Skip to main content

Iklan

Iklan

Gaya Hidup

Ikea hasilkan langsir yang didakwa bersihkan udara dalam rumah

Alat pembersih udara semakin kerap digunakan di rumah-rumah. Alat tersebut beroperasi secara senyap di sudut-sudut rumah dan menyedut udara ke dalam penapisnya untuk membasmi debu dan bakteria.

Anggaran Waktu Membaca:
Ikea hasilkan langsir yang didakwa bersihkan udara dalam rumah

(Gambar: Ikea)

Diterbitkan : 28 Feb 2020 11:12PM Dikemas Kini : 28 Feb 2020 11:16PM

SINGAPURA: Alat pembersih udara semakin kerap digunakan di rumah-rumah. Alat tersebut beroperasi secara senyap di sudut-sudut rumah dan menyedut udara ke dalam penapisnya untuk membasmi debu dan bakteria.

Namun bagaimana pula jika anda boleh menggantung beberapa alat sepertinya di sekeliling rumah?

Ikea menyatakan ia akan menghasilkan langsir yang berupaya membersihkan udara di rumah anda. Diberi nama Gunrid, ia adalah ciptaan baru oleh pembangun produk Ikea Sweden, Mauricio Affonso dan sekumpulan pembangun, saintis, dan jurutera. Ia dijadual akan dilancarkan di Singapura pada April pada harga S$49.90 sepasang.

"Ramai orang tahu bahawa pencemaran udara luaran boleh menjadi masalah, tetapi tidak ramai yang sedar bahawa udara dalam rumah juga mungkin seteruk atau lebih teruk daripada udara luar," kata Encik Affonso. "Itulah sebabnya kami melihatnya sebagai tanggungjawab untuk menimbulkan kesedaran kepada masalah yang berkaitan dengan pencemaran udara dalaman, supaya dengan cara ini orang ramai boleh melakukan sesuatu mengenainya."

Bagaimanakah sebenarnya ia berfungsi?

Menurut Ikea, permukaan kain disalut dengan larutan mineral yang tipis dan menggunakan proses yang mirip dengan fotosintesis. Ia memusnahkan partikel pencemar lazim seperti bau tidak enak, formaldehid dan asetaldehid, dan dengan cara itu "membersihkan dan menyegarkan" udara.

"Permukaan photocatalyst fabrik memerangkap pencemar udara dalam rumah dan menggunakan cahaya matahari untuk memusnahkannya," jelas Encik Affonso kepada Mediacorp. Beliau menambah bahawa Gunrid berfungsi tanpa menggunakan sebarang kuasa elektrik atau sistem penapisan rumit.

Apa yang dilakukan langsir berteknologi tinggi sebenarnya tidak baru. Menurut satu rencana oleh Fast Company, versi photocatalyst yang sama juga digunakan di tempat-tempat lain. Namun Ikea mengubahsuai teknologi itu sehingga ia juga diaktifkan oleh cahaya dalaman atau buatan dan bukan hanya cahaya matahari semula jadi.

Oleh kerana ia boleh digunakan untuk semua jenis fabrik, ada rancangan untuk tidak menghadkan penggunaannya kepada langsir. "Pembangunan itu akan memberi kami peluang untuk aplikasi masa depan pada tekstil lain," kata Cik Lena Pripp-Kovac, ketua kelestarian di Inter Ikea Group dalam satu kenyataan media.

Teknologi seperti ini sangat berkesan di negara seperti Singapura kerana cuacanya. Ketua Perniagaan Ruang Bilik Tidur, Ikea Asia Tenggara, Victoria Farnworth, memberitahu Mediacorp bahawa cahaya mentari mudah didapati di sini adalah "persekitaran terbaik untuk permukaan photocatalyst yang digunakan oleh teknologi Gunrid untuk berfungsi dan secara terus menerus menghilangkan bahan pencemar udara dalam rumah".

Langsir pembersih udara Gunrid boleh didapati mulai April di Ikea Singapura dalam tiga warna pada S$49.90 sepasang. 

Sumber : Agensi berita/NA/na
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan