Skip to main content

Iklan

Iklan

Gaya Hidup

Ini cara betul buang pelitup setelah dipakai

Para pakar yang dihubungi Mediacorp menekankan bahawa meninggalkan pelitup yang sudah dipakai merata-rata membawa risiko kepada kesihatan awam. Apakah risikonya dan bagaimana pula cara betul untuk membuang pelitup setelah dipakai?

Anggaran Waktu Membaca:
Ini cara betul buang pelitup setelah dipakai

Gambar fail pelitup muka. (Gambar: Amir Yusof)

Diterbitkan : 09 Sep 2020 11:42PM Dikemas Kini : 09 Sep 2020 11:45PM

SINGAPURA: Setelah berbulan-bulan masyarakat dunia bergelut dengan pandemik COVID-19, pemakaian pelitup muka sudah menjadi satu kelaziman seharian.

Sedang ramai di sini yang memilih untuk mengenakan pelitup yang boleh diguna semula, tidak kurang juga mereka yang masih menggunakan pelitup pakai buang. Malangnya, kadang-kala terlihat pelitup yang sudah dipakai dibuang merata-rata.

Para pakar yang dihubungi Mediacorp menekankan bahawa meninggalkan pelitup yang sudah dipakai merata-rata membawa risiko kepada kesihatan awam.

Apakah risikonya dan bagaimana pula cara betul untuk membuang pelitup setelah dipakai?

APA YANG BERLAKU JIKA PELITUP TIDAK DIBUANG DENGAN BETUL?

Dr Wong Chen Seong, seorang perunding di Pusat Nasional bagi Penyakit Berjangkit, berkata pelitup yang tidak dibuang dengan betul, terutama yang kotor atau mempunyai "sejumlah besar titisan pernafasan", boleh membahayakan kesihatan jika orang lain menyentuhnya.

"Cara virus ini (COVID-19) boleh menular kepada orang lain dengan cara ini adalah melalui kontak - iaitu, jika orang lain secara tidak sengaja menyentuh pelitup yang kotor, dan kemudian menyentuh muka mereka sendiri," kata Dr Wong.

Menyokong penilaian itu, Dr Leong Hoe Nam, seorang pakar penyakit berjangkit di Pusat Pakar Mount Elizabeth Novena, menambah bahawa pelitup yang terdedah membawa "risiko kecil" menyebarkan virus ke udara.

"Jika ia terdedah, dengan angin kencang, ada sedikit risiko penyebaran menerusi titisan di udara," katanya.

"Walau apapun, (membuang pelitup muka terpakai secara tidak betul) adalah menjijikkan dan tidak sihat," tambahnya.

Apabila dibiarkan terdedah, para pakar meramalkan virus itu boleh bertahan selama beberapa jam hingga beberapa hari.

Dr Wong menambah bahawa dalam iklim panas dan lembab di Singapura, virus itu mungkin akan bertahan tidak lebih dari dua hingga tiga hari, manakala Dr Leong berkata virus itu dapat bertahan "berjam-jam" di permukaan yang terdedah.

Dr Leong menambah bahawa kuman yang berbeza dapat bertahan pada pelitup terpakai untuk jangka masa yang berbeza. Sebagai contoh, bakteria dapat hidup selama berbulan-bulan hingga bertahun-tahun jika disimpan di tempat yang sejuk, katanya.

LIPAT, IKAT, BUNGKUS

Dr Leong berkongsi secara teliti beberapa langkah yang patut diambil sekiranya seseorang ingin membuang pelitup setelah dipakai semasa sesi Soal Jawab secara langsung dengan akhbar Mandarin harian Lianhe Zaobao tidak lama dahulu.

Beliau menekankan bahawa seseorang harus mencuci tangan sebelum menanggalkan pelitup, kerana menyentuh muka dengan tangan yang tidak dicuci akan menyebabkan seseorang lebih mudah diserang penyakit.

Selepas itu, tanggalkan pelitup, dan melipatnya separuh ke dalam, supaya titisan dari mulut dan hidung tidak terdedah. Kemudian, lipat pelitup itu lagi dan seterusnya lagi sehingga ia kelihatan seperti gulungan. Pelitup juga boleh dibalut dengan gelung telinga agar tidak terurai.

Kemudian, Dr Leong berkata pengguna patut membungkus pelitup itu dalam sehelai kertas tisu, sebelum membuangnya ke dalam tong sampah.

Profesor Madya Alex Cook, Naib Dekan Penyelidikan di Sekolah Kesihatan Awam Saw Swee Hock di Universiti Nasional Singapura, berkata mereka yang sakit harus lebih berhati-hati tentang di mana mereka membuang pelitup.

"Sekiranya anda dijangkiti sesuatu virus dan memakai pelitup untuk mencegah penularan - langkah yang seharusnya dilakukan - anda boleh membuang pelitup tersebut di tong sampah biasa," kata Dr Cook. "Tapi adalah lebih baik untuk memasukkannya ke dalam beg dan segera buang ke tong sampah daripada membiarkannya terdedah."


Muat turun aplikasi BERITAmediacorp bagi iOS atau Android dan langgani saluran Telegram kami bagi perkembangan terkini COVID-19: https://t.me/BERITAmediacorp

Sumber : Today/TQ/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan