Images
  • wan decor main
    (Gambar: Fatema Design Studio, The Moving Visuals Co)

Ini flat HDB atau 'kapal layar mewah'?

SINGAPURA: Sejak sekian lama, sanubari Wan Ismail rasa terikat dengan laut biru. Lantas tidak hairanlah apabila beliau memilih konsep hiasan rumah bertemakan maritim untuk dirinya, isteri dan empat anak mereka - dalam sebuah flat HDB di Bedok berukuran 700 kaki persegi.

“Ini rumah pertama saya, laut pula ibarat rumah kedua. Saya memang lama mempunyai hubungan rapat dengan lautan kerana saya mengambil bahagian dalam lumba layar semasa di sekolah rendah; saya gemar memancing dan menaiki bot. Membesar dengan kegiatan sedemikian memupuk minat saya terhadap apa-apa yang berkaitan dengan laut," kongsi Ismail, seorang pereka dalaman bersama Fatema Studio.

Beliau bukan sahaja mendapatkan ilham daripada kembara lalunya di laut tetapi juga di atas bot, kapal layar dan hotel yang pernah dilihat atau dihuninya semasa di luar negara.

Kesemua ciri-ciri tersebut digabungkan menjadi satu tema hiasan rumah yang unik - "perhiasan dalaman sebuah kapal layar mewah" dan menerapkan "unsur seni bina Islamik dari Maghribi".

Hasilnya? Sebuah mahligai yang selesa untuk seisi keluarga sambil membawa seseorang 'mengembara nun jauh' dari kejiranan HDB ke tengah lautan.

Siling dilapik kayu manakala panel-panel kayu dipasang pada dinding dan pintu almari menghasilkan suasana yang nyaman dan tenang serta menjaga privasi.

Bahkan setiap bahagian tembok ditutupi panel kayu termasuk pintu besi ruang perlindungan kecemasan - yang dianggap ramai sebagai menjejas estetik rumah mereka. Lantai pula dihiasi marmar putih yang menambahkan lagi keanggunan dan suasana mewah hiasan rumah tersebut.

RUANG BERSAMA KELUARGA

Encik Ismail juga mahukan ruang keluarga yang lebih luas bagi seisi keluarga meluangkan masa bersama. Maka itu beliau memecahkan tembok salah satu bilik tidur.

Ruang tamu dilengkapi dengan sofa berbentuk L besar yang ditempah khas, cukup untuk keluarga enam beranak itu untuk menonton TV atau bermain bersama, bahkan menyediakan tempat duduk yang cukup apabila tetamu datang berkunjung.

Setiap bahan hiasannya juga membawa ciri marin - dari meja di ruang tamu yang diperbuat daripada peti kulit yang dibawa orang yang belayar. Koleksi kapal layar mininya pula menghiasi kabinet kaca yang dibina khas.

KATIL TINGKAT SEAKAN DALAM KABIN KAPAL

Satu kejutan besar pastinya katil tingkat berserta tilam 'queen' untuk empat anaknya.

Dengan dinding kayu, panel lampu dan rel gangsa antik, ruang itu mewujudkan suasana seakan dalam "kabin mewah" sebuah kapal pelayaran.


(Gambar: Fatema Design Studio)

Satu lagi strategi bijak untuk memaksimumkan ruang adalah dengan mengalihkan pintu masuk bilik tidur utama. Selain memberi lebih privasi, perubahan itu membolehkan unit simpanan tambahan diwujudkan di dalam kamar tidur utama, selain ruang untuk memuatkan meja kerja.

SUASANA MEWAH HINGGA KE RUANG DAPUR

Ruang dapur flat Encik Ismail juga memantulkan gaya tersendiri, dengan penggunaan bahan-bahan mewah seperti travertine (sejenis batu semula jadi) pada dinding, dan granit sama pada permukaan dapur seperti yang digunakan pada meja makan. Reka bentuk kabinet dan penggunaan tembaga diselarikan dengan bahan hiasan yang digunakan di seluruh rumah.


(Gambar: Fatema Design Studio)

"Bagi saya, ruang-ruang dalam rumah patut dapat 'berbual' antara satu sama lain, dan seiras antara satu sama lain, untuk menghasilkan naluri dan suasana yang sama." 

- CNA/TQ/tq

Top