Skip to main content

Iklan

Iklan

Gaya Hidup

Hasbi qari cilik S’pura 7 kali juarai tilawah Quran; pernah harumkan nama S’pura di Qatar

Usia Hasbi baru tujuh tahun semasa dia mengalunkan ayat-ayat suci daripada surah Al-A’la dengan suara yang lembut dan mendayu-dayu.

Anggaran Waktu Membaca:
Hasbi qari cilik S’pura 7 kali juarai tilawah Quran; pernah harumkan nama S’pura di Qatar

Qari cilik, Hasbi Hanuar. (Gambar-gambar: BERITAmediacorp/Nurulkhasanah Agost)

BERITAmediacorp: Usia Hasbi baru tujuh tahun semasa dia mengalunkan ayat-ayat suci daripada surah Al-A’la dengan suara yang lembut dan mendayu-dayu. Malah dia sudah pandai meniru-niru gaya bacaan imam-imam terkemuka kegemarannya, seperti Sheikh Mishary Rashid Al Afasy dan Sheikh Saad Al Ghamdi.

Ini membuatkan ibu bapanya, Encik Hanuar Hussain dan Cik Habibah Hazan sedar bahawa anak kedua mereka itu berbakat besar dalam ‘tarannum’ atau membacakan ayat-ayat suci al-Quran dengan tajwid serta ‘lagu’ yang betul.

Sejak itu, pasangan tersebut giat memastikan kebolehan anak mereka digilap sebaiknya. Kini bakat Hasbi begitu konsisten dan menonjol, dan mungkin inilah wajah bakal Qari Singapura di peringkat antarabangsa pada masa depan.

Qari cilik, Hasbi Hanuar. (Gambar-gambar: BERITAmediacorp/Nurulkhasanah Agost)

Manakan tidak, sejak berusia sembilan tahun (Darjah 3), Hasbi sudah menyertai kira-kira 16 pertandingan tilawah dan menghafaz al-Quran dan BERITAmediacorp diberitahu, dia menjadi juara sebanyak tujuh kali.

SATU-SATU WAKIL S’PURA DIPILIH SERTAI PERTANDINGAN ANTARABANGSA

Tahun ini pula, Hasbi yang mencecah usia 11 tahun, mengharumkan nama Singapura dengan menduduki tempat keempat dalam pertandingan tilawah al-Quran peringkat antarabangsa di Qatar - Tijan Annour. Dia merupakan peserta pertama dan satu-satunya dari Singapura yang berjaya dipilih daripada lebih 1,000 video penyertaan yang diterima pihak penganjur daripada seluruh dunia.

“Memang rezeki dialah, pertama kali daripada Singapura. Keseluruhan 51 orang sahaja yang dapat masuk. Ada dari Maghribi, Qatar, Indonesia, Malaysia. Daripada Malaysia lapan orang, Indonesia dua orang, Singapura seorang saja,” kata Encik Hanuar, yang bertugas sebagai pemandu Grab.

Ibu bapa Hasbi berkongsi kepada BERITAmediacorp bahawa qari cilik itu gemar mendengar ayat-ayat suci al-Quran semasa di prasekolah lagi.

“Dari situ, dia belajar dan perlahan-lahan bila bapanya baca al-Quran, dia juga mendengar. Semasa di Darjah 1, Hasbi membaca surah Al-A’la. Ia bahagian akhir Juz Amma jadi agak susah juga. Abangnya Haziq pun waktu itu belum dapat baca surah yang sama.

“Bila Hasbi baca surah itu ketika solat maghrib, saya rakam dan hantarkan kepada ustazahnya dan diberitahu bahawa Hasbi ada potensi,” cerita Cik Habibah mengenai anaknya, yang kini seorang pelajar Darjah 5 di Madrasah Irsyad Zuhri Al-Islamiah.

ABANG ADIK LUMBA-LUMBA BAIKI BACAAN

Yang jelas, salah seorang pengaruh Hasbi adalah abangnya sendiri. Anak sulung Encik Hanuar dan Cik Habibah yang bernama Haziq itu juga berbakat dalam melagukan ayat-ayat al-Quran.

Sebenarnya Hasbi anak yang cepat belajar menerusi pendengaran. Dia mula ‘menangkap’ cara membaca menggunakan kaedah tarannum semasa abangnya berlatih.

Hasbi akan ‘khusyuk’ mendengar dan menghayatinya, serta kemudian dapat membaca dengan alunan asas tarannum walaupun belum lagi menghadiri sebarang kelas tarannum al-Quran. Dia hanya mula mempelajari asas tarannum secara rasmi semasa berusia lewat lapan tahun.

Hasbi bersama abangnya Haziq. (Gambar-gambar: BERITAmediacorp/Nurulkhasanah Agost)

Hasbi bersama abangnya, Haziq.

Menariknya, minat Hasbi dan abangnya Haziq terhadap al-Quran membuat mereka saling berlumba-lumba antara satu sama lain untuk terus memperbaiki mutu bacaan mereka.

“Selalu berlumba-lumba dengan abang dia dalam hafalan dan tilawah. Sama-sama masuk pertandingan. Dua-dua masuk sebab waktu itu abangnya di bawah kategori kanak-kanak cilik. Jadi adik masuk sekali.

“Tahun lepas (2018) MUIS punya tilawah, abangnya naib johan, adiknya johan. Hafalan pun dia johan, abang dia naib johan,” cerita Cik Habibah lagi.

Tahun ini, Hasbi sekali lagi menyertai pertandingan tilawah al-Quran peringkat kebangsaan yang dianjurkan MUIS. Dia berjaya melayakkan diri ke peringkat akhir yang akan berlangsung pada Sabtu ini (17 Ogos).

Qari cilik, Hasbi Hanuar. (Gambar-gambar: BERITAmediacorp/Nurulkhasanah Agost)

BAGAIMANA ANAKNYA MAHIR AL-QURAN? INI JAWAPAN IBU BAPANYA…

Apabila ditanya BERITAmediacorp sama ada Cik Habibah ada melakukan amalan-amalan tertentu semasa hamil sehingga anak-anaknya berbakat sedemikian rupa, beliau tertawa kecil. Cik Habibah berkata beliau tidak pernah terbayang bahawa anak-anaknya akan menjadi insan-insan yang dapat membaca al-Quran dengan begitu baik seperti sekarang.

Namun, mungkin niat dan doanya sebagai seorang ibu diangkat sehingga anak-anaknya dikurniakan kebolehan itu.

“Masa saya hamil, saya gemar menonton tilawah al-Quran yang ditayangkan dari Kuala Lumpur. Malah, sejak muda lagi saya gemar menonton rancangan itu. Mungkin dalam hati, ada saya pasang niat. Kalau bukan saya, mungkin zuriat atau keturunan saya dapat membaca al-Quran,” ujar beliau yang bertugas sebagai pegawai tiket penerbangan SIA.

Hasbi bersama ibunya, Cik Habibah. (Gambar-gambar: BERITAmediacorp/Nurulkhasanah Agost)

Hasbi bersama ibunya, Cik Habibah.

Suaminya Encik Hanuar pula memberitahu BERITAmediacorp, sejak kedua-dua anaknya bayi lagi, pasangan itu lazim memainkan CD al-Quran dan selawat. Hasbi dan abangnya juga tidak mendengar muzik dan sejak dua tiga tahun yang lalu, mereka tidak lagi menonton televisyen di rumah.

Meskipun, Hasbi kelihatan seperti seorang anak luar biasa dengan kelebihannya bertarannum, dia sebenarnya seperti kanak-kanak lain yang sebaya. Encik Hanuar mendedahkan, Hasbi juga gemar makanan Korea yang pedas seperti Samyang!

“Masih seperti kanak-kanak lain. Dia pun main bola, main ‘game’. Tapi ada hadnya. Waktu ngaji, mesti ngaji. Makan pun tak ada pantang. Hasbi suka makan makanan segera. Suka makanan Korea, Samyang yang pedas,” cerita Encik Hanuar lagi.

AMALKAN RUTIN BACA QURAN SETIAP HARI

Sekalipun demikian, demi memastikan mutu bacaan terus dijaga, Hasbi dan abangnya mengamalkan rutin dan disiplin tertentu - iaitu membaca al-Quran setiap hari selepas waktu solat maghrib sehingga masuk waktu solat Isya’.

Ini selain daripada mengikuti kelas-kelas bacaan dan hafalan al-Quran setiap hujung minggu.

“Balik sekolah biasanya mandi, makan, solat, buat kerja sekolah. Kemudian bapanya akan berikan masa sejam dua untuk dia bermain. Selepas waktu maghrib, mereka mengaji dan menderas dan ulang kaji pelajaran sedikit. Dalam pukul 9.30 malam selepas waktu solat ‘Isya’ mereka tidur, kata Cik Habibah.

“Antara maghrib dengan isya’ memang kami duduk sekeluarga membaca al-Quran. Lebih-lebih lagi dalam bulan Ramadan. Kami bergilir-ganti membaca. Kita tegurkanlah. Kalau saya baca salah pun tak apa, tegurkan juga. Sama-sama belajar,” tambah Encik Hanuar pula.

Hasbi bersama keluarga. (Gambar-gambar: BERITAmediacorp/Nurulkhasanah Agost)

Hasbi sekeluarga.

Sebagai seorang qari cilik, apa agaknya ‘lagu-lagu’ tarannum yang digemari Hasbi? Ini jawapan kanak-kanak tersebut: “Selalu kalau baca taranum lagu dia macam Bayati, Hijaz, Nahwand sedap. Saya suka Nahwand. Berlatih selalu dengan ibu ayah.”

Untuk membaca al-Quran menerusi tarannum, terdapat tujuh jenis lagu, iaitu Bayyati, Soba, Hijaz, Nahwand, Rast, Sikah dan Jiharkah.

“Kami baca hari-hari. Cuma lagu tak sedaplah. Kalau bab lagu, kami (ibu bapa) kalahlah,” seloroh Encik Hanuar.

Encik Hanuar menambah, beliau percaya bahawa istiqamah atau melakukan sesuatu secara terus menerus amat penting untuk berjaya dalam sesuatu perkara. Ibu bapa juga katanya, harus menjadikan diri mereka sebagai contoh terbaik.

“Sebagai bapa, kalau boleh kita nak Haziq dan Hasbi teruskan istiqamah. Macam saya cakap bukan setakat dia, kita ibu bapa juga harus tunjukkan contoh, istiqamah terus. Mudah-mudahan kita doakan cita-cita dia dah besar nak menjadi guru Quran. Mungkin ayah ibu tak jadi, mungkin dia yang insya Allah akan jadi. Sama-samalah kita doakan,” kata beliau lagi. 

LAPORAN LAIN: 

Sumber : BERITA Mediacorp/nk
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan