Skip to main content

Iklan

Iklan

Gaya Hidup

Ini garis panduan untuk bantu anak anda amal gaya hidup sihat

Ramai ibu bapa mungkin kurang pasti, berapa lama anak mereka seharusnya beriadah, dibolehkan menggunakan peranti digital ataupun tidur.

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Ramai ibu bapa mungkin kurang pasti, berapa lama anak mereka seharusnya beriadah, dibolehkan menggunakan peranti digital ataupun tidur.

Bagi mendapatkan jawapannya, mereka kini boleh merujuk kepada satu garis panduan yang disiapkan sebuah kumpulan kerja pimpinan Hospital KK bagi Wanita dan Kanak-Kanak (KKH).

Panduan itu menggariskan 10 perkara untuk anak berusia antara tujuh hingga 18 tahun mengamal gaya hidup sihat.

Semua saranan yang dibentangkan adalah berdasarkan hasil tinjauan KKH. Tinjauan tersebut disertai 100 responden - semuanya ibu bapa kepada kanak-kanak berusia antara lima hingga 14 tahun.

"Kami mengeluarkan garis panduan ini supaya dapat mengurangkan risiko jangka panjang seseorang kanak-kanak atau remaja itu terkena penyakit tidak berjangkit. Penyakit kronik suatu masalah pada peringkat global. Banyak kajian tempatan menunjukkan anak-anak kita berdepan risiko itu kerana kurang aktif," kata Dr Benny Loo, seorang konsultan pediatrik am dan perubatan sukan di KKH.

HAMPIR SEPARUH ANAK RESPONDEN TIDAK AKTIF

Menurut hasil tinjauan KKH, 43 peratus responden mengatakan anak mereka tidak melakukan sebarang kegiatan lasak. Lagi 32 peratus responden malah mengaku, anak mereka tidak melakukan aktiviti fizikal yang sederhana.

Lebih membimbangkan lagi, sesetengah ibu bapa nampaknya kurang tahu seberapa kerap anak mereka seharusnya bersenam.

Cuma 30 peratus percaya anak mereka kurang aktif.

Taman permainan di Punggol. (Gambar: Gaya Chandramohan)

Gambar fail.

Garis panduan yang dikeluarkan kumpulan kerja KKH kini menyarankan bahawa kanak-kanak dan remaja harus melakukan sebarang bentuk kegiatan fizikal selama 60 minit sehari.

Mereka boleh berlari-lari anak, berbasikal ataupun bermain di taman permainan.

20% GUNA PERANTI DIGITAL LEBIH 4 JAM

Garis panduan itu turut menyarankan supaya waktu kanak-kanak dibenarkan menggunakan peranti digital dihadkan sebaik mungkin. Ini setelah 20 peratus responden mengatakan anak mereka menggunakan peranti digital lebih empat jam lamanya.

70 peratus ibu bapa ada menyuarakan kebimbangan tentang penggunaan peranti digital tetapi sehingga 41 peratus tidak tahu-menahu bahawa ada garis panduan yang boleh diikuti.

Jika boleh, kanak-kanak dinasihati menggunakan peranti digital selama kurang dua jam sahaja.

WAKTU TIDUR IKUT PERINGKAT UMUR

Waktu tidur yang disarankan pula berbeza-beza.

Bagi kanak-kanak yang berusia antara 7 dengan 13 tahun, mereka dinasihati agar tidur selama sekurang-kurangnya 9 jam setiap hari. Remaja berusia antara 14 hingga 17 tahun pula disaran tidur selama lebih 8 jam; 7 jam bagi belia 18 tahun.

20 peratus ibu bapa mengatakan, mereka tidak tahu bahawa ada waktu tidur yang disarankan untuk anak mereka.

Untuk mengetahui lebih lanjut tentang garis panduan yang dikeluarkan, anda boleh melungsuri laman ini.

Sumber : BERITA Mediacorp/aq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan