Images
  • anis 768 kway teow
    (Gambar: Yip Jieying/8Days)

Ini kisah Anis Ang, pemilik gerai '786 Char Kway Teow' terkenal di Bukit Merah

SINGAPURA: Kuetiau goreng hasil air tangan Anis Ang mempunyai ikutan tegarnya sendiri, tetapi lelaki berusia 56 tahun itu sentiasa berendah diri.

Char kway teow saya biasa-biasa, lah. Hanya tidak mempunyai daging dan lemak babi. Ada juga mengadu apabila mendapati ia tidak menepati selera mereka,”katanya kepada Mediacorp.

Pun begitu, gerai Anis di Pasar & Pusat Makanan Bukit Merah View bukan calang-calang pencapaiannya: ia adalah salah satu daripada segelintir gerai kuetiau goreng halal milik Muslim di Singapura.

Beliau berkongsi bahawa nama gerainya 786 Char Kway Teow, berdasarkan nombor simbolik Islam yang berasal dari numerologi Arab bagi perkataan basmallah.

PERJALANAN MEMELUK ISLAM

Anis, yang nama asalnya Ang Hock Peng, memeluk Islam pada Jun 2011. Atas nasihat guru agamanya, beliau mengambil nama Anis (yang bermaksud "kawan rapat" dalam bahasa Arab) setelah masuk Islam. Kad penukaran yang dikeluarkan MUIS juga dipamerkan di gerainya.

“Saya suka agama ini. Ini agama yang indah. Setelah saya memeluk Islam, saya rasa hidup saya ada erti, ada hala tujuan, sesuatu yang perlu dicapai,” katanya. Sebelum memeluk Islam, Anis berkata beliau dahulu seorang agnostik.

Beliau menceritakan: “Saya hanya ikut-ikutkan orang bila mereka beribadat. Bila mereka guna 'joss stick' untuk ritual Tao, saya melakukan hal yang sama. "

Anis, yang masih bujang, mula mengkaji tentang Islam kerana rasa ingin tahu. "Saya tertanya-tanya mengapa orang memakai tudung, jadi saya cuba mencari jawapan. Apabila saya mendapat jawapannya, saya sangat menghormati agama ini,” katanya.

Keluarga beliau pada mulanya menentang keputusannya untuk menukar agama. Hubungan mereka awalnya menjadi keruh, namun lambat laun menjadi baik.

"Saya masih menyantuni dengan baik, dan kami selalu berkumpul pada majlis-majlis istimewa," kongsi beliau.

CABARAN BERPUASA, PELANGGAN SABAR TUNGGU SELESAI SOLAT

Anis kini menjalani ibadah puasa. “Saya pada awalnya tidak terbiasa dengan puasa. Saya masih harus bekerja, dan kerja saya membuat saya banyak berpeluh,” katanya.

Beliau juga mendirikan tiga daripada lima waktu solat di dalam gerainya yang sempit, di mana beliau menyimpan sehelai sejadah, senaskah al-Quran yang diterjemah kepada bahasa Cina dan sebuah radio untuk memainkan azan.


(Gambar-gambar: Yip Jieying/8Days)

Beliau akan membaca terjemahan Quran itu tiap kali ada waktu rehat.

Telefonnya juga akan berbunyi sekitar 2.00 petang, 4.00 petang dan 7.00 malam, menandakan waktu untuk beliau menurunkan pintu gerainya selama 20 minit, mengambil wuduk dan bersembahyang.

"Pelanggan biasa saya tahu saya tidak tutup, hanya sedang solat. Ada daripada mereka akan duduk luar gerai saya dan menunggu," kata beliau.

'KALAU SEDAP, JUAL 1 HIDANGAN SUDAH CUKUP'

Anis sudah 10 tahun menjual kuetiau goreng di Bukit Merah. Namun gerainya sangat bersih dan teratur, sehingga anda mungkin menyangka ia adalah gerai baru. "Saya utamakan kebersihan. Tidak baik lah,”seloroh beliau.

Gerainya sekarang ini milik mendiang neneknya, yang menjual zi char (nasi campur) sebelum Anis mengambil alih hampir 20 tahun yang lalu. Seorang bekas cef jamuan Cina, Anis beralih dari menjual zi char ke kuetiau goreng pada 2010 untuk menangani kekurangan tenaga kerja, ketika beliau mengusahakan gerai secara solo. "Ia memerlukan kurang tenaga kerja, jadi saya tidak perlu menggajikan pembantu," katanya.

Orang ramai sanggup beratur hingga dua jam bagi kuetiau masakan Anis. "(Ini) kerana saya sudah berumur dan lambat membuat kerja," katanya memberi alasan.

Gerainya tidak menawarkan hidangan lain, kecuali char kway teow pada harga S$3.50/S$4.50/S$5.50.

"Kalau sedap, jual hanya satu hidangan sudah cukup baik, hanya menjual satu hidangan cukup. Saya 'takluk' seluruh pasar dengan melayani semua orang - Cina, Melayu, India," katanya selamba.

Ketika Mediacorp mengunjungi gerainya, Anis sedang menggoreng kuetiau untuk pelanggan dari semua suku kaum yang datang bertali arus. Kebanyakan mereka pula membuat pesanan yang banyak. Beliau berkongsi bahawa "menggoreng kuetiau dengan lebih lembap untuk mereka yang ingin bawa pulang ke rumah untuk berbuka puasa".

MASAK KUETIAU GUNA KAEDAH 'ZI CHAR', BAHAN RAHSIA...

Kuetiau goreng yang dimasak oleh Anis juga berbeza sedikit dengan yang dimasak di tempat-tempat lain. Beliau akan secara sekejap menutup kuetiau dan mi kuning di kuali dengan penutup kuali (kaedah yang menurutnya digunapakai dari latar belakang memasak zi char) untuk mengukus, sebelum menggorengnya dengan kicap pekat, kicap cair, telur dan tauge.


Oleh kerana char kway yang dimasaknya tidak mengandungi daging atau lemak babi, Anis membuat resipi sendiri yang menggunakan campuran perasa dan sos rahsia untuk menambah lagi rasa.

Gaya memasak hibrid Anis menghasilkan kuetiau dan mi yang lebih lembut dikunyah berbanding kuetiau biasa.

Kerang di dalamnya pula gebu dan segar, dan kuetiau yang berwarna coklat muda itu beraroma (Anis selaputkan mi dalam ramuan sos sebelum menggoreng). Anis juga boleh menambah kicap pekat untuk memenuhi citarasa pelanggan yang memintanya.


ALAMAT DAN WAKTU OPERASI

  • Alamat: #01-28 Pasar & Pusat Makanan Bukit Merah View , 115 Bukit Merah View, S151115.
  • Waktu operasi: Dibuka setiap hari kecuali Jumaat, 12.00 tengah hari hingga 8.00 malam (pesanan terakhir pada 7.30 malam). Ditutup pada 7.00 pada bulan Ramadan.
  • Nombor telefon: 9007-7466 (telefon Anis sekurang-kurangnya sejam lebih awal bagi tempahan awal.)
  • Laman: Facebook

- TODAY/8DAYS/TQ/tq

Top