Skip to main content

Iklan

Iklan

Gaya Hidup

Hidup berdikari, pekerjaan antara tumpuan pelan induk pertama bagi autisme

Pelan induk pertama Singapura untuk individu pada spektrum autisme didedahkan pada Isnin (29 Mac).

Anggaran Waktu Membaca:
Hidup berdikari, pekerjaan antara tumpuan pelan induk pertama bagi autisme

(Gambar: Ang Hwee Min)

Diterbitkan : 29 Mar 2021 11:26PM Dikemas Kini : 29 Mar 2021 11:40PM

SINGAPURA: Pelan induk pertama Singapura untuk individu pada spektrum autisme didedahkan pada Isnin (29 Mac).

Ia akan mengusulkan saranan-saranan untuk hidup berdikari, termasuk perumahan, pekerjaan dan kehidupan setelah penjaga mereka meninggal dunia.

Pelan induk itu berfungsi sebagai hala tuju untuk membantu para penyedia khidmat autisme membangunkan khidmat-khidmat bagi para individu yang tergolong dalam spektrum itu dan membolehkan mereka untuk menjalani kehidupan yang berkualiti, menurut Pusat Sumber Autisme (ARC) dalam kenyataan medianya.

Ia mengandungi 14 saranan, yang merangkumi tahun-tahun awal seseorang sehingga usia dewasa, khususnya dalam kehidupan, pembelajaran dan pekerjaan.

Lebih 500 orang, termasuk para karyawan dan keluarga, menyumbang kepada pelan induk tersebut, menurut ARC.

Semasa berucap di majlis pelancarannya, Presiden ARC, Cik Denise Phua berkata bahawa pelan induk itu juga bermatlamat untuk menggalak para penyedia khidmat autisme supaya berganding bahu bagi menjadikan usaha "lebih terselaras" dan memastikan "perkara-perkara baik yang dilakukan dalam setiap kumpulan sebenarnya boleh dipertingkatkan lagi".

KEPERLUAN BERBEZA BAGI SETIAP GOLONGAN KURANG UPAYA

Menyentuh tentang Pelan Induk Pemerkasaan yang dilakarkan oleh Pemerintah, Cik Phua berpendapat bahawa walaupun penting, rancangan peringkat nasional terlalu berbentuk "umum" dan "tidak khusus kepada golongan kurang upaya tertentu".

Keperluan setiap golongan kurang upaya adalah berbeza, tegasnya.

"Maka itu, penting untuk kita menelitinya dengan lebih mendalam supaya kita dapat melakar program yang berupaya menambah nilai program dan rancangan yang khusus bagi setiap golongan kurang upaya," tambahnya.

Setiap edisi Pelan Induk Pemerkasaan menetapkan hala tuju bagi tempoh selama lima tahun. Pelan yang ada sekarang dijangka berakhir pada 2021.

Oleh kerana Pemerintah sedang meneliti semula Pelan Induk Pemerkasaan yang ada sekarang, ARC sudah meminta Pemerintah untuk menimbangkan pelan induknya bagi autisme, menurut Cik Phua.

Pelan induk itu sudahpun diserahkan kepada Pemerintah, dedahnya lagi.

Sumber : CNA/NA/na
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan