Skip to main content

Iklan

Iklan

Gaya Hidup

Ibu tunggal Azizah Mohd Noor bakar kuih, perkasa sesama wanita kurang bernasib baik ubah kehidupan

Bau yang sungguh membangkitkan selera berlegar di udara sejurus saja pintu dibuka. Di dalam ruang itu, empat wanita sedang menguli dan membentuk doh dengan tangan mereka untuk membuat tat nanas. 

Anggaran Waktu Membaca:
Ibu tunggal Azizah Mohd Noor bakar kuih, perkasa sesama wanita kurang bernasib baik ubah kehidupan

Dari kiri: Yashmin Abdullah, Rusnah Sajee, Juriana Suhoot and Azizah Mohd Noor.

Diterbitkan : 26 Dec 2019 11:16AM Dikemas Kini : 26 Dec 2019 01:49PM

SINGAPURA: Bau yang sungguh membangkitkan selera berlegar di udara sejurus saja pintu dibuka. Di dalam ruang itu, empat wanita sedang menguli dan membentuk doh dengan tangan mereka untuk membuat tat nanas.

Suasana kelihatan biasa di sebuah ruang kecil di Whampoa namun, kehidupan wanita-wanita itu jauh daripada senang.

Ruang latihan Bakers Beyond di 75 Whampoa Drive.

(Ruang latihan Bakers Beyond di 75 Whampoa Drive.)

Ibu tunggal Azizah Mohd Noor mempunyai empat cahaya mata, yang bongsu hiperaktif dengan fungsi intelektual terbatas. Rumah seringkali bukanlah tempat untuk rehat bagi beliau.

"Tetapi di sini, saya rasa tenang dan gembira dengan keadaan," wanita berusia 48 tahun itu merujuk kepada ruang latihan di kolong blok HDB di Whampoa Drive. "Kita bebas untuk melakukan apa kita mahu di sini."

Ruang itu jugalah tempat di mana wanita-wanita berkenaan ibarat keluarga buat satu sama lain.
Semua orang menyapa Rusnah Sajee dengan panggilan 'Mak Rus' bukan semata-mata wanita berusia 59 tahun itu yang paling tua dalam kalangan mereka tetapi kerana mereka menganggapnya sebagai sosok seorang ibu.

Rusnah Sajee, wanita yang mereka panggil 'Mak'.

(Rusnah Sajee, wanita yang mereka panggil 'Mak'.)

Selalunya, Mak Rus akan memberikan tunjuk ajar tentang membakar kuih seperti menguli doh dengan menggunakan tangan dan bukan pengadun elektrik.

Kegiatan membakar kuih menyatukan kesemua wanita itu yang datang daripada pelbagai latar belakang dan ia juga membawa manfaat kepada mereka. Wanita-wanita dari kawasan kejiranan rumah sewa dapat meraih pendapatan menerusi penjualan kuih-kuih musim perayaan dan projek tanggungjawab sosial korporat sebagai sebahagian daripada program dipanggil Bakers Beyond.

Kini memasuki tahun keenam, program tersebut bersedia untuk mendampingi lebih ramai wanita dan mungkin menyediakan 'rumah' kedua buat mereka seperti mana dilakukan sendiri oleh para pembakar kuih sedia ada.

KISAH AZIZAH

Dalam kes Azizah, beliau menyertai Bakers Beyond pada tahun 2015 setelah mengenali  Beyond Social Services iaitu badan amal di sebalik inisiatif tersebut. "Saya gemar membakar kuih tetapi tidak tahu bagaimana (untuk melakukannya). Saya bakar sembarangan sahaja."

Keadaan itu segera berubah apabila beliau menimba kemahiran baru dalam program tersebut, yang dikendalikan oleh relawan. Bahkan, Azizah juga menerima sokongan emosi memyusuli pergolakan dalam rumahtangganya.

Ketika itu, Azizah bukan saja merasakan dirinya lemah tetapi beliau juga dibelenggu kesulitan kewangan. Ibunya jatuh sakit maka beliau terpaksa berhenti kerja sebagai seorang tukang bungkus makanan di sebuah syarikat katering untuk menjadi pengasuh sepenuh masa.

Azizah membuat tat nenasnya dengan penuh tumpuan.

(Azizah membuat tat nanasnya dengan penuh tumpuan.)

Azizah hanya boleh bekerja sambilan sebagai seorang pencuci dan ini bermakna beliau tidak mempunyai wang yang mencukupi untuk menyara anak-anaknya. "Saya tidak mampu untuk membawa mereka keluar - makan di luar atau tengok wayang," ujarnya ketika mengimbas kembali.

Itulah perkara pertama yang diperbetulkannya ketika beliau mula memperolehi wang menerusi Bakers Beyond. Sekiranya terdapat pesanan untuk 100 hamper semasa Tahun Baru Cina, Hari Raya atau Deepavali, misalnya, Azizah boleh meraih sekitar S$600 hingga S$700.

Pada masa yang sama, jika Azizah inginkan ketenangan daripada keadaan huru-hara di rumahnya, beliau akan ke Bakers Beyond untuk meluangkan masa bersama kawan-kawan dan mendapatkan nasihat.

BERPINDAH-RANDAH

Bakers Beyond sudahpun menyediakan tempat berteduh dari rumah buat wanita-wanita seperti Azizah. Apabila program itu pertama kali dimulakan, bagaimanapun, mereka tidak mempunyai premis tetap dan terpaksa berpindah-randah dari satu dapur ke dapur yang lain.

Adakalanya wanita-wanita itu beroperasi di perusahaan sosial Samsui Kitchen dan di Agape Village, sebuah hab khidmat sosial di Toa Payoh, bergantung kepada ketersediaan ruang-ruang tersebut.

Ini bererti, kadang-kala, mereka membakar kuih di Samsui Ktichen dari 10.00 pagi hingga 2.00 petang sebelum perlu mengemaskan barang dan bergegas ke Agape Village untuk meneruskan kerja dari 3.00 petang hingga 7.00 malam.

Ada masanya juga mereka terpaksa berlatih di pejabat utama Beyond Social Services di Jalan Klinik di mana ruang untuk membakar kuih kecil sahaja.

TEMPAT TIMBA PELBAGAI KEMAHIRAN

Wanita-wanita itu menimba kemahiran daripada satu sama lain, para relawan dan juga pemudahcara pelbagai resipi.

Mereka menerima tempahan kuih melalui Beyond Social Services namun menguruskan sendiri hal berkaitan perniagaan seperti mewujudkan sistem ganjaran bagi peranan berbeza yang digalas oleh setiap anggota pasukan.

Wanita-wanita itu juga boleh menyimpan semua hasil penjualan yang diraih namun mereka menyumbangkan sekitar S$60 sehari kepada badan amal tersebut bagi penggunaan kemudahan dan juga ruang berkenaan.

Itulah jumlah yang dikenakan sebelum ruang latihan Bakers Beyond dibuka rasmi bulan lalu dengan bantuan penaja seperti Mapletree Investments, Cargill TSF Asia dan Majlis Ugama Islam Singapura (MUIS).

Ruang itu dahulunya adalah bilik stor Beyond Social Services. Setelah kerja-kerja ubah suai, ia kini dilengkapi dengan ketuhar konveksi, pengadun kek elektrik dan peralatan komersil lain.

"Wanita-wanita ini mempunyai impian," kata T Ranganayaki, Timbalan Pengarah Eksekutif badan amal tersebut. "Mereka mahukan sebuah ruang sendiri di mana mereka boleh saling berkongsi kejayaan dengan wanita-wanita lain."

Sekarang ini, terdapat lapan hingga 10 wanita di bawah program berkenaan dengan yang paling muda berusia 40 tahun. Namun, Cik Ranganayaki beraharap ruang latihan itu akan menjadi tempat di mana lebih ramai anggota masyarakat boleh belajar bukan sahaja membakar kuih malah juga kemahiran lain seperti menjahit.

Azizah ingin mempertingkat diri dan "menjadi yang terbaik", katanya bersemangat.

(Azizah ingin mempertingkat diri dan "menjadi yang terbaik", katanya bersemangat.)

Latihan perniagaan turut ditawarkan, sesuatu yang diminati Cik Azizah yang mempunyai impian untuk membuka kedainya sendiri.  

Sumber : CNA/FZ/fz
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan