Skip to main content

Iklan

Iklan

Gaya Hidup

Hartinah Ahmad lancar buku terbaru 'Senja Merah' yang kupas peristiwa Wak Cantuk

Penulis mapan Hartinah Ahmad hari ini (6 Jun) melancarkan buku terbaru beliau yang berjudul "Senja Merah – Puisi Esei Kisah Wak Cantuk". Pelancaran tersebut dilakukan menerusi wadah Facebook Live petang tadi.

Anggaran Waktu Membaca:
Hartinah Ahmad lancar buku terbaru 'Senja Merah' yang kupas peristiwa Wak Cantuk

Kulit buku Senja Merah tulisan Hartinah Ahmad (Gambar: Lan Sinaganaga)

SINGAPURA: Penulis mapan Hartinah Ahmad hari ini (6 Jun) melancarkan buku terbaru beliau yang berjudul "Senja Merah – Puisi Esei Kisah Wak Cantuk". Pelancaran tersebut dilakukan menerusi wadah Facebook Live petang tadi.

Ini merupakan buku kedua tulisan Cik Hartinah sejak beliau terlibat dalam dunia penulisan lirik lagu, skrip drama televisyen dan puisi 50 tahun lalu.

Bagi buku ini, persoalan demi persoalan berlegar-legar di benak fikirannya selepas selesai membaca karya "Wak Cantuk : drama sebabak oleh sasterawan Abdul Ghani Hamid kira-kira 10 tahun lalu.

"Kisah itu berdasarkan novel oleh pengarang terkenal Harun Aminurrashid yang benar-benar terjadi di Singapura lebih 100 tahun lalu dan membuat saya ingin mengetahui kisah Wak Cantuk dengan lebih mendalam lagi," kata Cik Hartinah.

Menurut cerita lama, Wak Cantuk adalah seorang guru silat yang kebal dan tukang bekam yang sudah berusia lebih 70 tahun.

Dia dikatakan mengamuk dan membunuh 30 orang selepas cintanya kepada seorang anak gadis ditolak. Ia dikatakan berlaku sekitar tahun 1850-an di Kampung Intan (Baghdad Street) dan sekitar Arab Street dan Kampong Bali yang sekarang dikenali sebagai Bali Lane.

Cik Hartinah berkongsi bahawa pertemuannya dengan seorang pelukis jalanan, Azlan Mazlan, yang dikenali dengan nama Ceno2 dua tahun lalu mencetuskan lagi rasa ingin tahu itu.

"Dua tahun lalu, saya terlihat satu lukisan dinding wajah seorang lelaki tua di Haji Lane. Saya tertanya-tanya sama ada itu wajah Wak Cantuk yang sebenarnya dan berusaha menghubungi pelukisnya Azlan Mazlan atau Ceno2," kata penulis lirik tersohor itu yang pernah menyumbang lirik bagi penyanyi seperti Ramli Sarip, Ella, Lovehunters, Shima, J.Jay, Nash, Jamal Abdillah, Lefthanded dan Khatijah Ibrahim.

(Gambar: Hartinah Ahmad)

(Gambar ihsan: Hartinah Ahmad)

"Azlan memberitahu saya bahawa dia tidak pernah mendengar tentang kisah Wak Cantuk itu dan telah melukis potret itu mengikut nalurinya. Tetapi beliau berkongsi bahawa bulu romanya meremang pada kedua-dua malam beliau menyiapkan lukisan dinding itu!" kongsi Hartinah, pemenang Anugerah Pena Emas Majlis Seni Kebangsaan (NAC) bagi kategori puisi pada 2019.

Buku "Senja Merah – Puisi Esei Kisah Wak Cantuk" mengambil masa kira-kira dua tahun untuk disiapkan, dan mendapat sokongan dana penerbitan NAC.

Menurut Cik Hartinah, kajiannya berpandukan beberapa buku sebelum ini, keratan-keratan akhbar lama dan juga dari beberapa catatan di Facebook.

Tambahnya, hasil penyelidikannya itu, novel "Wak Cantuk oleh Harun Aminurrashid ditulis berdasarkan kisah sebenar yang dikongsi arwah nenek penulis itu yang pernah menetap di kawasan itu.

"Apa yang ingin saya tonjolkan menerusi buku puisi esei ini adalah mengenai sejarah tempat-tempat yang kita sering lalui kerana ramai yang tidak tahu ada cerita di sebaliknya."

"Memang cerita Wak Cantuk itu adalah sebuah kisah duka dan telah menjadi sejarah pahit. Tetapi kita tidak boleh melupakan sejarah lama dan pengajaran di sebaliknya. Terpulang kepada pembaca untuk menilai buruk baiknya," ujar Cik Hartinah.

Buku "Senja Merah – Puisi Esei Kisah Wak Cantuk" dijual pada harga S$25 senaskah.

Anda yang berminat untuk membelinya boleh menghubungi Cik Hartinah Ahmad menerusi tina [at] ombak.com.sg atau Ombak Scripthouse Production melalui Facebook. 

Sumber : BERITA Mediacorp/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan