Images
  • iklan biskut julie
    (Petikan skrin: YouTube)

Iklan raya Julie's Biscuits tular; persoal peranan stereotaip wanita

SINGAPURA: Iklan biskut biasanya hanya menghendaki seorang pelakon untuk mengunyah biskut sambil menunjukkan kerangupan dan betapa enaknya biskut tersebut.

Namun baru-baru-ini, iklan oleh syarikat Malaysia, Julie’s Biscuits, menjadi tular dan mendapat perhatian ramai apabila watak 'makcik-makcik' dalam iklan itu mempersoalkan skrip berunsur stereotaip terhadap peranan wanita yang diberikan oleh pengarah iklan berkenaan.

Bertajuk "Ini Iklan Raya, tau?”, klip video hampir empat minit terbitan agensi kreatif GOVT Singapore berjaya memikat hampir sejuta tontonan di YouTube sejak ia dimuat naik pada 3 Mei 2021.

Jalan cerita yang menghiburkan itu berkisar pada pelakon makcik, yang sedang menjalani penggambaran bagi siri kehidupan berkeluarga yang menyambut Hari Raya. Atas arahan pengarah (lakonan Amerul Affendi), seorang wanita warga senja (Fauziah Nawi) menitiskan air mata dengan cara yang melodramatik mengenai anak-anaknya yang tidak menziarahinya pada musim Raya.

Sebaik saja kamera berhenti merakam, makcik itu merungut tentang wataknya yang lemah. "Director, oh director! Kalau anak-anak I tak boleh balik jumpa I, kenapa I tak boleh pergi jumpa mereka?", soal wanita itu.

"Ini Iklan Raya, tau?” jawab pengarah iklan itu, yang menepis pertanyaan makcik tersebut.


Dalam sketsa selanjutnya yang bertajuk 'Air Mata Bawang', makcik kedua tergagap-gagap ketika cuba menyampaikan skrip yang ditujukan kepada anak perempuannya: "Kamu bila nak ka...ka.... ka(hwin)?"

Apabila ditegur oleh pengarahnya yang kelihatan semakin hilang sabar, wanita itu menjawab: "Eh, tak ada benda lain ke aku nak tanya? Pasal crypto ke? Pasal global warming ke, mental health ke? Gender inequality ke, tak ada ke? Kahwin, kahwin, kahwin, kahwin!"

Sekali lagi pengarah itu menepis soalan daripada pelakonnya sambil bertegas bahawa skrip iklan itu tidak boleh diubah dan sebaliknya mengancam akan "mematikan" watak pelakon wanita berkenaan selepas adegan tersebut.

Sketsa terakhir berjudul 'Air Mata Air Tangan' menunjukkan anak perempuan makcik itu sedang memasak rendang seorang diri di dapur sempena Hari Raya. Babak ini juga menyelitkan sindiran yang merujuk kepada komen rendang 'crunchy' yang menjai tajuk perbualan ramai menyusuli satu episod MasterChef UK 2018.

Setelah hilang sabar kerana disuruh oleh pengarah supaya hanya menitiskan air mata dari mata kirinya, pelakon wanita itu menjawab: "Director. Apasal saya seorang saja yang kena masak? Mana adik-beradik saya yang lain?"

Iklan Julie’s Biscuits itu berakhir dengan pengarah 'angkat kaki" dari set penggambaran, dengan mesej sentimental yang berbunyi:

"Sudah tiba masanya untuk menukar skrip. Marilah kita curahkan kasih sayang dan penghargaan kepada wanita yang kita sayangi."

Video iklan itu sememangnya menghiburkan, namun pada masa yang sama turut mengajak para penonton supaya merenungkan isu-isu yang dibangkitkan itu dengan lebih mendalam.

- TODAY/8DAYS/TQ/tq

Top