Images
  • The Cat Father (9)
    (Gambar-gambar: Mohammad Azhar Alias)

Insan berhati mulia ini digelar The Cat Father; tidak putus beri kucing terbiar makan

BERITAmediacorp: Setiap hari apabila keluar untuk menjalankan tugas sebagai pekerja pembersihan jalan raya Encik Mohammad Azhar Alias akan membeli dan membawa bersamanya kira-kira lima kilogram makanan kucing.

Ini kerana sambil meronda di kawasan kerja yang sudah ditetapkan, beliau akan singgah di beberapa tempat untuk memberi makan kepada puluhan kucing jalanan.

Encik Mohammad Azhar, warga Malaysia berusia 44 tahun itu, bekerja sambilan sebagai pekerja pembersihan yang membersihkan bahagian tepi dan tengah pembahagi jalan di lebuh raya di kawasan Rawang, Selangor.


Sejak dua tahun lalu, rutin hariannya termasuk singgah di tujuh hentian R&R di lebuh raya semasa dan selepas waktu kerja untuk memberi makan kepada sekitar 50 ekor kucing.

Bukan itu sahaja, beliau juga boleh disifatkan sebagai wira kerana turut menyelamatkan kucing-kucing cedera atau yang masih kecil dan membawa haiwan itu pulang ke rumah untuk dijaga dan dirawat sehingga sembuh.

Disebabkan cinta dan sikap belas ihsannya terhadap kucing-kucing tersebut, Encik Mohammad Azhar digelar The Cat Father atau bapa kucing oleh para kenalannya.


Encik Mohammad Azhar memberitahu BERITAmediacorp, ada antara hentian tersebut tiada kedai makan. Ini bermakna kucing-kucing di sana tiada sumber makanan dan hanya bergantung kepada makanan yang beliau berikan untuk meneruskan hidup.

"Pada mulanya dalam bulan Februari 2018 saya ternampak beberapa ekor kucing di salah satu hentian lebuh raya yang tiada kedai makan dan jauh dari kediaman manusia semasa dalam perjalanan pulang selepas menghantar barang kepada pelanggan.

"Ini membuatkan saya terfikir bagaimana kucing-kusing itu boleh hidup tanpa ada sumber makanan. Sejak dari itu saya mula datang ke beberapa hentian lebuh raya untuk beri kucing-kucing terbiar itu makan," kata Encik Mohammad Azhar, yang juga menjalankan perniagaan sendiri menjual kek dan pelbagai produk makanan secara online.


Malah, tugas sambilan sebagai pekerja pembersihan itu digalas semata-mata untuk membolehkan beliau menjana wang tambahan bagi perbelanjaan makanan kucing selain menyokong perniagaannya sendiri.

"Setiap hari saya membelanjakan paling kurang RM50 (S$15) untuk membeli makanan kucing. Hari-hari saya singgah ke lima hentian dalam kawasan lebuh raya yang saya bekerja. Dua lagi hentian waktu malam selepas habis kerja balik ke rumah selepas itu saya pergi ke hentian sejauh 26 kilometer," kata beliau, yang pernah juga keluar beri makan kucing pada pukul 12.00 tengah malam.


Encik Mohammad Azhar bagaimanapun keberatan untuk mendedahkan lokasi hentian lebuh raya kerana tidak mahu menggalak lebih ramai orang membuang kucing di kawasan-kawasan tersebut.

Kucing-kucing yang diberi makan itu juga seolah-olah sudah kenal betul dengan Encik Mohammad Azhar.


Sebaik sahaja kelibat beliau muncul, kucing-kucing tersebut sudah boleh 'bau' dari jauh. Malah ada yang siap 'menyambut' kedatangan beliau.

Dalam banyak-banyak kucing tersebut, Encik Mohammad Azhar berkata ada beberapa yang begitu jinak dan manja dengannya dan yang segelintir itulah diberikan nama panggilan - Cik Minah, Cik Siti, parit, tam dan bulat.


Sambil membelai dan memberi makan, Encik Mohammad Azhar juga bercakap dengan kucing-kucing tersebut dan meninggalkan pesan kepada kucing-kucing itu.

"Saya suruh mereka (kucing) semua mendoakan kesejahteraan buat saya agar dapat terus beri mereka makan dan jaga diri baik-baik," Encik Mohammad Azhar memberitahu BERITAmediacorp.

Dalam pada beliau memberi makan kucing, Encik Mohammad Azhar juga akan meninjau-ninjau sekiranya ada kucing yang cedera, terperangkap atau mungkin sakit.


Beliau tidak akan teragak-agak untuk menyelamatkan kucing-kucing itu dan membawa haiwan itu pulang ke rumah.

"Jika ada kucing-kucing terbiar di situ yang sakit atau ditimpa musibah seperti dilanggar kenderaan, diserang anjing liar, saya akan rawat mereka (kucing) dan ada juga yang saya jaga sampai sudah sembuh.

"Selalu juga saya selamatkan anak-anak kucing di tengah pembahagi jalan lebuh raya. Dipercayai mungkin jatuh dari kenderaan dan dibuang. Anak-anak kucing yang saya jumpa saya akan bawa balik dan ada juga yang saya serahkan kepada orang," cerita Encik Mohammad Azhar.


Beliau memberitahu BERITAmediacorp, di rumahnya sekarang ada kira-kira 31 ekor kucing yang sudah diselamatkan dan kini dipeliharanya.


Ini bermakna, Encik Mohammad Azhar menguruskan lebih 80 ekor kucing setiap hari!

Menurut Encik Mohammad Azhar, sepanjang dua tahun memberi makan kucing bermacam-macam pengalaman dilaluinya. Ada yang seram ada juga yang sedih.

"Pernah nampak hantu dua kali dan terdengar suara yang menyeramkan di bawah jambatan pada jam 12.00 tengah malam ketika saya hendak selamatkan kucing di kawasan lebuh raya. Saya buat tak tahu saja. Paling menakutkan hantu pocong terbaring di tepi jalan. Masa itu saya dalam perjalanan balik dari hentian lebuh raya terakhir, cerita Encik Mohammad Azhar.


Selain itu, beliau sering kali berasa sedih apabila melihat kucing-kucing malang yang digilis kenderaan di lebuh raya.

"Jika saya menemui kucing mati kerana digilis dan dilanggar kenderaan, saya akan uruskan mereka (tanam kucing). Banyak juga kucing ditemui mati kerana dilanggar kenderaan di kawasan lebuh raya di tempat saya bekerja sambilan sebagai pekerja pembersihan jalan," ujar Encik Mohammad Azhar.


Yang pasti, usaha murni Encik Mohammad Azhar itu dapat diteruskan dengan adanya sokongan daripada isteri dan juga beberapa rakan yang memberi sumbangan untuk beliau membeli makanan kucing.

"Saya rasa amat seronok dan puas hati bila lihat kucing-kucing makan. Saya akan rasa tak lengkap dalam kehidupan seharian jika tak dapat beri kucing-kucing itu makan," kata Encik Mohammad Azhar.


Encik Mohammad Azhar berkata beliau berharap masyarakat akan prihatin dan sudi berkongsi rezeki dengan cara memberi makan kepada kucing-kucing terbiar atau jalanan yang kurang bernasib baik di luar sana.

"Kalau tidak mahu memberi kucing-kucing itu makan, janganlah bertindak zalim terhadap (kucing). Di Malaysia sudah ada Akta Kebajikan Haiwan 2015. Jadi kepada pemilik-pemilik kucing tolonglah jaga kebajikan kucing anda dengan sebaiknya.

Janganlah membuang kucing-kucing yang sudah tidak mahu dibela lagi. Sebaliknya carilah jalan terbaik supaya kucing-kucing itu tidak dibuang. Membela kucing adalah suatu tanggungjawab. Jadi jalankan tanggungjawab dengan sebaiknya," kata Encik Mohammad Azhar.

- BERITAmediacorp/nk

Top