Skip to main content

Iklan

Iklan

Gaya Hidup

Ini bukan sebarang makcik, ini Makcik Market yang menjadi tarikan makanan terkini!

Terdapat lebih 400 item makanan yang akan membuat sesiapa saja terliur tatkala membelek-belek menunya. Dari sajian Barat, Melayu, Cina dan India - semuanya ada di Tenderbest Makcik Market!

Anggaran Waktu Membaca:
Ini bukan sebarang makcik, ini Makcik Market yang menjadi tarikan makanan terkini!

Tenderbest Makcik Market terletak di tingkat dua di pusat membeli belah Bedok Point. (Gambar: Aizam Omar)

BERITAmediacorp: Terdapat lebih 400 item makanan yang akan membuat sesiapa saja terliur tatkala membelek-belek menunya. Dari sajian Barat, Melayu, Cina dan India - semuanya ada di Tenderbest Makcik Market!

Terletak di tingkat dua di pusat membeli belah Bedok Point, Tenderfresh Makcik Market merupakan tempat makan terkini berkonsepkan fusion yang baru dibuka oleh syarikat Tenderbest yang terkenal dengan sajian ayam goreng dan panggang sejak berdekad lama.

Apa yang membuat tempat makan ini berbeza dari restorannya yang lain adalah menunya yang luas lagi pelbagai. Boleh dikatakan sajian yang ditawarkan menepati setiap golongan usia dengan cita rasa yang berbeza. Tidak kira dewasa atau kanak-kanak, pelanggan tidak akan ketandusan idea untuk membuat pilihan makanan.

(Gambar-gambar: Aizam Omar)

Selain itu ia mempunyai dekor yang chic dan moden dengan ruang yang luas. Terdapat tempat duduk di bahagian tepi tingkap kaca dari siling ke lantai yang dilengkapi dengan sentuhan perabot kayu selain papan tanda hipster berlampu neon. Ia tidak ubah seperti sebuah tempat makan premium.

“Walaupun mempunyai hiasan seperti restoran yang ‘atas’, tarikannya terletak pada harga makanan yang ditawarkan. Harga sajian termasuk cukai GST dan servis caj. Lantas, membuatnya setanding dengan harga-harga makanan di food court atau kedai kopi biasa,” kata Encik Aric Tan, Pengurus Kanan Perancangan Strategik Tenderfresh.

Berusia lebih kurang tiga bulan, Tenderfresh Makcik Market berkolaborasi dengan dua jenama tempatan terkemuka – Asyura Paste dan Mr Teh Tarik untuk menghasilkan sajian-sajian yang unik.

“Tenderfresh sudah lama menjalinkan hubungan yang baik bersama Asyura Paste dan responsnya sangat memerangsangkan. Bila tercetusnya idea untuk membuka tempat makan ini, kami ambil kesempatan sekali lagi untuk bekerjasama,” kata Encik Tan.

Selain Encik Tan, kunjungan penulis di Tenderfresh Makcik Market baru-baru ini turut disambut oleh Cik Norhuda Rabani, pengasas pes Asyura.

“Pes yang saya hasilkan dari dulu hingga sekarang kekal rasanya seperti masakan di rumah. Apabila terdapat peluang ini, ia seperti satu extension bagi saya untuk mempunyai restoran dan sekali gus menawarkan sajian masakan rumah atau ‘home cooked food’.

“Saya teruja apabila cef di sini menggunakan pes Asyura. Inilah kolaborasi restoran kami yang pertama,” kata Cik Norhuda.

Sambil kami berbual-bual santai, saya berpeluang mencuba pelbagai hidangan yang telah dipesan dan disarankan oleh Encik Tan. Satu demi satu sajian tiba tanpa henti.

ANEKA SAJIAN

Hidangan pertama yang diperkenalkan merupakan perata atau prata artisanal. Apa yang membuatnya berbeza dari perata kosong dan telur - perata ini sebenarnya berinti. Saya telah mencuba Blossom Truffle Salmon Prata ($6.90). Selalunya salmon digandingkan dengan roti sandwic. Tapi kali ini berbeza apabila ia dipadankan dengan perata, tairu, hirisan bawang dan daun dill segar.

Rasanya enak kerana peratanya lembut dan inti salmon juga lumayan. Kehadiran minyak truffle menaikkan lagi rasa dan aroma sajian ini.

Bagi yang gemar menikmati pasta pula, anda mesti cuba Smoked Duck Lemak Chili Padi Pasta ($11.90). Walaupun saya tidak gemar menikmati daging itik, meratah pasti saja sudah memuaskan. Rasanya pedas menggigit lidah tapi syok. Jika anda seorang yang ‘hantu’ cili, bolehlah meminta ditambahkan cili atau bila buat pesanan, pilih kod G2 – Pedas Giler!

Untuk penggemar ikan tiga rasa pula, cubalah Spanish Mackeral ($12.90) atau ikan tenggiri yang dimasak dengan aneka sos. Potongan isi ikan segar dan tidak hanyir. Rasa sosnya seimbang tapi kalau tanya saya, saya lebih suka jika sosnya lebih pedas.

Jika anda ingin cemilan seperti kentang goreng, Encik Tan menyarankan Indomie Loaded Fries ($5.90) yang menggunakan campuran perasa yang selalunya terdapat di dalam paket mi segera Indomie. Apa yang membuatnya unik, sajian ini dihidangkan dengan telur dan sos manis yang dibuat sendiri. Satu lagi, perasa MSGnya juga dikurangkan. Jadi, bolehlah ratah kentang ini tanpa rasa ‘bersalah’.

Satu lagi sajian yang memikat hati adalah popiah Hokkien ($3.90), ia merupakan resipi warisan dengan menggabungkan tujuh jenis bahan – sengkuang, kubis, lobak, kacang panjang, bawang putih, tauhu dan rebung. Tekstur kulit popiahnya lembut dan rasa petis juga tidak keterlaluan. Namun, bagi yang suka popiah yang lebih pedas rasanya, cubalah Skinny Popiah ($4.90). Kesan pedas cili padinya akan kekal pada bibir anda buat seketika!

Selain popiah basah, Pasta Lemak Cili Padi dan Perata Salmon, Roti John Ayam ($5.90) juga berjaya menawan hati saya kerana rotinya yang lembut seperti span. Intinya juga lumayan dengan gandingan aneka sos, keju dan mayones. Sekali gigit pasti nak lagi kerana bukan saja rasanya enak tapi tekstur roti yang sangat perfect.

Akhir sekali sajian Nasi Goreng Sambal ($11.90) yang dihidangkan dengan ayam goreng. Terfikir sejenak, nak ratah ayam yang ranggup dulu atau rasa nasi goreng yang mengancam aromanya. Apabila mencuba satu sudu nasi saya terus terpikat dengannya.

Tesktur nasi goreng ini tidak kering. Ia pastinya lebih lengkap dan enak apabila dipadankan dengan ayam goreng dan keropok. Kalau anda mahu tahu, sajian ini juga merupakan antara yang menggunakan pes Asyura. Memang power!

PENCUCI MULUT

Selepas satu jam menjamu selera, tiba-tiba terasa kenyang tahap maksima gara-gara mencuba pelbagai sajian. Walaupun hanya menjamah saja, perut rasa sendat seperti sudah nak give-up. Tapi, bila pencuci mulut dihidangkan hati rasa ‘tergoda’ pula!

Sajian Tissue Ondeh Ondeh ($4.50) pasti akan menarik perhatian ramai kerana penampilan dan warna kelapa parut hijau terang yang amat ketara. Hidangan ini menepati mereka yang mempunyai sweet tooth atau gemar manis.

Tapi, ini bukanlah pilihan pencuci mulut saya, sebaliknya saya sudah jatuh hati dengan Sizzling Caramelised Pisang Goreng with Ice Cream ($9.90). Walaupun tersenarai dalam golongan pencuci mulut manis, rasa manisnya tidak keterlaluan dan enak bila digandingkan dengan pisang dan ais krim. Satu sajian boleh dikongsi 2-3 orang.

Ternyata apabila berada di Tenderbest Makcik Market ia tidak mengecewakan. Pasti terdapat makanan yang menepati cita rasa setiap usia. Yang penting, hidangan dan harganya berbaloi dan seronok dinikmati bersama seisi keluarga dan teman-teman dalam suasana yang selesa.

Selamat mencuba!

Alamat: 799 New Upper Changi Road, #02-01 Bedok Point. S(467351). Tel: 6755 6900
Waktu operasi: 11.00 pg – 10.00 mlm   

Sumber : BERITA Mediacorp/aq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan