Skip to main content

Iklan

Iklan

Gaya Hidup

Indonesia ketengah budaya, sejarah Melayu sebagai tarikan pelancongan

Republik Indonesia sedang giat memperkenalkan budaya dan sejarah Melayu, terutamanya di kawasan Sumatera negara itu, sebagai salah satu produk bagi tarikan sektor pelancongan.

Anggaran Waktu Membaca:
Indonesia ketengah budaya, sejarah Melayu sebagai tarikan pelancongan

Masjid Sultan Riau. (Gambar: Ummu Rabbisyfina/BERITAmediacorp)

Diterbitkan : 29 Jun 2019 12:08AM Dikemas Kini : 29 Jun 2019 12:26AM

MELAKA: Republik Indonesia sedang giat memperkenalkan budaya dan sejarah Melayu, terutamanya di kawasan Sumatera negara itu, sebagai salah satu produk bagi tarikan sektor pelancongan.

Asisten Deputi Pengembangan Pemasaran I Regional II, Kementerian Pariwisata Republik Indonesia, Adella Raung, berkata ia mampu menjadi daya penarik kepada kehadiran pelancong, terutamanya dalam kalangan rakyat negara serumpun seperti Malaysia dan Brunei.

"Apabila kita bawa misi pariwisata (pelancongan) ke Malaysia, selalunya itu hubungan B2B atau ‘business to business’, tetapi kita biasa (mahu) eratkan hubungan Malaysia-Indonesia melalui P2P iaitu 'rakyat ke rakyat' kerana kita ini bersaudara dan Malaysia ini dekat sekali dengan kami di Indonesia.

"Kami mengangkat untuk pasaran di Malaysia itu pasaran budaya, kerana ia lebih mapan seperti saudara kita di Negeri Sembilan, Malaysia (contohnya) mereka boleh ke Bukit Tinggi, Sumatera, yang memiliki budaya hampir sama, bagaikan mereka pulang ke kampung mereka sendiri.

"Jadi itu ada potensi besar (pelancongan) terutama di Sumatera untuk pariwisata itu (kerana) budaya dan sejarah Melayu itu dekat dengan (rakyat) Malaysia," katanya kepada Bernama baru-baru ini.

Cik Adella berkata kementeriannya menyasarkan seramai tiga juta pelancong rakyat Malaysia akan berkunjung ke Indonesia tahun ini, selaras dengan kempen pelancongan Wonderful Indonesia.

Ditanya mengenai kawasan dan tarikan pelancongan budaya serta sejarah Melayu yang menarik di negara itu, Cik Adella berkata kawasan Riau-Lingga merupakan salah satu lokasi pelancongan menarik yang bertema Melayu.

"Di sana, ada terkaitan raja-raja zaman dahulu kerajaan Melayu Riau-Lingga, ternyata budaya Melayu itu Malaysia juga terkait dengan budaya itu, terutama di Tanjung Pinang di Riau-Lingga itu. Kalau terfikir, kita memang bersaudara.

"Kita juga bawa ke Malaysia (wakil) daripada Pulau Penyengat itu (pulau di kawasan Riau-Lingga) bagi menceritakan sejarah kerajaan Melayu zaman dahulu itu yang terpisah akibat sejarah dahulu, namun sehingga kita Malaysia dan Indonesia itu bersaudara," katanya.

Beliau berkata generasi muda Malaysia merupakan antara sasaran utama pelancongan berasaskan budaya dan sejarah Melayu, kerana kebanyakkan mereka mahu melihat sendiri perkembangan serta sejarah Melayu di negara lain, terutamanya Indonesia.

Katanya, itu adalah faktor penting bagi memperlihatkan sejarah dan budaya kepada generasi muda bagi membentuk jati diri yang kukuh dalam diri mereka, sekaligus menjadi generasi penerus hubungan saudara erat Malaysia-Indonesia.

Sementara itu, para pelancongan memainkan peranan dalam memperkenal budaya Melayu di Tanjun Pinang dengan kesenian dan budaya dipengaruhi ajaran Islam seperti Gurindam 12, Tari Zapin, Tari Makyong, Muzik Ghazal dan Tari Dankong.

Tempat ibadat juga menjadi tarikan di kawasan itu. Antaranya, Masjid Raya Sultan Riau di Pulau Penyengat yang menggunakan putih telur sebagai bahan binaannya, Masjid Raya Al-hikmah, Masjid Raya Dompak, Gereja Bethel GPIB dan Klenteng Bahtra Sasana, selain makanan laut yang enak.

Tanjung Pinang juga memiliki bekas istana Kerajaan Melayu Riau-Johor iaitu Istana Kota Raja dan Tanjungpinang menempatkan makam Yang Dipertua Muda (Raja) Riau I Daeng Marewah, makam Yang Dipertua Muda (Raja) Riau II Daeng Celak dan Yang Dipertua Muda (Raja) Riau III Daeng Kemboja.
 

Sumber : Bernama/AI/zm
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan