Images
  • heels

Ini tips-tips berguna untuk anda jika membeli kasut Raya…

BERITAmediacorp: Selain baju Melayu, semestinya kasut baru merupakan satu lagi aksesori ‘wajib’ yang dibeli golongan wanita untuk melengkapkan gaya pada Hari Raya nanti. Lebih-lebih lagi jika terdapat potongan harga menarik sempena musim perayaan, ramai yang enggan terlepas peluang untuk mendapatkan kasut pilihan masing-masing.

Mentang-mentang harganya berbaloi atau coraknya cantik, usah abaikan aspek keselesaannya. Jika salah membuat pilihan, kaki akan rasa sakit dan melecet. Akibatnya ia boleh menjejas mood anda semasa beraya gara-gara menahan rasa sakit di kaki.

Agar kaki tidak merana semasa kunjung mengunjung nanti, apa kata anda ketahui dahulu tentang jenis-jenis kasut yang popular di pasaran, menerusi panduan ringkas sebelum membelinya.

Jika Cik Abang-Cik Abang di luar sana mahu ‘impress’ kaum wanita tentang kasut, mungkin pengetahuan mengenai jenis-jenis kasut di bawah ini boleh menjadi permulaannya. Ini dia:

JENIS-JENIS KASUT

Peep Toes


Tumitnya tampil dalam pelbagai ketinggian dan ia terkenal sebagai kasut yang memberikan penampilan seksi. Lebih tinggi tumitnya, lebih ranggi lagi penampilannya. Rekaannya terbuka dibahagian depan dan sebab itulah ia digelar peep toes.

Mules


Sesuai digayakan untuk ke pelbagai majlis seperti perayaan, acara formal dan juga ke pejabat. Tapaknya rata dan bertumit. Bahagian depan kasut pula tertutup sementara bahagian belakangnya terbuka. Ringkas dan tak sukar untuk memakainya, hanya perlu masukkan kaki ke dalam kasut tanpa menggunakan pengancing dan ia juga tidak mempunyai tali.

Stilettos


Inilah ‘ratu’ kasut tinggi! Ukuran tumitnya anggaran 4-6 inci dan bahagian depan kasut tertutup. Tampil dalam pelbagai warna, rekaan dan corak. Adakalanya potongan kasut ini kelihatan seperti tidak selesa digayakan kerana tumitnya yang terlalu halus dan tinggi. Tapi, jika anda konfiden berjalan dengannya, ia pasti akan serlahkan gaya anda.

Kitten Heels


Kasut jenis ini mempunyai tumit yang rendah dan ideal bagi yang gemarkan gaya sederhana. Ukuran tumitnya tidak terlalu tinggi dan sesuai dipadankan dengan semua jenis pakaian termasuk baju Melayu. Anggaran ketinggian tumitnya tidak melebihi 3.5cm dan ia tidak memenatkan kaki jika banyak berjalan.

Kasut Platform


(Gambar: AFP)

Jangan keliru, platform bukan kasut baji. Terdapat perbezaan antara dua kasut ini. Kasut platform bertumit tapi tidak penuh seperti kasut baji. Bagi yang ingin tampil lebih tinggi, kasut jenis ini sering menjadi pilihan kerana ianya lebih selesa jika dibandingkan dengan stilettos.

Wedges (kasut baji)


Bagi yang kurang konfiden untuk bergaya dengan kasut platform atau stilettos, kasut baji mungkin menjadi pilihan anda. Ia akan menyerlahkan ketinggian anda dalam keadaan yang ‘selamat’. Kasut jenis ini mempunyai tapak yang tebal tetapi rata. Lantas, ia membuat anda berjalan lebih stabil dan konfiden jika dibandingkan dengan stiletto yang bertumit halus.

Ballet pumps


Kasut pumps mempunyai tapak yang rata, leper dan kaki sukar rasa penat apabila berjalan. Walaupun kasut jenis ini sering digayakan dengan seluar potongan tiga suku atau seluar denim, anda juga boleh padankannya dengan baju Melayu. Sesuai untuk ibu-ibu yang beraya bersama anak-anak kecil atau mereka yang perlu mendukung bayi. Ia juga tepat untuk mereka yang inginkan keselesaan pada kaki.

Cut Out Heels


Tumitnya tinggi dan potongan kasut ini trendy. Hampir sama dengan stilettos, yang bezakannya adalah coraknya yang terbuka dan ianya bertali dan mempunyai pengancing seperti sandal. Tumitnya yang tinggi pasti dapat membuat si pemakai kelihatan lebih elegan berbaju Melayu.

SAIZ BENTUK & WARNA

Selain memilih kasut yang menepati cita rasa anda, saiz yang tepat juga harus diutamakan. Elakkan daripada membeli kasut yang sempit atau longgar dan usah membuat anggaran saiz kasut tanpa mencubanya. Setiap rekaan berbeza bergantung pada potongan serta bahan yang digunakan untuk membuat kasut. Contohnya kulit asli atau sintetik, fabrik dan sebagainya.

Penting juga untuk memahami dan mengetahui bentuk kaki anda terlebih dahulu. Walaupun saiz kasut anda mungkin sama dengan ibu, kakak atau adik, ia tidak menjamin keselesaan jika anda berkongsi kasut dengan mereka. Potongan kaki masing-masing berbeza. Ada yang lebar, panjang dan ada pula yang kakinya langsing.

BILA WAKTU TEPAT UNTUK BELI KASUT?

Tahukah anda, waktu yang tepat untuk membeli kasut adalah pada waktu sebelah petang kerana saiz kaki akan mengembang pada waktu itu. Jika beli kasut pada sebelah pagi, saiz kaki ketika itu selalunya lebih kecil dan mengecut. Lantas, kemungkinan anda akan memilih saiz yang kurang tepat.

Semasa mencuba kasut pastikan terdapat ruang untuk jari-jari kaki dan usah berdiri di depan cermin saja untuk melihat sama ada potongan dan saiznya sesuai. Pastikan untuk berjalan beberapa langkah untuk rasakan keselesaannya. Jika rasa ketat dan sempit, dapatkan satu saiz lebih besar.

JIKA BUKU LALI ANDA BESAR

Bagi yang mempunyai buku lali yang besar pula, elakkan daripada memakai kasut bertali di buku lali. Tanpa anda sedari ia akan membuat buku lali anda lebih besar berganda. Sebaliknya pilihlah kasut jenis pump yang dapat membuat kaki kelihatan lebih slim dan panjang.

Dari segi warna pula, warna yang ‘selamat’ seperti hitam, putih, kelabu, krim atau coklat sering menjadi pilihan ramai. Tapi bagi yang lebih berani, anda juga boleh memilih warna kontras. Yang penting harus konfiden menggayakannya.

JIKA ANDA PUNYA KAKI LEBAR…

Elakkan daripada membeli kasut potongan mancung tajam di bahagian depan. Ia akan membuat kaki rasa sakit, tersepit dan membengkak.

Cubalah kasut jenis tertutup di bahagian depan yang bulat atau potongannya lebar kerana ia dapat samarkan kaki yang ‘gemuk’. Potongan jenis ini selalunya dapat memberi keselesaan yang berpanjangan.

Tepat untuk memilih kasut jenis wide fit dan elakkan potongan standard fit. Ini penting terutama jika anda membeli kasut secara on-line dan tidak dapat mencubanya. Walaupun kedua-dua kasut ini tampil sama dari segi saiz, ramai yang tidak tahu keselesaannya amat berbeza.

Elakkan membeli kasut yang bertali halus. Ia akan membuat kaki tampil bengkak dan akan ‘terkeluar’ dari jaringan tali-tali kasut. Sebaliknya, pilihlah kasut yang bertali lebar atau tertutup kerana ia lebih kemas dan cantik.

Akhir kalam, pastinya pembelian kasut kini lebih mudah dengan adanya pelbagai wadah iaitu selain di kedai dan bazar, ada juga wadah on-line yang beroperasi 24-jam. Semoga anda tidak salah beli. Oleh itu, selamat mencuba tips-tips di atas! 

- BERITAmediacorp/fz

Top