Skip to main content

Iklan

Iklan

Gaya Hidup

Hari Serban di New York catat rekod dunia - 9,000 serban diikat dalam 8 jam!

Masyarakat Sikh di kota New York mencatat rekod baru dengan mengikat jumlah serban terbanyak dalam satu acara yang diadakan di Times Square kelmarin (7 Apr).

Anggaran Waktu Membaca:
Hari Serban di New York catat rekod dunia - 9,000 serban diikat dalam 8 jam!

Salah seorang pengunjung dipakai serban. (Gambar: Bhupinder Sahni/ Facebook)

Diterbitkan : 09 Apr 2018 06:32PM Dikemas Kini : 09 Apr 2018 06:38PM

NEW YORK: Masyarakat Sikh di kota New York mencatat rekod baru dengan mengikat jumlah serban terbanyak dalam satu acara yang diadakan di Times Square kelmarin (7 Apr).

Acara itu anjuran pertubuhan Sikh dipanggil "Sikh of New York", sempena Hari Serban. Ia diadakan di pusat pelancongan terkenal Amerika Syarikat itu. Menurut seorang jurucakap pertubuhan itu, rekod dunia dicatat dengan mengikat "beribu-ribu serban dalam tempoh beberapa jam".

Sebenarnya, acara mengikat serban itu secara simbolik bertujuan meningkatkan kesedaran tentang masyarakat Sikh kerana baru-baru ini, berlaku beberapa jenayah ke atas penganut Sikh yang memakai serban oleh sebilangan anggota masyarakat yang jahil tentang masyarakat itu.

Hari Serban diperkenalkan sejak 2013 sebagai acara tahunan, bertepatan dengan pesta Vaisakhi di mana hari penubuhan masyarakat Sikh diraikan - juga dikenali sebagai perayaan Khalsa - pada 14 April. Tahun ini, acara yang diadakan sepanjang hari itu diadakan seminggu lebih awal.

Encik Chanpreet Singh, pengasas pertubuhan itu berkata bahawa sekitar 9,000 serban diikat, iaitu satu rekod. Menurutnya, serban diikat pada kepala para pengunjung tidak kira usia, agama dan jantina. Ini juga melambangkan nilai teras masyarakat Sikh dan Amerika, tambah beliau.

Pensijilan Rekod Dunia Guinness dianugerahkan kepada pertubuhan itu kerana "jumlah serban terbanyak yang diikat dalam tempoh lapan jam oleh para penganut Sikh New York (Amerika Syarikat) di Times Square pada 7 April 2018."

Beratus-ratus sukarelawan mewakili masyarakat itu bagi membantu mengikat serban berwarna-warni pada kepada para pengunjung - penduduk New York, pelancong dan rakyat Amerika Syarikat - yang berada di Times Square.

Bukan itu sahaja, para sukarelawan berinteraksi dengan para pelancong untuk menerangkan tentang agama, adat dan budaya mereka. Serban sering disalah anggap sebagai berkaitan dengan pengganas, khususnya serangan pengganas pada 11 September 2001. Para penganut Sikh berdepan dengan masalah ini dan sering diserang rakyat Amerika yang mengira mereka pengganas dan anggota kumpulan pelampau.

Selain acara mengikat serban itu, terdapat persembahan muzik dan budaya yang penuh warna-warni di acara itu.

Tahun lalu, anggota Kongres Gregory Meeks mengeluarkan pernyataan yang mengesahkan 15 April 2017 sebagai 'Hari Serban' dan memuji usaha pertubuhan tersebut bagi mendidik masyarakat lain tentang agama Sikh.

Ramai rakyat Amerika Syarikat memakai serban pada hari berkenaan dan berjalan di Times Square sambil berswafoto sesama mereka. Malah, seorang pelancong dari Hong Kong berkongsi pengalamannya pada hari itu:

"Kami tahu ada penganut Sikh di Hong Kong dan kawasan Asia Tenggara lain tetapi kami tidak mengenali mereka. Ini kali pertama seseorang penganut Sikh menghampiri saya dan menawarkan untuk mengikat serban. Ia baik untuk mengenali lebih mendalam tentang adat resam dan agama mereka," kata beliau.

"Saya bersimpati dengan penganut Sikh yang menjadi sasaran semata-mata kerana mereka memakai serban." 

Sumber : Bernama/AQ/aq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan