Skip to main content

Iklan

Iklan

Gaya Hidup

Jaga kebersihan tetapi berapa kali perlu mandi dalam sehari?

Berapa kalikah anda mandi dalam sehari? Atau anda mandi hanya apabila perlu? 

Anggaran Waktu Membaca:
Jaga kebersihan tetapi berapa kali perlu mandi dalam sehari?

(Gambar: Pixabay/tookapic)

Diterbitkan : 14 Mar 2020 02:57PM Dikemas Kini : 14 Mar 2020 03:00PM

KUALA LUMPUR: Berapa kalikah anda mandi dalam sehari? Atau anda mandi hanya apabila perlu? Pernahkah anda terfikir berapa banyak kalikah anda perlu mandi dalam sehari?

Mandi mengikut jenis kulit

Setiap individu memiliki jenis kulit yang berbeza, dan setiap kulit yang berbeza ini boleh berubah keadaannya bergantung kepada cuaca dan persekitaran. Ada individu yang memiliki jenis kulit yang biasa, tetapi ada juga yang memiliki jenis kulit yang agak kering. Oleh itu, bagi mereka yang mempunyai jenis kulit kering, kulit mereka akan menjadi lebih kering pada musim sejuk jika mandi dengan kerap. Tahu mengapa?

Sebenarnya, mandi terlalu kerap akan menanggalkan lapisan minyak semula jadi yang terdapat pada permukaan kulit. Minyak ini berfungsi sebagai lapisan perlindungan yang mengekalkan kelembapan kulit daripada menjadi kering akibat persekitaran luar kulit. Bukan sahaja kekerapan mandi akan mempengaruhi hal ini, malah waktu mandi dan suhu air turut boleh menjejaskan kelembapan kulit.

Kenapa tidak boleh mandi terlalu lama?

Anda sebenarnya tidak digalakkan untuk mandi terlalu lama. Cukup sekadar beberapa minit untuk menghilangkan kekotoron dan terus keluar dari bilik mandi anda. Mandi terlalu lama sehingga menjangkau 20 atau 30 minit boleh menanggalkan lapisan minyak semula jadi kulit anda atau juga disebut sebagai ‘sebum’. Selain itu, anda disarankan untuk mandi dengan menggunakan air bersuhu suam atau pada suhu bilik. Air mandian yang terlalu sejuk atau panas sangat tidak digalakkan. Saranan ini juga adalah atas satu sebab yang sama; lapisan minyak semula jadi kulit.

Bagaimana hendak menentukan kekerapan mandian harian?

Sebenarnya, tiada bilangan khusus tentang berapa kali anda patut mandi dalam sehari. Kuncinya adalah anda perlu mengenal pasti diri anda sendiri. Apakah jenis kulit anda dan keadaan semasa diri anda. Bagi mereka yang banyak terlibat dengan kerja-kerja fizikal dan luar bangunan, anda mungkin perlu lebih kerap mandi berbanding mereka yang bekerja di dalam ruangan dengan pendingin udara. Individu yang bekerja di kawasan beriklim tropika yang terkenal dengan cuaca hujan dan panas, perlu lebih kerap mandi berbanding mereka yang tinggal di kawasan yang sejuk. Kenapa? Kerana cuaca yang panas dan lembap menjadikan anda lebih berpeluh dan berbau.

Kerap peluh, kerap mandi

Bagi mereka yang bekerja di kawasan yang agak terdedah kepada kekotoron dan mereka yang kerap berpeluh, anda disarankan untuk mandi dengan lebih kerap terutamanya apabila baju anda sudah mula dibasahi cucuran peluh. Peluh boleh merengsakan kulit, dan sekiranya anda membiarkan tubuh badan dibasahi peluh dalam waktu yang lama, ia akan mendedahkan anda kepada risiko jangkitan bakteria atau kulat. Anda juga boleh mendapat penyakit kulit yang dipanggil ‘dermatitis neglecta’ sekiranya anda tidak mandi berminggu-minggu atau berbulan-bulan.

Bagi mengelakkan kekeringan kulit setelah mandi, sapukan pelembap pada kulit anda. Ia membantu mengekalkan kelembapan kulit dan mengelakkan kekeringan.  

Sumber : Agensi berita/NA/na
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan