Images

Jeans Kerbside & Co milik anak Melayu S'pura ini tembusi pasaran Amerika & Eropah

BERITAmediacorp: Seluar jeans semestinya menjadi pakaian asas harian bagi ramai orang. Namun berapa kenal anda tentang seluar jeans sebenarnya, serta apa yang membuatnya 'halus' dan mahal?

Fahmy Ismail, 46 tahun, mungkin layak dinobatkan sebagai 'raja seluar jeans Singapura' kerana beliau pernah memiliki sekitar 300 seluar jeans atau denim.

Denim yang dikumpulnya juga bukan sebarangan, tetapi jenis vintaj dari era tahun 60-an atau 70-an yang cukup mahal.

"Saya mula kumpul seluar jeans pada tahun 1994. Selepas 10 tahun mengumpul jeans yang dihasilkan dari era pertengahan 80-an, dari situ minat semakin mendalam dan saya membeli jeans dari era 70-an, 60-an," ujar Encik Fahmy.


Seluar-seluar jeans yang disimpan Encik Fahmy juga cukup tinggi nilainya, iaitu sekurang-kurangnya 10 kali ganda lebih mahal daripada koleksi di pasaran sekarang.

"Pertengahan tahun-tahun 2000 ada satu masa di mana saya mula menjual seluar-seluar denim yang ramai mencari dan inginkan. Harga paling mahal (saya jual) untuk seluar jeans Levis 1950-an, iaitu kira-kira AS$2,000.


"Disebabkan ini pada tempoh pertengahan tahun-tahun 2000, harga yang saya dapatkan itu agak lumayan," kongsi Encik Fahmy kepada BERITAmediacorp.

KETINGGIAN CITA RASA PEMBUATAN JEANS; MULAKAN JENAMA SENDIRI

Ciri-ciri yang ada di seluar 'jeans' seperti tenunan benang dan twil, jenis butang, corak pudaran pada seluar, serta kertas dan kulit yang tertampal di belakang jeans juga mampu menambah nilai tarikan sepasang seluar 'dungaree'.


Perincian mendalam sebegitulah yang diselongkar Encik Fahmy, sehingga mendorongnya mencipta jenama jeansnya sendiri pada 2015, iaitu Kerbside & Co.

Kerbside & Co menggabungkan gaya fesyen ‘vintage Americana’ dan teknik penghasilan dari Jepun.


Encik Fahmy mengendalikan perniagaannya menerusi dua wadah - di kedai-kedai serta secara online.

Selain menjadi di antara jenama tempatan yang boleh dilanggani di pusat beli-belah Design Orchard, jenama Kerbside & Co juga boleh didapati di sebuah butik di 310 Woodland yang terletak di pusat beli-belah Orchard Gateway.

Apakah antara yang membezakan jenama Kerbside & Co daripada jenama-jenama lain?

"Saya selalu pakai bahan-bahan yang tahan lasak. Fabriknya ada mutu yang tertentu, 13 auns dan lebih berat. Jadi ia tidak akan rosak dengan cepat," terang Encik Fahmy.

"Mutu buatannya juga saya berikan yang bermutu tinggi. Bahan-bahan fabrik pula saya suka guna fabrik Jepun dan Amerika.

"Kilang fabrik Jepun yang saya gunakan, mereka gunakan mesin-mesin vintaj. Mesin-mesin vintaj lama ini menghasilkan fabrik pada kadar yang lambat. Oleh itu, mutu setiap gulung fabrik yang dihasilkan mempunyai mutu yang optimum," tambahnya.

Mesin-mesin yang digunakan kilang fabrik di Jepun yang dimaksudkan Encik Fahmy sebenarnya diimport dari Amerika Syarikat dari era 1950-an hingga 19990-an. Menurut Encik Fahmy, setiap mesin vintaj hanya boleh menghasilkan satu gulung fabrik setiap jam. Ini berbanding mesin moden yang boleh menghasilkan sekitar 50 gulung fabrik setiap jam.

Pendeknya, tenunan benang dan kain denim daripada mesin vintaj itu lebih padat dan lebih bermutu berbanding mesin yang membuat kain dengan pantas.

Lantaran itulah, Encik Fahmy mengatakan kain-kain fabrik dari kilang fabrik tersebut berharga lebih tinggi kerana tumpuan yang diberikan terhadap mutu.

APA ITU KAIN JEANS 'DEAD STOCK'?

Selain itu, Encik Fahmy juga menggunakan fabrik 'dead stock' bagi rangkaian produknya.

Kain fabrik 'dead stock' merupakan fabrik yang sudah disimpan antara lima hingga 10 tahun oleh sesebuah kilang fabrik.

Encik Fahmy menambah, kilang-kilang itu menyimpan kain bukan kerana tiada orang yang ingin membelinya. Tetapi kerana ia lebih bermutu dan harganya sekitar 30% lebih tinggi daripada apa yang dihasilkan pada masa sekarang. Beliau bagaimanapun tidak mendedahkan anggaran harga fabrik tersebut bagi setiap gulung.


Disebabkan kain-kain fabrik 'dead stock' sudah tidak dihasilkan lagi, Encik Fahmy mendapatkan kain-kain yang dianggap 'terakhir'. Lantaran itu juga, Encik Fahmy mengawal pembaziran dalam penggunaan kain tersebut.

Jelasnya, jenama Kerbside & Co bukan jenis 'mass production' seperti kebanyakan jenama terkenal lain.

Fesyen perlahan atau ‘slow fashion’ yang dimartabatkan jenama Singapura ini memberi fokus kepada kehalusan kerja tangan atau 'craftsmanship'. Jadi, ia cukup eksklusif.

Maka itulah jeans dan pakaian denim buatan Kerbside & Co mencecah antara AS$200 dengan AS$250 sehelai.

Jadi, jika faktor-faktor berkenaan 'mutu' ini semuanya dijadikan sandaran, jeans berjenama di pasaran tidak semestinya bermutu walaupun lebih terkenal.

"Saya ingin memastikan orang ramai tahu bagaimana seluar-seluar jeans dibuat mengikut cara-cara lama, bagaimana ianya dibuat untuk bertahan lama," tekan Encik Fahmy.

JENAMA KERBSIDE & CO SUDAH TEMBUSI PASARAN ANTARABANGSA


Walaupun baru ditubuhkan pada tahun 2015, Kerbside & Co sebenarnya boleh disifatkan sebagai sebuah syarikat yang berjaya. Ia sudahpun menembusi pasaran antarabangsa.

Syarikat itu mendedahkan kepada BERITAmediacorp bahawa daripada sekitar 500 jeans yang sudah dijualnya sejauh ini, 70 peratus pelanggannya datang dari Amerika Syarikat. 20 peratus pula adalah dari Eropah.

Jenama Kerbside & Co, menurut Encik Fahmy, mula menarik khalayak ramai apabila para pelanggannya memuatnaikkan gambar-gambar pakaian yang dibeli mereka ke media sosial.

"Apabila para pelanggan saya memakai rangkaian pakaian saya... mereka akan katakan misalnya, mutu yang ada pada pakaian itu lebih tinggi daripada harga ianya dijual. Ini juga berbanding dengan jenama-jenama lain yang merupakan pesaing jenama saya," terang Encik Fahmy.


Hanya puluhan pelanggannya adalah warga Singapura sendiri. Jelas membuktikan suatu ironi bahawa jenama Singapura yang satu ini lebih dikenali di luar kota Singa daripada di sini sendiri.

Encik Fahmy menjelaskan bahawa pelanggan teras beliau adalah di Amerika Syarikat dan Eropah, namun beliau tidak pernah bertujuan "bersaing dengan syarikat-syarikat gergasi".

"Saya hanya sentiasa mahu melakukan (pembuatan jeans dan denim) dengan cara sendiri," akui beliau.

"Saya masih lagi mencari jalan sendiri walaupun setelah empat tahun dalam perniagaan ini. Saya masih belum tahu untuk memasarkannya dengan baik," tambah beliau dengan cukup jujur.

APA KATA PELANGGAN TEMPATAN KERBSIDE & CO?

Antara pelanggan tempatan Kerbside & Co ialah pasangan suami isteri muda, Rebecca Tan dan Lee Chiweng, kedua-duanya 32 tahun.

Mereka, yang minat dengan 'fesyen perlahan', kagum dengan kepakaran dan kehalusan kerja tangan Encik Fahmy. Mereka juga faham mengapa harganya boleh mencecah antara S$300 hingga S$400 sehelai.


"Apa yang saya suka tentang jenamanya ialah perhatian dan kehalusan kerja tangannya. Penghasilan dalam kumpulan kecil, serta lebih banyak pemikiran yang dicurahkan ke dalam penghasilan itu sendiri," kata Rebecca.

"Segala barangan yang dia pilih, dia menaruh jiwanya untuk menghasilkan pakaiannya. Anda lihat sepasang seluar jeans buatannya, anda tahu proses pemikiran beliau, dan ini menjadikannya lebih istimewa," ujar Chiweng pula terhadap kehalusan kerja tangan Encik Fahmy.

USAHAWAN SOLO


Melihat pencapaian yang sudah dikecapi syarikat itu sejak enam tahun lalu, ramai yang mungkin terkejut mendapat tahu bahawa Encik Fahmy mengendalikan jenamanya seorang diri.

Dari permulaan proses mendapatkan fabrik serta menghasilkan desain-desain baru, Encik Fahmy meluangkan masa untuk mengembangkan perniagaannya secara perlahan-lahan.

Dari segi melayan para pelanggan pula, Encik Fahmy sendiri yang mengambil pesanan secara online, menghantar e-mel, serta membungkus segala produk-produknya untuk dihantar kepada para pelanggan.

Bahkan, Encik Fahmy akan meluangkan sedikit masa di kedua-dua Design Orchard dan 310 Woodland di Orchard Gateway, untuk berbual dengan para pelanggannya serta berkongsi keunikan jenamanya.

FESYEN DENIM KLASIK DAN MALAR SEGAR


Memang, fesyen akan berubah.

Namun Encik Fahmy percaya seluar jeans dan pakaian denim akan tetap dipakai.

"Denim khususnya adalah produk yang malar segar, dan klasik yang menjadi pakaian asas harian. Sama ada untuk kanak-kanak kecil, untuk orang tua, lelaki, perempuan, ia boleh dipakai melintasi semua golongan masyarakat," Encik Fahmy berkongsi pengamatannya.

"Saya tidak rasa ia akan ditelan zaman." 

- BERITAmediacorp/ha

Top