Images
  • east coast park beach file
    Gambar fail pantai East Coast (Gambar: Jeremy Long)

Jadual air pasang, keadaan arus dan dasar laut: Tips selamat berenang di pantai S'pura

SINGAPURA: Meskipun perairan Singapura nampak tenang dan selamat, masih terdapat risiko yang harus diberi perhatian agar tetap selamat semasa berenang di dalam laut, kata para pakar.

Perbincangan mengenai bahaya berenang di laut muncul semula setelah mahkamah koroner diberitahu pada Khamis (14 Mac) bahawa seorang budak lelaki yang lemas di Pantai Changi pada Ogos tahun lalu telah dihanyutkan arus deras.

Remaja itu juga tidak tahu berenang dan menjadi panik apabila paras air naik dan dia tidak lagi dapat menjejakkan kakinya di dasar laut.

Sepandai-pandai perenang juga, jika panik akan membahayakan keselamatannya, kata para jurulatih.

"Kita tidak mempunyai gelombang besar di Singapura, tetapi peraturan mengenai keselamatan semasa berada dalam air tetap sama," tekan Encik Isaac Lim, Dekan Akademi Keselamatan Air & Renang (AWSS).

APA YANG PERLU DIAWASI

Pengunjung ke pantai harus sedar tentang pelbagai bahaya semasa melakukan aktiviti air, termasuk risiko lemas, kata Dr Teo Ho Pin, penasihat Persatuan Penyelamat Nyawa Singapura.

Sesiapa yang ingin memasuki kawasan air perlu terlebih dahulu belajar berenang, dapatkan pengetahuan tentang langkah keselamatan sebelum melakukan sebarang aktiviti di pantai atau turun ke laut, nasihatnya.

Beliau menambah bahawa beberapa perkara penting yang harus diperhatikan termasuk "aliran arus, jenis haiwan laut dan jadual air pasang".

"Perlu diingat wujud bahaya arus deras serta ombak dan anda tidak dapat melihat arus laut dan arus bawah dalam air. Apabila anda menyedarinya, anda sudah ditarik ke laut dalam," kata Encik Lim.

Tambahnya, pengunjung harus membiasakan diri dengan kawasan pantai sebelum memasuki air.

"Mereka perlu tahu struktur pantai adalah berbeza mengikut kawasan akibat hakisan semula jadi dan fenomena pasang surut ... saya percaya sepanjang East Coast ini, misalnya, kawasan tambak, jadi pantainya curam, tidak beransur-ansur menjadi dalam," katanya.

Jurulatih selam dan berenang, Encik Ho Ho Huat menambah bahawa zon selamat untuk berenang adalah dalam lingkungan dua meter dari pesisir pantai.

Pengunjung di pantai juga tidak harus memandang remeh bahaya di laut kerana pandai berenang dan biasa dengan keadaan air. Ini kerana pantai bukan kolam renang dan perlu tenaga lebih kuat dan teknik semasa berenang.

Beliau menasihatkan orang ramai agar jangan berenang seorang diri di kawasan terpencil, kerana akan lebih sukar untuk mendapatkan bantuan jika perlu.

JIKA HADAPI MASALAH DI TENGAH LAUT

Sekiranya anda terperangkap dalam situasi yang sukar di laut terbuka, adalah penting untuk pertama sekali kekal tenang, kerana panik boleh menjejas pernafasan anda, kata para pakar.

Langkah seterusnya adalah menilai arah arus. Berenang ke arah yang sama dengan arus, kata mereka.

Tetapi jika terperangkap dalam arus deras yang bergerak bertentangan dari pantai, Encik Lim berkata perenang harus berenang ke tepi selama beberapa meter untuk cuba melepaskan diri dan jika arus sudah tenang, segera berenang perlahan ke pantai terdekat.

Umumnya anda tidak digalakkan untuk berenang melawan arus, tetapi ikuti ombak dan jika perlu, berenang secara menyerong yang dapat mengurangi daya tarik, kata Encik Teo.

Sekiranya anda letih atau cedera, anda harus berusaha sebaik mungkin untuk mengapungkan diri secara terlentang, tambah para pakar.

"Jika anda mengapung selama berjam-jam, ini bermakna anda (memberi penyelamat) waktu berjam-jam. Sekiranya setelah sekelip mata anda tenggelam, kemungkinan anda dapat diselamatkan adalah lebih tipis," kata Dr Teo.

Semasa berada dalam kedudukan ini, anda harus meminta bantuan.

JIKA TERNAMPAK ORANG LEMAS

Sekiranya anda melihat seseorang sedang lemas, oara pakar mengesyorkan memanggil orang lain di kawasan itu untuk mendapatkan bantuan tambahan.

Penting juga untuk mencari boya atau pelampung keselamatan, kata Encik Lim.

"Dapatkan perenang yang kuat untuk mendekati mereka, tolak pelampung ke arah mereka dan suruh mereka berpaut padanya."

Beliau menambah bahawa jika penyelamat ingin menarik mangsa sendiri, beliau haruslah sudah terlatih, kerana mangsa yang bergelut mungkin menarik juga penyelamat ke dalam air.

- CNA/TQ/tq

Top