitkan di Britain.

Beliau juga merancang untuk menganjurkan sebuah pameran dan penjualan kasut klasik pada tahun ini.

Sumber : Bernama/AI/ai
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan