Images
  • furama wfh main
    Hotel Furama Riverfront. (furamasingapora/Instagram)

Hotel ubah strategi tawar pakej untuk yang mahu tukar angin selepas lama kerja dari rumah

SINGAPURA: Istilah WFH atau singkatan bagi bekerja dari rumah kini sebati dalam kehidupan harian sehingga menjadi satu norma baru sejak pandemik COVID-19.

Namun, sudahkah anda bosan bekerja dari rumah kerana pelbagai faktor yang mengganggu ketenteraman?

Jika anda sanggup bayar untuk mendapatkan ketenangan itu, ada beberapa hotel di sini yang boleh menawarkan suasana nyaman lagi selesa agar anda boleh memberikan tumpuan sepenuhnya ketika bertugas.

Berikut adalah dua tawaran hotel yang dimampui untuk dipertimbangkan:

FURAMA RIVERFRONT

Pas bekerja dari hotel di Furama Riverfront bermula dari S$15 sehari tetapi sila ambil maklum ia memberi akses kepada ruang awam sahaja dan bukannya dalam privasi bilik tetamu.

Dengan pas itu, anda boleh melakukan tugasan di ruang bekerja yang dikongsi sama ada di Waterfall Lounge ataupun lobi hotel.


Bukan itu sahaja, anda juga boleh menikmati kopi, teh, jus atau minuman berkarbonat tanpa had sepanjang bekerja. Bahkan, pakej itu juga termasuk tempat letak kenderaan percuma, kredit makanan dan minuman (F&B) sebanyak S$10 serta diskaun 10 peratus bagi perbelanjaan F&B di hotel berkenaan.

Lebih berbaloi lagi, hotel itu juga menawarkan wi-fi percuma dan khidmat meja tetamu yang akan membantu anda dengan penghantaran atau pencetakan di samping penggunaan ruang mesyuarat sekiranya perlu.


Bagi ibu bapa dengan kanak-kanak kecil pula, anda boleh meletakkan mereka di Waka Waka iaitu sebuah kemudahan permainan tertutup sementara anda menyelesaikan tugasan. Kadar bayaran untuk menggunakan kemudahan permainan itu bermula dari S$18 pada hari biasa dan ia perlu ditempah lebih awal secara online.

Anda juga boleh mendapatkan pas bekerja dari hotel secara bulanan pada harga S$250 yang, antara lain, menawarkan kredit F&B S$200 dan diskaun 20 peratus.

Pas WFH itu boleh digunakan dari 9.00 pagi hingga 10.30 malam dengan sebarang pesanan makanan atau minuman yang terakhir perlu dibuat selewat-lewatnya jam 10.00 malam.

Setelah membeli pas itu secara online, anda perlu pergi ke Waterfall Lounge untuk membuat pertukaran pas.

HOTEL G


Ini khas untuk anda yang mendambakan lebih privasi namun, harganya tentu lebih mahal.

Tawaran WFH di Hotel G termasuk penggunaan sebuah bilik tetamu. Dari harga S$90++, anda mendapat akses kepada sebuah bilik tetamu dari 7.00 pagi hingga 7.00 malam pada hari biasa, tempat meletak kenderaan percuma dan khidmat wi-fi. Namun, anda tidak boleh berkongsi bilik dengan pengguna lain kerana ia terhad kepada satu tetamu sahaja bagi satu bilik.

Pakej itu juga menawarkan minuman kopi, teh serta jus selain kotak kudapan pada sebelah pagi dan petang sepanjang hari.

Andai kata anda sudah terlalu penat bekerja atau mahu meluangkan lebih masa bersendirian, tokok sahaja S$50++ untuk bermalam di hotel itu, yang termasuk sarapan pada keesokan pagi. 

- TODAYonline/FZ/fz

Top