Skip to main content

Iklan

Iklan

Gaya Hidup

Ibu bapa guna telefon bjiak terlalu lama buat anak semakin nakal, menurut kajian

Kegunaan telefon bijak secara berlebihan di kalangan ibu bapa dikaitkan dengan meningkatnya masalah tingkah laku kanak-kanak, menurut satu kajian baru.

Anggaran Waktu Membaca:
Ibu bapa guna telefon bjiak terlalu lama buat anak semakin nakal, menurut kajian

Gambar fail seorang menggunakan telefon bimbit. (Gambar: Xabryna Kek)

Diterbitkan : 09 Nov 2018 12:30AM Dikemas Kini : 09 Nov 2018 12:35AM

UNITED KINGDOM: Kegunaan telefon bijak secara berlebihan di kalangan ibu bapa dikaitkan dengan meningkatnya masalah tingkah laku kanak-kanak, menurut satu kajian baru.

Kajian yang dilakukan sepasukan pengkaji dari Illinois State University dan University of Michigan Medical School melibatkan hampir 200 keluarga dan dilaporkan laman The Telegraph. Ia mendapati kanak-kanak yang ibu bapanya ketagih telefon bijak lebih berkemungkinan mempunyai masalah tingkah laku.

RAMAI IBU BAPA 'KETAGIH' TELEFON

40 peratus ibu dan 32 peratus bapa mengaku ketagih telefon bijak mereka. Antara ciri-ciri ketagihan adalah tidak dapat mengawal tabiat melihat telefon untuk membaca mesej, sentiasa menunggu panggilan atau mesej seterusnya, atau menggunakan telefon telalu kerap.

Ini mengakibatkan suatu fenomena yang disebut oleh para pengkaji sebagai "gangguan teknologi" dalam hubungan antara mereka dan anak-anak, yang mana pergaulan mereka semasa berbual, makan atau bermain bersama diganggu alat digital atau mudah alih.

Menurut The Telegraph, para pengkaji juga mendapati masalah tingkah laku di kalangan kanak-kanak lebih berhubung kait dengan tabiat penggunaan telefon ibu mereka berbanding tabiat si bapa. Ini berkemungkinan kerana anak-anak meluangkan lebih masa dengan ibu yang kurang komitmen kerja.

LEBIH LAMA IBU BAPA DI TELEFON, LEBIH NAKAL SI ANAK

Tambahan pula, kajian itu mendapati kekerapan gangguan teknologi dalam pergaulan berhubung rapat dengan masalah kelakuan anak-anak. Antara masalah kelakuan termasuk merajuk, merungut, terlalu sensitif, membuat perangai dan lekas marah.

Semasa ditemu bual, para ibu bapa memberitahu pasukan pengkaji bahawa mereka menghadapi cabaran membahagikan perhatian antara anak-anak dengan alat bijak mereka. Ini membuat mereka lebih sukar untuk mengamati tanda-tanda yang ditunjukkan anak-anak mereka dan menangani perangai mereka.

Menurut Dr Jenny Radesky dari Universiti Michigan, berkemungkinan ibu bapa menggunakan teknologi sebagai cara mengatasi tekanan menguruskan anak-anak.

"Dalam temu bual kualitatif, ramai ibu yang merupakan suri rumah sepenuh masa mengaku menggunakan teknologi digital sebagai cara untuk melepaskan diri daripada rasa bosan atau tekanan menjaga anak, atau cara menangani emosi sendiri," kata beliau seperti ditukil The Telegraph.

PEMBANGUNAN, PRESTASI SEKOLAH ANAK TERJEJAS

Para pemimpin kesihatan di Manchester, United Kingdom juga mengatakan pembangunan pertuturan dan penguasaan bahasa di kalangan kanak-kanak turut terjejas akibat ibu bapa meluangkan terlalu banyak masa menggunakan telefon atau mendengar lagu.

Kajian yang dijalankan oleh Kesatuan Kebangsaan Ketua Guru (NAHT) mendapati hampir separuh (47 peratus) ketua guru mengenalpasti kelemahan percakapan, bahasa dan kemahiran komunikasi sebagai antara cabaran yang paling kerap dihadapi kanak-kanak yang mula bersekolah.

Kajian juga menunjukkan kanak-kanak pada usia 17 bulan mempunyai penguasaan kosa kata yang lebih terhad jika televisyen di rumah mereka sentiasa terpasang apabila mereka bermain dengan ibu mereka.

Kajian juga mendapati apabila ibu bapa membiarkan telefon mereka mengganggu mereka semasa mengajar anak-anak, keupayaan anak memberi perhatian merosot sebanyak 20 peratus.

Sumber : Agensi berita/TQ/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan