Skip to main content

Iklan

Iklan

Gaya Hidup

Hotel berstatus 5 bintang tidak semestinya jamin pengalaman memuaskan

Status lima bintang yang dimiliki sesebuah hotel bukan jaminan premis itu mampu memberikan pengalaman terbaik kepada pelancong.

Anggaran Waktu Membaca:
Hotel berstatus 5 bintang tidak semestinya jamin pengalaman memuaskan

(Gambar: Hotel Malaysia/Facebook)

Diterbitkan : 06 Jul 2019 10:34PM Dikemas Kini : 06 Jul 2019 10:56PM

IPOH: Status lima bintang yang dimiliki sesebuah hotel bukan jaminan premis itu mampu memberikan pengalaman terbaik kepada pelancong. Juga tidak semestinya mendapat penilaian tertinggi dalam 'TripAdvisor' yakni sebuah portal pelancongan terbesar di dunia.

Menurut Timbalan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia Muhammad Bakhtiar Wan Chik, untuk memberikan pengalaman terbaik kepada pelancong, sebuah hotel tidak lagi boleh hanya tertumpu kepada perkhidmatan bilik serta makanan.

Sebaliknya, kata beliau, setiap hotel perlu memastikan kakitangan mereka mempunyai ilmu pengetahuan mendalam mengenai daya tarikan di kawasan sekitar atau negeri berkenaan untuk dikongsikan bersama para pelancong yang kini mementingkan pengalaman.

"Jangan anggap anda lima bintang, maka akan dapat ulasan baik dalam TripAdvisor kerana ada hotel yang tiga, empat bintang tapi dapat ulasan dan rating lagi ok.

"Pergi melampaui daripada bilik, jangan fokus kepada hotel saja. Tinjau keadaan sekeliling. Jangan minta tetamu makan dalam hotel tapi beritahu mereka tempat menarik," kata Encik Muhammad Bakhtiar kepada pemberita selepas merasmikan Seminar Peluang Perniagaan Pelancongan Perak di sebuah hotel di Ipoh pada Sabtu (6 Jul).

Seminar sehari itu, yang disertai penggiat dan pemain industri pelancongan tempatan, antara lain bertujuan memberi penerangan mengenai khidmat pembiayaan perniagaan selain perundingan teknikal.

Awal dari itu, dalam ucapannya, Encik Muhammad Bakhtiar berkata kakitangan hotel merupakan duta pelancongan negara kerana mereka antara individu yang berdepan dengan para pelancong tidak kira sama ada asing mahupun domestik.

"Kadang-kadang ada pekerja tengok kita, dia sebolehnya nak mengelak, tiada bertentang mata, tidak menegur sapa pelancong," ujar beliau.

Menyentuh tentang Perak, Encik Muhammad Bakhtiar berkata negeri itu mempunyai banyak tempat daya tarikan yang membolehkan ia menjadi tumpuan pelancong baik dalam atau luar negara.

Beliau memberi contoh antara daya tarikan di negeri itu termasuk Lenggong, yang mempunyai Bukit Bunuh iaitu tempat sebuah meteorit terhempas pada 1.83 juta tahun dahulu, dan Perak Man yakni rangka manusia lelaki tertua yang pernah ditemui di Malaysia dan paling lengkap di Asia Tenggara. 

Sumber : Bernama/FZ/fz
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan