Skip to main content

Iklan

Iklan

Gaya Hidup

Hayati suasana kampung terakhir di S'pura dalam lawatan 2 jam ini

Anda teringin mengimbas kembali zaman hidup di kampung atau mahu membawa anak-anak serta cucu-cicit merasai pengalamannya sendiri?

Anggaran Waktu Membaca:
Hayati suasana kampung terakhir di S'pura dalam lawatan 2 jam ini

Sebuah rumah di Kampung Buangkok. (Gambar: TODAY)

Diterbitkan : 11 Sep 2020 08:13PM Dikemas Kini : 11 Sep 2020 08:18PM

SINGAPURA: Anda teringin mengimbas kembali zaman hidup di kampung atau mahu membawa anak-anak serta cucu-cicit merasai pengalamannya sendiri?

Sebuah syarikat pelancongan tempatan, Let’s Go Tour Singapore, kini menyediakan lawatan berpandu ke Kampong Buangkok - salah satu tempat tersembunyi yang menarik di Singapura.

Dalam masa dua jam, anda dapat mempelajari tentang kehidupan penduduk kampung, menyusuri sejarah kawasan tersebut dan bahkan juga berpeluang untuk mengunjungi rumah 'penghulu kampung'.

Kumpulan bagi lawatan privet 'Kampong Experience' itu dihadkan kepada saiz yang kecil bagi membendung penularan lanjut COVID-19. Harganya bermula dari S$200 untuk sebuah kumpulan sehingga tiga peserta. Ia sebahagian daripada siri 20 lawatan 'Let’s Go Tour Singapore’ yang baru dilancarkan khas buat penduduk setempat.

Kampung Buangkok terceruk di Yio Chu Kang Road, dengan dikelilingi sebuah Penghubung Taman dan flat-flat Bina Ikut Tempahan (BTO) yang dibina pada 2015.

Kampung Buangkok di Yio Chu Kang Road. (Gambar: TODAY)

Sebaik sahaja anda memasuki sebuah lorong kecil dari jalan raya utama yang menghala ke kampung itu, hiruk-pikuk keadaan lalu lintas terus digantikan dengan kokokan ayam dan kicauan burung. Dalam sekelip mata sahaja, anda seolah-olah dibawa ke era 1960-an.

Sebenarnya, anda boleh datang sendiri ke Kampong Buangkok untuk bersiar-siar di kawasan umumnya namun anda tidak akan dibenarkan untuk memasuki mana-mana rumah di sana sekalipun untuk memetik gambar bagi menghiasi ruang Instagram anda.

Perkara itu, bagaimanapun, pernah berlaku dan ia dianggap sebagai satu pencerobohan.

Namun, lain keadaannya apabila anda mengikut sebuah lawatan berpandu. Selain dapat menyelami sejarah perkampungan yang berbeza di Singapura, lawatan tersebut juga termasuk satu kunjungan ke rumah tauke kampung, Cik Sng Mui Hong, yang merupakan pemilik tanah seluas 1.22 hektar itu. Tentu sekali, dengan izin beliau.

Tanah Kampung Buangkok seluas 1.22 hektar milik Cik Sng Mui Hong. (Gambar: TODAY)

(Tanah Kampung Buangkok seluas 1.22 hektar milik Cik Sng Mui Hong. Gambar: TODAY)

Atur cara lawatan tersebut mesra keluarga dan mencedok inspirasi daripada buku-buku teks pembelajaran sosial.

Untuk pengalaman yang lebih autentik, anda boleh beramah mesra sendiri dengan para penduduk kampung di sana untuk mengetahui lebih lanjut tentang cara kehidupan mereka di tengah-tengah pembangunan pesat bandar sekeliling.

Salah seorang penduduk Kampung Buangkok, Encik Nassim. (Gambar: TODAY)

(Salah seorang penduduk Kampung Buangkok, Encik Nassim. Gambar: TODAY)

Anda juga boleh mempelajari tentang flora dan fauna dengan melangkah masuk ke halaman belakang rumah Encik Nassim di mana beliau menanam daun kari, daun sirih dan juga pokok pisang selama berdekad-dekad. Jika anda berani, beliau juga akan membenarkan anda memanjat pokok kelapa sebagaimana dilakukannya semasa zaman kanak-kanak.

Akhir sekali, tidak lengkaplah sebuah lawatan ke kampung tanpa bermain permainan tradisional yang sinonim dengan kehidupan di sana - seperti batu seremban, guli dan yeh-yeh. Bagi golongan ibu bapa, ini mungkin satu kegiatan bermanfaat yang bukan sahaja mengeratkan hubungan kekeluargaan malah juga mengurangkan masa yang diluangkan anak-anak anda di skrin. 

Kanak-kanak bermain permainan tradisional yeh-yeh di Kampung Buangkok. (Gambar: TODAY)

Untuk lebih banyak maklumat mengenai 'Kampong Experience' di bawah 'Let’s Go Tour Singapore', layari https://www.letsgotoursingapore.com/

Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan