Skip to main content

Iklan

Iklan

Gaya Hidup

Hilang deria bau: akibat usia meningkat, gejala COVID-19 atau...?

Kehilangan deria bau baru-baru ini  dikaitkan dengan COVID-19. Namun ia sebenarnya boleh berpunca dari pelbagai sebab lain.

Anggaran Waktu Membaca:
Hilang deria bau: akibat usia meningkat, gejala COVID-19 atau...?

(Gambar: Battlecreek Coffee Roasters/Unsplash)

Diterbitkan : 13 Jul 2020 11:10PM Dikemas Kini : 13 Jul 2020 11:12PM

SINGAPURA: Kehilangan deria bau baru-baru ini dikaitkan dengan COVID-19. Namun ia sebenarnya boleh berpunca dari pelbagai sebab lain.

Menurut konsultan kanan pakar telinga, hidung dan tekak dari Hospital Besar Singapura Dr Neville Teo, antara punca lain termasuk "jangkitan virus, penyakit yang mengganggu hidung dan resdung" serta "kecederaan kepala dan gangguan saraf".

Walaupun tiada data khas bagi Singapura, Dr Teo berkata anosmia (hilang langsung deria bau) dan hyposmia (gangguan deria bau) dianggar menjejas tiga peratus hingga 20 peratus penduduk di sini.

HUBUNGANNYA DENGAN COVID-19

Menurut Dr Teo, selain anosmia, COVID-19 juga dapat menimbulkan hiposmia atau mengubah deria bau.

"Perubahan deria bau menyebabkan seseorang terhidu sesuatu yang sebenarnya tidak wujud, seperti bau terbakar apabila tiada benda berdekatan yang terbakar," kata beliau.

Dr Nate Favini, ketua perubatan Forward, firma jagaan kesihatan pencegahan di Amerika Syarikat, berkata jika simptom seseorang itu hanya kehilangan deria bau, berkemungkinan besar ia bukan COVID-19.

Selain itu, demam selesema juga dapat menyebabkan hilang deria bau dalam 30 peratus pesakit, katanya kepada Healthline. "Ini adalah gejala biasa bagi virus pernafasan dan tidak khusus untuk COVID-19."

Dalam pada itu, satu kajian oleh Universiti San Diego mendapati anda 10 kali ganda lebih mungkin dijangkiti COVID-19 jika hilang kedua-dua deria bau dan rasa.

Di Singapura, pihak berkuasa mengenal pasti kehilangan deria rasa atau bau sebagai salah satu gejala COVID-19.

MENGAPA USIA MENJEJAS DERIA BAU ANDA?

Sebenarnya, penuaan juga ada kaitan dengan anosmia. Lebih meningkat usia anda, lebih tinggi kemungkinan anda akan hilang deria bau. Ini juga mungkin sebabnya orang yang lebih berusia tidak dapat merasa makanan dengan baik.

Terdapat beberapa sebab mengapa ini berlaku. "Perubahan pada cecair dalam hidung, lapisan hidung dan kurang ruang rongga bagi hingus berlaku dengan meningkatnya usia," jelas Dr Teo. "Pengurangan saiz dan jumlah reseptor bau di hidung dan otak dengan meningkatnya usia juga menyumbang kepada peningkatan kejadian (anosmia)."

Tambahan pula, kemungkinan tinggi warga senja lebih cenderung makan ubat kawalan tekanan darah. Ubat-ubatan seperti ini dapat mengubah deria rasa dan bau anda, kata Dr Teo.

Ubat antibiotik dan kemoterapi mungkin juga mempunyai kesan yang sama.

HILANG DERIA BAU: BOLEHKAH IA PULIH?

Itu bergantung kepada punca pesakit hilang deria bau. Sekiranya ia berlaku akibat jangkitan (seperti alahan atau resdung), trauma atau sebab lain, keupayaan seseorang untuk dapat mengembalikan deria bau boleh dirawat, kata Dr Teo.

Namun berbeza jika urat saraf bau rosak atau cedera, yang boleh berlaku akibat trauma kepala, ketumbuhan, pembedahan atau malah jangkitan virus, katanya. "Kehilangan deria bau biasanya kekal dan tidak dapat dipulihkan."

Kadang-kadang, steroid boleh digunakan untuk membantu memulihkan deria bau apabila tidak ada sebab khusus di sebalik kehilangan bau dan rasa, kata Dr Teo. Namun hasilnya mungkin tidak begitu berkesan.

Menurut Profesor Thomas Hummel, pakar telinga, hidung dan tekak di Universiti of Dresden di Jerman, deria bau boleh dilatih dengan pendedahan kerap pada satu-satu wangian atau bau. Dalam temu bual dengan BBC, Prof Hummel berkata empat jenis bau digunakan: Mawar, kayu putih, cengkih dan lemon, yang dihidu selama 20 saat, dua kali sehari.

Prof Hummel mendapati bahawa 45 peratus pesakit anosmia bertambah baik dengan latihan tersebut. Tanpa latihan, hanya 22 peratus yang dapat mencium bau lagi.

Sumber : CNA/TQ/fz
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan