Images
  • iceland
    (Gambar: Andres Teiste/Facebook)

Iceland negara termahal di Eropah

REYKJAVIK: Mata air panas Iceland bukan punca kebanyakan pelancong yang berkunjung ke negara itu berpeluh tetapi apabila melihat bil hotel atau makanan tengah hari yang mahal.

Malah kadang-kala harga tersebut lebih mahal berbanding beberapa negara lain di Eropah.

Menurut data Eurostat, di pulau ‘subartic’ itu, harga pengguna secara purata 56 peratus lebih tinggi berbanding beberapa negara lain di Eropah pada 2018, sekali gus menjadikan Iceland satu-satunya negara termahal, mendahului Switzerland (52 peratus), Norway (48 peratus) dan Denmark (38 peratus).

Bagi mengelakkan sebarang pengalaman yang tidak diingini, Encik Quint Johnson, seorang pelancong warga Amerika Syarikat membuat "sedikit kajian" sebelum melancong ke negara itu selama seminggu bersama keluarga.

“Tetapi ia sedikit mengejutkan,” menurut pelajar berusia 22 tahun itu kepada AFP, selepas mendapati harga makanan biasa seperti ‘hamburger’ bersama kentang goreng dan minuman keras agak mahal.

Berdasarkan laman web Numbeo, perbandingan harga bagi makan malam untuk dua orang secara purata di sebuah restoran bernilai 85 euros (S$130).

Jumlah penduduk yang kecil sebanyak 355,000 orang ditambah kebergantungan negara itu terhadap barangan import dan cukai yang tinggi ke atas minuman keras menjadikan harga barangan begitu tinggi di Iceland.

“Iceland negara yang amat kecil. Jadi agak sukar untuk mendapatkan skala ekonomi yang sama seperti yang dikenakan terhadap syarikat di negara yang 100 kali lebih besar,” kata ketua ekonomi Dewan Perniagaan Iceland, Konrad Gudjonsson.  

- AFP/NA/na

Top